Showing posts with label JKM. Show all posts
Showing posts with label JKM. Show all posts

Sunday, December 26, 2010

JKM PERTIMBANG BANTUAN REMAJA BUTA TERKENA SERPIHAN PELURU

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Kelantan akan mempertimbangkan pemberian bantuan segera kepada Muhammad Huzaifah Mohd Nor, 20, yang buta sebelah mata kanan dipercayai akibat terkena kelongsong peluru gas pemedih mata ketika rusuhan perlawanan bola sepak di perkarangan Stadium Sultan Muhammed IV, pada 7 April tahun lalu.

Pengarah JKM negeri, Md Noor Chik, berkata beliau memahami kos yang terpaksa ditanggung Muhammad Huzaifah antara RM100 hingga RM150 sebulan khusus untuk ubat bagi penjagaan matanya.

"Pegawai kita akan berjumpa Muhammad Huzaifah untuk memberi bantuan segera tetapi tindakan selanjutnya perlu dibincangkan dengan pengurusan," katanya yang menyatakan keprihatinannya terhadap Muhammad Huzaifah baru-baru ini.

Akhbar melaporkan seorang mekanik terpaksa menggunakan mata palsu selepas cedera dipercayai terkena serpihan objek daripada gas pemedih mata ketika rusuhan bola sepak di Kelantan, tahun lalu.

Akhbar juga melaporkan Muhammad Huzaifah meluahkan rasa kesal dan keliru terhadap tindakan JKM yang tidak meluluskan permohonan untuk mendapatkan elaun memandangkan dirinya mempunyai kad OKU sejak tahun lalu, selain mempunyai pekerjaan dengan pendapatan RM650 sebulan.

Selain itu, Md Noor berkata, JKM akan mengkaji semula status orang kurang upaya (OKU) Muhammad Huzaifah selaras dengan penyusunan semula kategori OKU sejak Januari tahun ini yang menyatakan bahawa kecacatan sebelah mata tidak termasuk sebagai OKU.

"Isu sekarang ini ialah dia kecewa kerana permohonan mendapatkan elaun pekerja cacat berjumlah RM300 sebulan itu ditolak, bagaimanapun kita prihatin terhadap masalah Muhammad Huzaifah," katanya.

Thursday, December 23, 2010

KEMISKINAN, IBU TUNGGAL MENINGKAT DI KELANTAN

Apabila semakin ramai penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kelantan, tidakkah ia menggambarkan semakin ramai rakyat yang susah di negeri itu?

Atau apakah kenaikan jumlah penerima itu menggambarkan JKM semakin cekap mengenal pasti mereka yang wajar menerima bantuan?

Atau apakah kerajaan, khususnya Kerajaan Puast semakin bermurah hati untuk memberikan bantuan, walaupun penerima sepatutnya semakin berkurangan?

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Mohamed Noor Chik berkata Selasa lalu, Kelantan terus mencatatkan peningkatan kadar kemiskinan dan ibu tunggal pada setiap tahun berikutan meningkatnya jumlah penduduk serta kos sara hidup yang semakin tinggi.

Tahun ini, jabatan merekodkan sebanyak 30,751 penerima bantuan berbanding 26,099 penerima tahun lepas, menjadikan Kelantan negeri kedua tertinggi mencatatkan bilangan penerima.

"Faktor utama peningkatan kadar kemiskinan kerana kenaikan harga petroleum hingga menyebabkan harga barang naik sekali gus meningkatkan perbelanjaan sara hidup keluarga," katanya pada majlis JKM Kelantan bersama media di Kota Bharu.

Mohamed Noor berkata disebabkan peningkatan jumlah penerima bantuan itu, kerajaan membelanjakan RM70 juta sepanjang tahun ini dengan purata kira-kira RM6.5 juta pada setiap bulan.

"Perbelanjaan itu meningkat sebanyak RM55 juta berbanding tahun lalu," katanya.

Jumlah terbesar penerima bantuan terdiri daripada ibu tunggal iaitu hampir 10,000 orang manakala bakinya adalah golongan miskin serta kurang upaya.

Pendapatan isi rumah di bawah paras kemiskinan kini ditetapkan sebanyak RM720 sebulan.

Soalnya berapa peruntukan daripada kerajaan negeri untuk tujuan ini?

Saturday, July 10, 2010

RAKYAT MISKIN BUKTI KEGAGALAN PAS

Oleh YULPISMAN ASLI (utusankotabharu@utusan.com.my)

SELEPAS meninggalkan Kelantan lebih empat tahun lalu, penulis kembali bertugas di negeri Cik Siti Wan Kembang yang turut diberikan jolokan Serambi Mekah.

Tidak dinafikan dalam tempoh tersebut, Kelantan terutama bandar Kota Bharu telah banyak mengalami perubahan dari segi pembangunan fizikal dengan kewujudan banyak bangunan baru seperti Kelantan Trade Centre, Kota Bharu Trade Centre dan pembangunan Lembah Sireh yang sedang rancak berjalan.

Kemajuan yang sedang dialami itu telah dan bakal mengubah landskap bandar Kota Bharu daripada sebuah bandar tradisional kepada sebuah bandar yang moden.

Pembangunan Kelantan itu sudah semestinya membanggakan banyak pihak, terutama kerajaan negeri sendiri yang diterajui oleh parti pembangkang Pas, sejak tahun 1990 lagi.

Bagi pemimpin Pas, kemajuan yang dinikmati oleh Kelantan ketika ini bukti kemampuan parti itu memerintah dengan menjadikan Islam sebagai dasar pentadbiran.

Maka, tidak hairanlah apabila ramai ahli dan pemimpin Pas dari luar Kelantan yang hadir pada muktamar tahunan parti itu di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) pertengahan Jun lalu, dalam cakap-cakap mereka melahirkan rasa bangga dengan kejayaan kerajaan Pas Kelantan hari ini.

Namun, di sebalik kemajuan fizikal yang dinikmati oleh negeri Kelantan, berita mengenai sepasang suami isteri bersama tiga anak mereka yang terpaksa tinggal di bawah rumah yang juga bekas reban ayam di Kampung Pauh Dalam, Kota Bharu amat meruntun perasaan.

Bayangkan, dengan hanya menggunakan jaring besi sebagai dinding, ruang bawah rumah yang pernah menempatkan ayam dan berhabuk serta bersawang, dijadikan tempat berteduh bagi membesarkan tiga anak berusia antara tiga hingga enam tahun oleh pasangan Fatimah Jalim, 36, dan suami, Yusuf Wahab, 35.

"Setiap hari kena merangkak, sudah tiga tahun macam ini. Terpaksalah terima walaupun sedih.

"Kalau diberi peluang... siapa yang tidak mahu rumah lebih baik berbanding hanya tidur beralaskan tikar getah di bawah kolong yang dulunya merupakan reban ayam," ujar Fatimah dengan wajah sayu kepada pemberita yang mengunjunginya sekeluarga baru-baru ini.

Tidak hairanlah apabila Fatimah memberitahu anak-anaknya sering bergaduh kerana berebut kipas angin iaitu antara barangan 'mewah' yang ada di 'rumah' mereka.

Keluarga malang itu terpaksa mengharungi episod hidup yang 'gelap' akibat kesempitan hidup kerana Yusuf tidak mempunyai pekerjaan tetap. Ketika ini, Yusuf bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan bulanan hanya RM300.

Apa yang dilalui oleh Fatimah boleh disifatkan sebagai kegagalan kerajaan Pas Kelantan dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya sehingga ada yang terpaksa hidup melarat.

Peluang pekerjaan yang terhad di Kelantan juga menyaksikan ramai rakyat negeri itu terutama golongan muda menjadi perantau untuk mencari peluang pekerjaan di negeri-negeri lain terutama Lembah Klang.

Sekiranya suami Fatimah mempunyai pekerjaan tetap, sudah pasti mereka sekeluarga terutama anak-anaknya, tidak perlu melalui liku-liku kehidupan sedemikian.

Namun, Fatimah bernasib baik kerana episod sedih kehidupannya sekeluarga mendapat pembelaan daripada Kerajaan Pusat, apabila Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sanggup turun padang melihat keadaan mereka.

Didorong oleh rasa prihatin dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin, Shahrizat telah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri supaya bertindak segera membantu keluarga berkenaan.

Ini termasuk usaha memastikan anak-anaknya tidak tercicir daripada menerima bantuan pendidikan.

Persoalannya, bagaimana pula dengan individu dan mungkin juga ramai lagi keluarga yang terpaksa hidup seperti Fatimah dan anak-anaknya, atau mungkin lebih teruk lagi disebabkan kegagalan kerajaan negeri memberi pembelaan sewajarnya terhadap mereka.