Showing posts with label Air. Show all posts
Showing posts with label Air. Show all posts

Saturday, September 17, 2016

Air Bersih – BN/UMNO Berputih Mata, Kerajaan PAS Dapat ‘Laba Politik’?


"Diharapkan  perkhidmatan air yang lebih mampan ini mampu dimanfaatkan oleh 1.6 juta pengguna dan industri di Kelantan...Apakah kejayaan perundingan ini akan turut menguntungkan PAS?"

Apa komitmen sebenar Kerajaan PAS Kelantan dalam menjamin air bersih dibekalkan kepada rakyat Kelantan selepas Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Kelantan yang berjaya dimeteraikan?

Apakah peruntukan baru tidak seperti peruntukan sebanyak RM600 juta pada 2001 akan ‘lesap’ begitu sahaja?

Soalan lain ialah Kerajaan Pusat turut menambah peruntukan tambahan selain RM600 juta tetapi kenapa Kerajaan Kelantan ‘tidak uar-uarkan’ kepada rakyat Kelantan.

Apakah pembohongan itu terpaksa dilakukan demi sokongan politik?

Apakah permainan politik seperti ini akan berterusan hanya kerana mahu menyalahkan Putrajaya dalam isu bekalan air bersih ini?

Apakah Kerajaan Kelantan akan terus menjadikan ‘senjata air’ untuk menjamin kuasa politik berterusan dipenang oleh PAS di Kelantan?


Jika demikian, apa untungnya Barisan Nasional dan UMNO membantu PAS?

Atau apakah ini menggambarkan bahawa PAS dan UMNO Kelantan kini boleh duduk semeja dalam isu membabitkan kepentingan rakyat?

Namun bagaimana dengan perlawanan politik, apakah akan berterusan?

Kelmarin Kerajaan Kelantan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan selepas memuktamadkan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Kelantan setelah permohonan dibuat pada 2008.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata dengan termeterainya perjanjian itu, peruntukan kewangan bagi Program Pembangunan Bekalan Air di masa hadapan akan lebih terjamin, serta komitmen daripada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan lebih kukuh dalam menjamin perkhidmatan bekalan air ditingkatkan dalam masa terdekat.

“Peruntukan kewangan ini diperlukan demi untuk merealisasikan Rancangan Pembangunan Hiliran Bekalan Air Negeri Kelantan yang sekian lama dipohon daripada Kerajaan Persekutuan oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) melalui Kerajaan Kelantan.


“Walaupun peruntukan disalurkan dalam 3 Rancangan Malaysia lalu, namun masih banyak lagi peruntukan kewangan yang diperlukan bagi melestarikan perkhidmatan bekalan air Negeri Kelantan,” kata Ahmad dalam satu kenyataan malam kelmarin.
  
Komitmen Putrajaya lebih kukuh dan terjamin?

Ternyata Putrajaya sudah memenuhi komitmennya membantu Kerajaan Kelantan, khususnya rakyat negeri itu.

Dalam kenyataannya, Ahmad berkata pada 2001, kerajaan negeri mendapat pinjaman sebanyak RM600 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk tempoh 15 tahun, namun keperluan sebenar untuk jangka masa tersebut adalah sebanyak RM2 bilion.

Bermakna Kerajaan Kelantan kekurangan RM1,400 juta untuk melaksanakan rancangan ini. Apakah itu untuk menunjukkan bahawa Putrajaya sengaja menyekatnya?

Ahmad mendakwa sebelum itu, segala pembiayaan pembangunan air di Kelantan oleh AKSB dibantu sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan Kelantan yang sebenarnya memerlukan lebih RM5 bilion bagi membangunkan bekalan air “Lost Development Years” bagi memenuhi permintaan pengguna yang meningkat tiga peratus setiap tahun.


Ternyata, Kerajaan PAS tidak mahu ambil tanggungjawab di atas kegagalan menyediakan air bersih dan dengan cara menyalahkan Putrajaya atas kegagalan AKSB sebelum ini, Kerajaan PAS boleh MENYUCIKAN DOSA LAMANYA?

Persoalannya, jika perlu RM2 billion dari 2001, kenapa mohon cuma RM600 juta?

Kita tidak tahu apa yang akan diratip oleh pemimpin PAS selepas ini kerana Ahmad nampaknya terus bermain politik apabila menyebut 'Lost Development Years' 12 tahun diletakkan kesalahan kepada Putrajaya.

Tidak disebut bahawa Kerajaan Persekutuan ada mohon untuk ambil alih perkhidmatan air Kelantan pada November 1992 untuk bantu rakyat Kelantan.

Sebaliknya, pada 1995 Kerajaan PAS Kelantan serah kepada Thames Water di mana cerita ‘buruk mengenai bagaimana ia ditandatangani’ tidak perlu diulangi kerana membabitkan orang yang sudah meninggal dunia.

Write-off sahajalah!!!

Kelantan merupakan negeri kelapan melaksanakan penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air seperti diperuntukkan di bawah Akta 655 selepas Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Perlis dan Perak.

Kita gembira kerana rundingan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negeri Kelantan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kelantan bermula sejak 2008 itu akhirnya berjaya selepas tanpa sebarang penyelesaian dan kemelut itu menjejaskan industri perkhidmatan bekalan air, khususnya berkaitan kualiti dan kuantiti air di negeri ini.

Kita hanya berharap kali ini apabila Kerajaan Persekutuan dan Kelantan memuktamadkan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Kelantan ia mampu dimanfaatkan oleh 1.6 juta pengguna dan industri di negeri itu dengan perkhidmatan air yang lebih mampan.

Cumanya, apakah kejayaan perundingan ini selain menguntungkan rakyat dan industri di Kelantan, akan turut menguntungkan PAS?

Sudah pasti pemimpin PAS akan menyebut ini kejayaan dan kebijaksanaan besar mereka kerana berjaya memujuk pemimpin BN, termasuk Pengerusi BN dan Ketua Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Mustapa Mohamed serta Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Di pihak BN dan UMNO pula apakah usaha ikhlas mereka ini akan mendapat ‘laba politik’ sedangkan rakyat Kelantan sudah lama diajar bahawa usaha seperti ini adalah tanggungjawab kerajaan BN.


Seruan bahawa ‘beri kain ambil’ masih kedengaran di Kelantan dan apakah BN dan UMNO akan terus berputih mata dari segi mendapat undi daripada rakyat Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang?

Sunday, September 11, 2016

UMNO Kelantan Sokong Migrasi, Rombak AKSB Tingkat Kecekapan


KOTA BHARU (11 SEPTEMBER 2016) : Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan PAS Kelantan dijadual menandatangani perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di negeri itu di Putrajaya, Rabu ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pemeteraian perjanjian itu merupakan khabar gembira kepada rakyat kerana bakal menyelesaikan masalah air di negeri itu yang berlarutan sejak sekian lama.

“Saya sudah menerima jemputan untuk menghadiri majlis menandatangani perjanjian penstrukturan semula ini di Jabatan Perdana Menteri, Rabu ini. Bagaimanapun perincian mengenai perjanjian ini akan dimaklumkan dalam majlis itu nanti.

“Keputusan kerajaan Pusat untuk bersetuju menandatangani perjanjian ini menerima pelbagai reaksi, ada yang setuju ada yang kurang setuju.

Bagaimanapun saya jelaskan, kita buat keputusan ini demi kepentingan rakyat Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan di Bangunan UMNO negeri hari ini.

Pentrukturan semula perkhidmatan bekalan air sememangnya ditunggu-tunggu rakyat setelah kira-kira 25 tahun menderita menerima bekalan air yang tidak berkualiti.

Baru-baru ini, Badan Bertindak Restorasi Air Kelantan (Restorasi) menuntut negeri merombak serta melakukan penyusunan semula dalam pengurusan syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) kerana dilihat gagal berfungsi dengan baik.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri memberitahu, mengikut perjanjian, walaupun berlaku penstrukturan semula, urusan untuk membekalkan bekalan air bersih di negeri ini masih kekal di bawah AKSB.

“Dalam mesyuarat sebentar tadi, Badan Perhubungan UMNO Kelantan sedia menerima perjanjian penstrukturan semula ini dengan syarat, pengurusan AKSB perlu dirombak untuk tingkatkan kecekapan.


“Hal ini kerana banyak laporan kita terima terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki dalam AKSB. Kalau tidak, bekalan air di Kelantan tidak akan berubah,” katanya.

SOKMO.NET

Friday, March 30, 2012

AIR OH AIR - Gangguan & Sekolah Tiada Berterusan di Kelantan

Apalah malang menimpa orang ramai dan pelajar sekolah!

Kenyataan bahawa 77 sekolah di Kelantan tidak mendapat bekalan air yang diuruskan oleh Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan soal keperluan asas, kata setiausaha politik kepada perdana menteri Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.

Beliau berkata keadaan itu merupakan antara contoh mengenai tahap kemampuan PAS mentadbir negeri Kelantan.

"Ini gagal namanya, jika sudah membabitkan pelajar sekolah yang terpaksa menerima beban," katanya kepada pemberita pada majlis Konvokesyen Politeknik Kota Baharu di Kota Bharu kelmarin (Rabu 28 Mac 2012).

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi, yang membuat kenyataan mengenai ketiadaan bekalan air ke sekolah-sekolah itu di Dewan Rakyat pada Isnin lepas, berkata daripada bilangan itu, 39 sekolah berada dalam kedudukan yang amat kritikal dan memerlukan tindakan sewajarnya.

Dan semalam, Air Kelantan Berhad (AKSB) menyebtu bahawa Jajahan Machang, Pasir Puteh dan beberapa kawasan di ibu negeri ini akan mengalami gangguan bekalan air berikutan kerja penyelenggaraan dan pemasangan pam di muka sauk di Loji Rawatan Air Merbau Chondong dalam tempoh tiga hari mulai Sabtu ini.

Eksekutif Hal Ehwal Pelanggan AKSB, Hazwan Hassan, berkata antara kawasan terlibat di jajahan Machang ialah Bandar Machang; Pulai Chondong; Labok; Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang; Padang Selising; Bukit Tiu; Banggol Petai; Kweng Hitam; Pangkal Meleret; Wakaf Bata; Paloh Rawa dan Kemuning.

Bagi jajahan Pasir Puteh kawasan terlibat ialah Bukit Bidang; Taman Sentosa; Alor Hijau; Selising Jeram; Dalam Rhu; Semerak; Tok Bali; Tualang Tinggi; Tasik Pauh; Kedai Menanti; Bukit Jawa; Bukit Tanah; Kampung Jerus; Bukit Abal; Sri Aman; Taman Kobena; Kampung Lepah; Kampung Berangan; Banggol; Telipot; Tualang Tinggi; Tasik Pauh; Kedai Menanti; Bukit Jawa; Bukit Tanah dan Kampung Jerus.

Kawasan terlibat di jajahan Kota Baharu pula ialah Kok Lanas dan kampung-kampung sekitarnya.

"AKSB akan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan pemasangan pam di muka sauk di Loji Rawatan Air Merbau Chondong untuk penambahbaikan perkhidmatan bekalan air kepada pengguna," katanya dalam kenyataan di Kota Bharu semalam.

Sunday, January 9, 2011

Masalah Air - Rakyat Kelantan Mahu Tunggu 5 Tahun Atau 14 Tahun?

Badan Perhubungan Umno Kelantan memberi jaminan akan menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri itu dalam tempoh satu penggal atau lima tahun jika Barisan Nasional diberi peluang memerintah Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Timbalan Pengerusinya Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata tempoh itu lebih cepat berbanding jaminan kerajaan PAS Kelantan bahawa isu itu akan dapat diselesaikan dalam tempoh 17 tahun akan datang.

"Kita tidak mahu rakyat Kelantan menerima kesulitan itu dalam tempoh yang terlalu lama kerana isu itu merupakan antara keperluan asas yang mesti diutamakan," katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata satu projek contoh untuk menyelesaikan isu air bersih akan dibina di Kampung Gunong di Bachok dalam tempoh terdekat.

Projek itu menggunakan sistem bekalan air tiub bagi keperluan 30 rumah yang kini terpaksa menggunakan air dari perigi yang seakan bercampur minyak.

"Jika kaedah itu berjaya kita akan perluaskan ke seluruh Kelantan, itu pun jika rakyat Kelantan memberi kepercayaan," katanya.

Thursday, November 11, 2010

AIR - GANGGUAN BEKALAN LAGI

Beberapa kawasan di daerah Tanah Merah akan mengalami gangguan bekalan air esok (Jumaat).

Eksekutif Hal Ehwal Pelanggan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Hazwan Hassan berkata gangguan itu berikutan kerja-kerja penyelenggaraan dan pemasangan pam baru di Loji Rawatan Air Bukit Remah.

"Antara kawasan yang terlibat ialah Bandar Tanah Merah, Jalan Jedok, Jalan Klinik, Manal, Padang Siam, Lubuk Rotan, Bukit Panau, Belimbing, Jalan Lubok, Bukit Gading, Bechah Laut, Jerangau, Temangan dan beberapa kawasan sekitarnya," katanya kepada Bernama pada hari Rabu.

Beliau berkata gangguan berkenaan akan bermula dari jam 8 malam sehingga 5 pagi keesokannya.

Hazwan berkata bekalan dijangka pulih secara berperingkat dalam tempoh tujuh hari selepas kerja-kerja siap dilaksanakan.

AKSB menasihatkan pengguna agar menyimpan air mencukupi untuk mengelakkan sebarang kesulitan.

Untuk pertanyaan lanjut, pengguna boleh menghubungi PINTAS di talian 1300-88-2572.

Wednesday, September 15, 2010

UMNO JANJI AIR BERSIH JIKA MEMERINTAH

Masalah air bersih yang dihadapi oleh sebahagian besar rakyat Kelantan akan dijadikan agenda utama dalam perjuangan Umno Kelantan membela nasib rakyat jika diberi peluang memerintah Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, Datuk Awang Adek Hussin berkata ini berpunca kegagalan PAS mengatasi masalah itu walaupun diberi peluang memerintah selama 20 tahun di negeri itu.

"Di mana-mana pun saya pergi sama ada di bandar dan di kampung ketika turun padang saya terpaksa menerima rintihan rakyat agar masalah itu (bekalan air bersih) diberi keutamaan," katanya di Bachok, kelmarin.

Awang Adek, yang juga timbalan menteri kewangan, mendakwa walaupun kerajaan pusat sudah meluluskan pinjaman mudah sebanyak RM600 juta kepada kerajaan negeri itu bagi menyelesaikan masalah berkenaan, ia masih gagal ditangani malah semakin membebankan mereka.

Awang Adek berkata sebahagian rakyat Kelantan yang menghadapi masalah itu terpaksa mencari alternatif lain seperti menggali telaga dan membina telaga tiub malangnya air yang diperoleh daripada bawah tanah itu berbau busuk.

Beliau berkata memburukkan lagi keadaan apabila ratusan ribu rakyat Kelantan pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama sanak saudara di kampung halaman masing-masing mengeluh kerana tiada air yang mencukupi.

Wednesday, August 4, 2010

MASALAH AIR DI HOSPITAL - SIAPA BOHONG?

Dua jururawat di wad bersalin Hospital Raja Perempuan Zainab II terpaksa mengangkut air dari luar untuk keperluan pesakit dan petugas di wad tersebut akibat masalah bekalan air yang berterusan di hospital tersebut, di Kota Bharu, Kelantan, 3 Ogos. - Gambar Utusan

Monday, August 2, 2010

HRPZII HADAPI KRISIS AIR KRITIKAL

Biarpun Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Bharu adalah antara pengguna terbesar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dengan purata bil air RM35,000 sebulan, namun masalah air tetap membelenggu hospital itu bahkan krisis itu kini semakin kritikal.

Pengarah HRPZII, Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan berkata hospital itu kini berdepan dengan situasi yang amat membimbangkan apabila masalah kekurangan air telah memberi implikasi besar terhadap perkhidmatan kepada purata 21,000 pesakit hospital itu setiap bulan.

"Masalah kekurangan bekalan air, isu yang dihadapi dah berlanjutan hampir setahun, sejak September tahun lalu dan menjadi begitu teruk sejak kebelakangan ini.

"Implikasi besar apabila perkhidmatan kita terjejas, HRPZII mempunyai dua fasa, fasa lama dan fasa baru, paling dikesali apabila masalah air ini banyak melibatkan fasa lama yang menempatkan unit bersalin dan wad kanak-kanak.

"Unit bersalin adalah antara unit yang tersibuk kerana setiap hari anggaran 30 sehingga 40 orang bayi dilahirkan yang memerlukan banyak penggunaan air, untuk membersihkan bayi iaitu membuang selaput di badannya, mencuci kain yang terkena darah dan juga membersihkan kelengkapan dan peralatan yang digunakan untuk setiap proses kelahiran," katanya semalam.

Beliau berkata bagi wad kanak-kanak juga memerlukan penggunaan air yang banyak dan kekurangan bekalan air menyebabkan pesakit turut terdedah kepada jangkitan pelbagai jenis penyakit.

"Sebagai contohnya penggunaan inkubator untuk kanak-kanak, apabila kanak- kanak itu hendak ditukar ke unit lain maka inkubator itu perlu dibasuh dan dibersihkan terlebih dahulu untuk kegunaan kanak-kanak lain, apabila ketiadaan air, peralatan tidak dapat dicuci dengan bersih dan ini akan menggalakkan penyebaran pelbagai jenis wabak penyakit, begitu juga di wad dan unit lain," katanya.

Dr Ghazali Hasni berkata permasalahan itu telah beberapa kali dipanjangkan kepada pihak AKSB sehingga diadakan perbincangan khas, bagaimanapun sehingga kini masalah itu menemui jalan buntu.

Bahkan, katanya setiap kali aduan diberikan, pihak berkenaan akan memberi jawapan yang sama iaitu mengatakan kemungkinan adanya kebocoran berlaku di tangki atau paip hospital itu.

"Mereka (AKSB) kadangkala cuba menyatakan dalam hospital ada kebocoran, tetapi melalui pemerhatian pihak kita di paip dan tangki, tiada sebarang kebocoran berlaku bahkan bil air juga tidak meningkat atau mencecah ratusan ribu ringgit, satu perkara yang jelas akan berlaku sekiranya benar ada kebocoran," katanya.

Katanya dalam tempoh beberapa bulan lalu bil air yang sebelum ini dicatatkan berjumlah RM35,000 sebulan telah menurun kepada RM25,000 dan RM26,000 menunjukkan penggunaan air di hospital itu adalah berkurangan.

Selain itu katanya, pihak hospital berkenaan juga telah mengambil inisiatif menukar paip-paip lama kepada paip baru di seluruh hospital berkenaan yang menelan kos sehingga RM500,000 bagi memastikan tiada kebocoran berlaku sehingga menyebabkan terjadinya krisis bekalan air itu.

Dr Ghazali Hasni berkata sejak semalam masalah itu dianggap paling teruk apabila tangki simpanan hospital itu kini berada pada paras 0.5 meter berbanding jumlah sepatutnya iaitu di paras dua meter sehingga gagal menyalurkan air ke wad-wad dan menjejaskan perkhidmatan terutama wad kecemasan, wad bersalin, wad kanak-kanak termasuk Unit Rawatan Rapi (ICU).

Justeru, beliau menyeru kerajaan negeri campur tangan menyelesaikan perkara itu kerana ia bukan sekadar untuk kepentingan 3,200 kakitangan hospital tetapi ia lebih kepada kepentingan pesakit yang terdiri dari seluruh rakyat Kelantan yang memerlukan rawatan dan perkhidmatan yang terbaik.

Friday, July 30, 2010

GANGGUAN BEKALAN AIR SEMINGGU DI KOTA BHARU, BACHOK

Daerah Kota Baharu dan Bachok akan mengalami gangguan bekalan air bagi tempoh antara tiga hari hingga seminggu mulai hari ini (Jumaat) berikutan kerja penyelenggaraan di Loji Rawatan Air di Kampung Chicha, dekat Kota Bharu.

Eksekutif Hal Ehwal Pelanggan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Hazwan Hassan, menasihatkan penduduk terbabit menyimpan bekalan air secukupnya.

Katanya, bagi daerah Kota Baharu, bekalan air dijangka pulih secara berperingkat dalam tempoh tiga hari manakala bagi kawasan Bachok selama tujuh hari.

"Antara kampung-kampung terlibat dalam jajahan Kota Baharu ialah Kedai Baru, Banggu; Kampung Cherang, Taman Aishah; Taman Sri Permai, Kampung Tok Ku; Kedai Lalat; Taman Sri Binjai; Taman Sri Panji dan Kampung Lubuk Pukul," katanya semalam.


Di Bachok, kawasan yang terlibat ialah Kampung Alor Bakat, Kubang Telaga, Permatang Machang, Bukit Kecik, Pauh Sembilan; Kampung Kedondong, Padang Jembal, Beris Kubur Besar; dan Kampung Dusun Durian.

Hazwan berkata, pengguna boleh menghubungi PINTAS di talian 1300-88-2572 atau layari laman web AKSB di www.airkelantan.com.my, untuk keterangan lanjut.