Wednesday, July 14, 2010

KONSULAT THAI DI KELANTAN ANJUR PESTA PRODUK KAMPUNG

Konsulat Thailand di Kota Baharu akan menganjurkan Pesta Makanan dan Buah-buahan minggu depan bagi mempromosikan produk yang dihasilkan oleh peniaga beragama Islam di Selatan Thailand.

Konsul Besar Diraja Thai di Kelantan, Surapon Petch-Vra berkata pesta itu dianjurkan oleh Pejabat Konsul Besar Thai dengan kerjasama Pusat Pentadbiran Wilayah-wilayah di Sempadan Selatan (SBPAC) dan sebuah syarikat tempatan, Vininspire Innovation Thai OTOP Sdn Bhd.

Berlangsung dari 21 hingga 25 Julai di Pusat Kebudayaan di sini dan Wakaf Che Yeh, pesta itu akan mengetengahkan produk yang dihasilkan menerusi program Satu Kampung Satu Produk (OTOP), antaranya termasuk makanan istimewa dan kraftangan.

"Festival ini sebahagian daripada usaha kerajaan Thai untuk membantu peniaga beragama Islam meningkatkan tahap ekonomi mereka.

"Kami akan membawa 43 peniaga Thai yang beragama Islam dari wilayah selatan untuk menjalankan perniagaan di sini dan hanya makanan halal yang akan dijual," katanya kepada pemberita di Kota Bharu, hari ini.

Surapon berkata penduduk Islam Thai membentuk 2.5 juta daripada sejumlah 3.5 juta penduduk di lima wilayah di selatan iaitu Yala, Narathiwat, Pattani, Songkhla dan Satun.

Festival itu merupakan acara tahunan bagi menjalin hubungan baik antara Malaysia dan Thailand.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan dengan menghubungi Joey Tong dari Vininspire menerusi talian 017-6599984, e-mel admin@thaiotop.com.my atau melayari laman web www.thaiotop.com.my

No comments: