Friday, July 30, 2010

GURU HARUS BEZAKAN POLITIK & PROFESIONAL

Oleh NANA (Kota Bharu)

Pengumuman berhubung kebenaran untuk guru siswazah gred DG41 hingga DG48 berpolitik oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan sewajarnya disambut baik dengan fikiran yang positif.

Hal ini secara tidak langsung menjadi lampu hijau yang diberikan kepada guru siswazah untuk menceburkan diri dalam dunia siasah yang kian mencabar pada hari ini.

Keprihatinan dan keikhlasan Perdana Menteri menghargai jasa dan sumbangan guru amat wajar disokong oleh guru siswazah di seluruh pelosok tanah air.

Kita semua sedia maklum bahawa sebelum pengumuman ini dibuat, ada sesetengah guru siswazah yang sudah sekian lama membabitkan diri dalam parti politik sama ada sebagai setiausaha, naib pengerusi atau ahli biasa.

Guru siswazah perlu diingatkan bahawa sebagai penjawat awam yang menikmati gaji bulanan daripada kerajaan dan membabitkan diri dalam dunia politik tanah air seharusnya menyokong 100 peratus parti yang memerintah negara sekarang.

Dalam hal ini, pesanan dan nasihat mantan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Rahman Arshad, adalah tepat dan relevan. Beliau bersetuju agar guru siswazah menceburkan diri dalam dunia politik semasa negara tetapi perlu membetulkan niat dan hala tuju masing-masing bahkan tidak sekali-kali menangguk di air yang keruh berikutan pelbagai krisis politik semasa negara.

Selain itu, guru siswazah tidak boleh sama sekali mengabaikan tanggungjawab mereka yang utama, iaitu mendidik dan mengajar muridnya di sekolah. Kementerian Pelajaran semestinya tidak akan memaafkan guru siswazah yang sengaja membiarkan anak muridnya terabai apabila guru mereka sibuk berpolitik.

Usahlah guru menjadi seperti Pak Kaduk kerana anak murid pada ketika ini adalah modal insan negara yang bakal mewarisi tampuk kepemimpinan negara pada masa hadapan.

Sejarah negara membuktikan bahawa guru pada zaman pramerdeka begitu banyak menabur bakti baik dari segi wang, tenaga, mahupun wang demi memastikan kemerdekaan negara dapat dicapai.

Persoalannya, adakah guru sekarang sanggup berjuang bermati-matian demi maruah bangsa dan negara daripada dijajah semula? Sukar dikenal pasti guru yang benar-benar ikhlas berjuang demi memastikan martabat negara terus kekal terpelihara.

Ini kerana ada guru siswazah yang menjadi penjawat awam tetapi pada masa sama amat cenderung untuk menyokong parti pembangkang bahkan ada pula yang secara terang-terangan menghentam kepemimpinan negara sama ada secara sedar atau tidak sedar.

Dalam hal ini, peranan pengetua, pegawai Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri sekali lagi akan dituntut untuk memantau mana-mana guru yang antikerajaan sebaik-baik saja kerajaan mewartakan arahan untuk membenarkan guru siswazah aktif berpolitik.

Semua guru siswazah harus bersama-sama kerajaan untuk turun padang bertemu orang kampung dan menyelami hati budi mereka secara kolektif. Setiap guru memainkan peranan yang cukup besar untuk merealisasikan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Berita Harian (28 Julai 2010)

GANGGUAN BEKALAN AIR SEMINGGU DI KOTA BHARU, BACHOK

Daerah Kota Baharu dan Bachok akan mengalami gangguan bekalan air bagi tempoh antara tiga hari hingga seminggu mulai hari ini (Jumaat) berikutan kerja penyelenggaraan di Loji Rawatan Air di Kampung Chicha, dekat Kota Bharu.

Eksekutif Hal Ehwal Pelanggan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Hazwan Hassan, menasihatkan penduduk terbabit menyimpan bekalan air secukupnya.

Katanya, bagi daerah Kota Baharu, bekalan air dijangka pulih secara berperingkat dalam tempoh tiga hari manakala bagi kawasan Bachok selama tujuh hari.

"Antara kampung-kampung terlibat dalam jajahan Kota Baharu ialah Kedai Baru, Banggu; Kampung Cherang, Taman Aishah; Taman Sri Permai, Kampung Tok Ku; Kedai Lalat; Taman Sri Binjai; Taman Sri Panji dan Kampung Lubuk Pukul," katanya semalam.


Di Bachok, kawasan yang terlibat ialah Kampung Alor Bakat, Kubang Telaga, Permatang Machang, Bukit Kecik, Pauh Sembilan; Kampung Kedondong, Padang Jembal, Beris Kubur Besar; dan Kampung Dusun Durian.

Hazwan berkata, pengguna boleh menghubungi PINTAS di talian 1300-88-2572 atau layari laman web AKSB di www.airkelantan.com.my, untuk keterangan lanjut.

KAFA RANCANG KHUSUSKAN PADANG BOLASEPAK SAHAJA

Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) merancang mengkhususkan antara enam dan 10 buah padang di negeri itu bagi aktiviti sukan bola sepak sahaja.

Presidennya Tan Sri Annuar Musa berkata padang-padang itu akan dinaik taraf dan dijaga dengan rapi tanpa diguna untuk kegiatan lain yang boleh menyebabkan padang rosak.

"Semua aktiviti yang berkaitan dengan bola sepak akan diadakan di situ dan kita tidak mahu padang itu diguna dengan aktiviti lain sebagaimana yang berlaku sekarang," katanya ketika menyampaikan taklimat kepada pengurusan Akademi Bolasepak Kijang Emas di Kota Bharu semalam.


Projek bimbingan bersama Jabatan Pelajaran Malaysia dan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malsysia (MSSM) membabitkan pelajar tingkatan tiga, empat dan lima didedahkan secara khusus dengan sukan bola sepak.

"Kafa sedia membantu sebahagian keperluan dan berharap ianya menjadi pusat aktiviti bolasepak yang akan menghasilkan pemain yang terbaik," katanya.

Annuar berkata Kafa juga merancang untuk membina sebuah stadium sendiri yang diguna sepenuhnya untuk sukan bola sepak sebagaimana dilakukan oleh beberapa kelab profesional dunia.