Saturday, July 10, 2010

RAKYAT MISKIN BUKTI KEGAGALAN PAS

Oleh YULPISMAN ASLI (utusankotabharu@utusan.com.my)

SELEPAS meninggalkan Kelantan lebih empat tahun lalu, penulis kembali bertugas di negeri Cik Siti Wan Kembang yang turut diberikan jolokan Serambi Mekah.

Tidak dinafikan dalam tempoh tersebut, Kelantan terutama bandar Kota Bharu telah banyak mengalami perubahan dari segi pembangunan fizikal dengan kewujudan banyak bangunan baru seperti Kelantan Trade Centre, Kota Bharu Trade Centre dan pembangunan Lembah Sireh yang sedang rancak berjalan.

Kemajuan yang sedang dialami itu telah dan bakal mengubah landskap bandar Kota Bharu daripada sebuah bandar tradisional kepada sebuah bandar yang moden.

Pembangunan Kelantan itu sudah semestinya membanggakan banyak pihak, terutama kerajaan negeri sendiri yang diterajui oleh parti pembangkang Pas, sejak tahun 1990 lagi.

Bagi pemimpin Pas, kemajuan yang dinikmati oleh Kelantan ketika ini bukti kemampuan parti itu memerintah dengan menjadikan Islam sebagai dasar pentadbiran.

Maka, tidak hairanlah apabila ramai ahli dan pemimpin Pas dari luar Kelantan yang hadir pada muktamar tahunan parti itu di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) pertengahan Jun lalu, dalam cakap-cakap mereka melahirkan rasa bangga dengan kejayaan kerajaan Pas Kelantan hari ini.

Namun, di sebalik kemajuan fizikal yang dinikmati oleh negeri Kelantan, berita mengenai sepasang suami isteri bersama tiga anak mereka yang terpaksa tinggal di bawah rumah yang juga bekas reban ayam di Kampung Pauh Dalam, Kota Bharu amat meruntun perasaan.

Bayangkan, dengan hanya menggunakan jaring besi sebagai dinding, ruang bawah rumah yang pernah menempatkan ayam dan berhabuk serta bersawang, dijadikan tempat berteduh bagi membesarkan tiga anak berusia antara tiga hingga enam tahun oleh pasangan Fatimah Jalim, 36, dan suami, Yusuf Wahab, 35.

"Setiap hari kena merangkak, sudah tiga tahun macam ini. Terpaksalah terima walaupun sedih.

"Kalau diberi peluang... siapa yang tidak mahu rumah lebih baik berbanding hanya tidur beralaskan tikar getah di bawah kolong yang dulunya merupakan reban ayam," ujar Fatimah dengan wajah sayu kepada pemberita yang mengunjunginya sekeluarga baru-baru ini.

Tidak hairanlah apabila Fatimah memberitahu anak-anaknya sering bergaduh kerana berebut kipas angin iaitu antara barangan 'mewah' yang ada di 'rumah' mereka.

Keluarga malang itu terpaksa mengharungi episod hidup yang 'gelap' akibat kesempitan hidup kerana Yusuf tidak mempunyai pekerjaan tetap. Ketika ini, Yusuf bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan bulanan hanya RM300.

Apa yang dilalui oleh Fatimah boleh disifatkan sebagai kegagalan kerajaan Pas Kelantan dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya sehingga ada yang terpaksa hidup melarat.

Peluang pekerjaan yang terhad di Kelantan juga menyaksikan ramai rakyat negeri itu terutama golongan muda menjadi perantau untuk mencari peluang pekerjaan di negeri-negeri lain terutama Lembah Klang.

Sekiranya suami Fatimah mempunyai pekerjaan tetap, sudah pasti mereka sekeluarga terutama anak-anaknya, tidak perlu melalui liku-liku kehidupan sedemikian.

Namun, Fatimah bernasib baik kerana episod sedih kehidupannya sekeluarga mendapat pembelaan daripada Kerajaan Pusat, apabila Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sanggup turun padang melihat keadaan mereka.

Didorong oleh rasa prihatin dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin, Shahrizat telah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri supaya bertindak segera membantu keluarga berkenaan.

Ini termasuk usaha memastikan anak-anaknya tidak tercicir daripada menerima bantuan pendidikan.

Persoalannya, bagaimana pula dengan individu dan mungkin juga ramai lagi keluarga yang terpaksa hidup seperti Fatimah dan anak-anaknya, atau mungkin lebih teruk lagi disebabkan kegagalan kerajaan negeri memberi pembelaan sewajarnya terhadap mereka.

No comments: