Showing posts with label Tanah Merah. Show all posts
Showing posts with label Tanah Merah. Show all posts

Monday, February 21, 2011

Sumbangan RM100,000 Kerajaan Pusat Untuk Kuil Ladang Kerilla

Lebih 2,000 penduduk kaum India di Ladang Kerilla, dekat Tanah Merah, gembira dengan peruntukan RM100,000 daripada Kerajaan Pusat bagi membesarkan dewan kuil Sri Maha Mariamman demi memenuhi keperluan jumlah pengunjung yang meningkat setiap tahun.

Setiausaha Kerja Persatuan Integrasi Belia, G. Maran berkata kuil itu dibina sejak 1926 ketika penempatan awal masyarakat India di situ.

Beliau berkata sejak kuil berkenaan dibina, ramai penganut agama Hindu mengunjunginya bagi perayaan khas setiap bulan Jun dan pada tahun lepas seramai 15,000 orang dari seluruh negara datang ke kuil itu.

"Kuil itu siap dibina lebih awal daripada ladang getah yang dibuka pada 1932. Pada awal penempatan, Ladang Kerilla hanyalah sebuah perkampungan kecil yang mengusahakan tanaman getah. Kini ladang kami adalah penempatan kaum India terbesar di Kelantan," katanya kepada Bernama.

Maran berkata disebabkan kuil itu tidak lagi mampu menampung jumlah pengunjung, pihaknya menyerahkan surat meminta peruntukan ketika lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Tanah Merah tahun lepas.

Maran, 37, berkata usaha mendapatkan peruntukan itu dibantu Ketua Umno Bahagian Tanah Merah Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.

"Sumbangan itu merupakan jumlah terbesar diterima penduduk Ladang Kerilla sejak merdeka. Kami sangat berterima kasih," kata anak kelahiran Ladang Kerilla generasi keempat itu.

Beliau berkata pemberian peruntukan itu membuktikan kerajaan pusat memberi perhatian terhadap rakyat tanpa mengira kaum dan menghormati kebebasan amalan beragama kaum lain biarpun agama rasmi negara adalah Islam.

Katanya satu majlis penyerahan cek akan diadakan pada Sabtu ini, di Ladang Kerilla oleh Ikmal Hisham kepada masyarakat India.

Thursday, November 11, 2010

AIR - GANGGUAN BEKALAN LAGI

Beberapa kawasan di daerah Tanah Merah akan mengalami gangguan bekalan air esok (Jumaat).

Eksekutif Hal Ehwal Pelanggan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Hazwan Hassan berkata gangguan itu berikutan kerja-kerja penyelenggaraan dan pemasangan pam baru di Loji Rawatan Air Bukit Remah.

"Antara kawasan yang terlibat ialah Bandar Tanah Merah, Jalan Jedok, Jalan Klinik, Manal, Padang Siam, Lubuk Rotan, Bukit Panau, Belimbing, Jalan Lubok, Bukit Gading, Bechah Laut, Jerangau, Temangan dan beberapa kawasan sekitarnya," katanya kepada Bernama pada hari Rabu.

Beliau berkata gangguan berkenaan akan bermula dari jam 8 malam sehingga 5 pagi keesokannya.

Hazwan berkata bekalan dijangka pulih secara berperingkat dalam tempoh tujuh hari selepas kerja-kerja siap dilaksanakan.

AKSB menasihatkan pengguna agar menyimpan air mencukupi untuk mengelakkan sebarang kesulitan.

Untuk pertanyaan lanjut, pengguna boleh menghubungi PINTAS di talian 1300-88-2572.

Friday, August 13, 2010

GANGGUAN BEKALAN AIR DI TANAH MERAH

Beberapa kawasan di daerah Tanah Merah dan sekitarnya akan mengalami masalah gangguan air selama 14 hari bermula pada Ahad ini.

Eksekutif Hal Ehwal Pelanggan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Hazwan Hassan berkata, gangguan itu berikutan kerja-kerja pemasangan pam air baru di loji rawatan Air Bukit Rhemah, di Tanah Merah.

"Antara kawasan yang terlibat ialah di Bandar Tanah Merah, Jalan Jedok, Jalan Klinik, Manal, Padang Siam, Lubuk Rotan, Bukit Panau, Belimbing, Jalan Lubok, Bukit Gading, Bechah Laut, Jerangau, Temangan dan beberapa lagi kawasan sekitarnya.

"AKSB telah melantik kontraktor khas untuk menjalankan kerja-kerja pemasangan pam baru di loji tersebut untuk penambahbaikan perkhidmatan bekalan air kepada pengguna," katanya.

Hazwan berkata, gangguan bekalan air itu akan bermula pada pukul 8 malam sehingga 5 pagi keesokannya secara berlanjutan selama dua minggu dan dijangka pulih secara berperingkat dalam tempoh 14 hari selepas kerja siap dilaksanakan sepenuhnya.

Beliau meminta pengguna supaya menyimpan air secukupnya bagi mengelakkan sebarang kesulitan terutama untuk kegunaan selepas berbuka puasa dan ketika bersahur.

Menurutnya, untuk sebarang pertanyaan pengguna boleh menghubungi PINTAS di talian 1300-88-2572.