Thursday, July 15, 2010

'SEMEJA TAK BOLEH, MACAM MANA NAK BERGABUNG' - HISHAM

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata soal UMNO bergabung dengan PAS masih jauh lagi untuk diandaikan buat masa ini.

"Kalau hendak duduk semeja pun tidak boleh, soal hendak bergabung jauh lagilah," katanya.

Beliau yang juga menteri dalam negeri berkata tujuan bagi perbincangan itu hendaklah bagi manfaat semua pihak.

"Soal gabung lagi sedikit masa tak ada timbul," katanya sambil meminta semua pihak tidak 'takut dengan bayang-bayang'.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan komitmen serta kesediaan UMNO untuk bertemu dan menjalinkan kerjasama dengan PAS dalam pelbagai bidang termasuk usaha untuk memperkukuhkan Islam serta kedudukan orang Melayu di negara ini.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau sedia bertemu dan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai "apa juga perkara".

Ketika ditemui pemberita semalam, Menteri Besar Kelantan itu berkata tiada halangan untuknya bersua muka dengan Muhyiddin tetapi perjumpaan itu biarlah tanpa diatur mana-mana pihak ketiga sebagai orang tengah.

"Yang moleknya tak payah orang (tengah). Kalau nak jumpa secara peribadi pun tak apa, boleh sangat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu semalam..

“Beliau (Tan Sri Muhyiddin) boleh datang sendiri jumpa saya, saya tak kisah, tak perlu hantar orang tengah.

“Jangankan beliau datang nak jumpa saya kat sini, jika ke Kuala Lumpur pun saya boleh pergi,” katanya.

Bagaimanapun menurut Harakahdaily, soalan yang diutarakan pemberita kepada Nik Aziz tiada kaitan dengan hubungan Umno dan PAS, seperti dilaporkan media semalam.

Sebelum ini, Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Lokman Nor Adam dipetik sebagai berkata bahawa hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya PAS dan UMNO bersatu.

Ekoran daripada itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Razak Idris mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas supaya kerjasama antara UMNO dan PAS terlaksana.


Bercakap dalam sidang media selepas menyampaikan anugerah kecermelangan kepada polis di Putrajaya, Hishammuddin berharap PAS tidak mempolitikkan isu itu.

Wednesday, July 14, 2010

TAHAP LEBERSIHAN ALAM SEKITAR PENDUDUK KELANTAN AMAT RENDAH

Tahap kesedaran terhadap kebersihan alam sekitar di kalangan penduduk Kelantan diakui amat rendah dan perlu ditingkatkan dengan mengubah mentaliti dan sikap mereka.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Azizul Halim Yahya berkata tahap pencemaran di kalangan penduduk di negeri ini sama ada yang tinggal di kawasan bandar dan luar bandar amat mengecewakan.

Beliau berkata ini berdasarkan kajian tahap pencemaran bandar yang dijalankan oleh Fakulti Industri dan Sumber Asli (FASA) universiti berkenaan.

"Rakyat Kelantan disediakan dengan pelbagai infrastruktur seperti tong sampah untuk membolehkan mereka membuang sampah sarap dengan cara betul.

"Bagaimanapun ada di kalangan mereka yang masih tidak tahu untuk memanfaatkan kemudahan tersebut, bahkan kami cukup kesal dengan sikap penduduk yang meletakkan bungkusan sampah pada bonet kenderaan dan jika sampah itu jatuh, mereka tidak mengutipnya semula," katanya.

Beliau menyatakannya selepas merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) Peringkat UMK, di sini, Rabu.

Pada program yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam itu, UMK mengadakan pelbagai program antaranya siri ceramah kesedaran alam sekitar di sekolah-sekolah di Kelanyan, gotong royong membersihkan Pantai Cahaya Bulan (PCB), forum alam sekitar, pertandingan fotografi dan pidato alam sekitar.

Beliau berkata rakyat Malaysia amnya dan penduduk Kelantan khususnya harus mencontohi sikap rakyat di Jepun dan Barat yang begitu peka dan prihatin terhadap usaha penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Azizul Halim berkata, sikap dan mentaliti rakyat Malaysia terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar boleh ditingkatkan melalui penguatkuasaan undang-undang dan peraturan yang lebih ketat oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sambil menyifatkan usaha penjagaan alam sekitar bukanlah sesuatu kerja yang menyusahkan kerana ia tidak memerlukan tenaga dan masa yang banyak sebaliknya hanya memerlukan sedikit rasa tanggungjawab.

Beliau berkata UMK akan membantu dan melaksanakan tanggungjawab sosialnya untuk mengawal pencemaran alam sekitar dengan menganjurkan lebih banyak program terutama di kalangan generasi muda.

KONSULAT THAI DI KELANTAN ANJUR PESTA PRODUK KAMPUNG

Konsulat Thailand di Kota Baharu akan menganjurkan Pesta Makanan dan Buah-buahan minggu depan bagi mempromosikan produk yang dihasilkan oleh peniaga beragama Islam di Selatan Thailand.

Konsul Besar Diraja Thai di Kelantan, Surapon Petch-Vra berkata pesta itu dianjurkan oleh Pejabat Konsul Besar Thai dengan kerjasama Pusat Pentadbiran Wilayah-wilayah di Sempadan Selatan (SBPAC) dan sebuah syarikat tempatan, Vininspire Innovation Thai OTOP Sdn Bhd.

Berlangsung dari 21 hingga 25 Julai di Pusat Kebudayaan di sini dan Wakaf Che Yeh, pesta itu akan mengetengahkan produk yang dihasilkan menerusi program Satu Kampung Satu Produk (OTOP), antaranya termasuk makanan istimewa dan kraftangan.

"Festival ini sebahagian daripada usaha kerajaan Thai untuk membantu peniaga beragama Islam meningkatkan tahap ekonomi mereka.

"Kami akan membawa 43 peniaga Thai yang beragama Islam dari wilayah selatan untuk menjalankan perniagaan di sini dan hanya makanan halal yang akan dijual," katanya kepada pemberita di Kota Bharu, hari ini.

Surapon berkata penduduk Islam Thai membentuk 2.5 juta daripada sejumlah 3.5 juta penduduk di lima wilayah di selatan iaitu Yala, Narathiwat, Pattani, Songkhla dan Satun.

Festival itu merupakan acara tahunan bagi menjalin hubungan baik antara Malaysia dan Thailand.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan dengan menghubungi Joey Tong dari Vininspire menerusi talian 017-6599984, e-mel admin@thaiotop.com.my atau melayari laman web www.thaiotop.com.my