Wednesday, August 25, 2010

HUDUD - PAS SERANG NIK NAZMI

Oleh Pochong, AIDCclub

Gara-gara Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi mengeluarkan kenyataan berikut :
"PAS patut menerima hakikat bahawa mengubah Malaysia menjadi sebuah Negara Islam merupakan langkah sia-sia dan tidak akan dapat dicapai."

Beliau akhirnya telah diberi dengan pelbagai gelaran oleh penyokong PAS, dari lalang Pakatan Rakyat hinggalah kepada Karpal Singh Junior, malah ada yang mendesak umat Islam di Selangor tidak mengundinya pada pilihanraya akan datang.

Mungkin penyokong PAS alpa seketika dengan siapa sebenarnya mereka mengeluarkan hentaman kepada Adun Seri Setia merangkap pegawai Khas kepada MB Selangor tersebut.

Nik Nazmi Nik Ahmad merupakan orang kepercayaan Anwar Ibrahim dan baru dilantik satu posisi penting di peringkat PKR Pusat, iaitu Pengarah Komunikasi mengantikan Jason Chong. Jawatan yang disangdangnya memerlukan beliau mendapat kepercayaan dari Anwar Ibrahim dan sentiasa berhubung dari ketua Umum PKR tersebut.

Secara logik, tidak mungkin Nazmi akan mengeluarkan kenyataan demikian sekiranya Anwar tidak mengetahuinya. Lebih-lebih lagi, kenyataan Karpal Singh yang mengatakan beliau tidak bersendirian di dalam soal tersebut. klik sini

Adakah penyokong PAS termasuk pimpinannya akan turut sama mengecam jika yang mengeluarkan pandangan tersebut keluar dari mulut Anwar? Nah, kini Nazmi telah cuba dijadikan kambing hitam sama ada oleh Anwar mahupun pihak di dalam PAS.

Nazmi dikatakan terpengaruh dengan Anwar Ibrahim semenjak beliau belajar di MCKK lagi, pada dirinya reformasi yang digerakkan Anwar merupakan suatu perkara yang betul dan harus disokong.

Ideologi Anwar mengenai Islam Liberal dan Pluralisme juga diikuti Nazmi dengan penuh tekun, dan baru baru ini beliau telah dihantar oleh Anwar ke Universiti Paramadina untuk bertemu dengan Anis Basdawen, Rektor Universiti yang ditubuhkan untuk mengkaji Pluralisme Agama.

Anwar begitu percayakan Nik Nazmi dan sebab itulah beliau diberi kepercayaan untuk menguruskan banyak perkara mengenai kerjaya politik Puteri Sulung ,Anwar Ibrahim iaitu Nurul Izah.

Oleh kerana itu, sebenarnya apa yang dilontar Nik Nazmi sekarang ini sebenarnya adalah suara Anwar Ibrahim, dan Nazmi hanyalah 'tool' untuk menyampaikan mesej tersebut.

Sultan Kelantan boleh memerintah

Tengku Muhammad Fakhry menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim pada majlis berbuka puasa di Kota Bharu kelmarin.

Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra kini boleh kembali menjalankan tugas rasmi dari kediaman baginda di Istana Mahkota, Kubang Kerian di sini tanpa perlu masuk ke pejabat.

Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berkata, kesihatan baginda semakin pulih selepas pulang dari menjalani rawatan di Singapura bulan lalu.

Menurutnya, baginda kini telah boleh mengeluarkan titah pada bila-bila masa.

“Sekarang (baginda) sudah boleh menjalankan tugas seperti yang saya katakan sebelum ini. Sultan bukan macam kontraktor yang perlu pergi ke tapak projek sebelum membuat sebarang keputusan.

“Kalau kita ambil contoh, Raja Thailand pun saya rasa sudah lama di hospital. Mungkin lebih setahun belum keluar,” katanya ketika ditemui selepas majlis Pengurniaan Zakat dan Berbuka Puasa Yayasan Tengku Temenggong bersama anak-anak yatim di Kota Bharu kelmarin.

Sultan Ismail yang gering sejak Mei tahun lalu menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura dan pulang ke tanah air pada 4 Mac lalu.

Kosmo

Keputusan Kelantan Saman Petronas Berhubung Royalti Minyak Diketahui Hari Ini

Keputusan untuk menyaman Petronas berhubung tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan akan diketahui hari ini selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri membuat keputusan.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Datuk Husam Musa berkata peguam yang dilantik mengenai urusan itu terlebih dahulu akan mengadakan perbincangan dalam mesyuarat tersebut.

"Jika semua berjalan lancar fail saman itu akan didaftarkan di Kuala Lumpur pada 30 Ogos ini iaitu sehari sebelum negara menyambut Hari Kemerdekaan.

"Perbincangan esok bagi membolehkan pihak peguam membuat penjelasan dan berbincang mengenai draf writ saman yang akan dikemukakan nanti," katanya semalam.

Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Mac lalu sebulat suara meluluskan usul untuk memberikan mandat kepada kerajaan negeri untuk mengambil sebarang tindakan termasuk tindakan mahkamah bagi menuntut royalti minyak seperti mana yang termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum 1975.

Kerajaan Kelantan tidak mengiktiraf penyaluran wang ihsan menggantikan royalti minyak oleh kerajaan pusat, dan telah menuntut lebih RM1 bilion royalti tersebut berikutan hasil minyak yang dikatakan dikeluarkan dari kawasan perairan negeri ini sejak beberapa tahun lalu.

Tuntutan itu dibuat sebelum pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Julai tahun lalu berdasarkan kepada perjanjian melalui Akta 144 Kemajuan Petroleum 1974.

Kerajaan Pusat bagaimanapun hanya bersetuju memberikan wang ihsan sebanyak RM25 juta yang telah diberikan kepada rakyat Kelantan pada Mei lalu.

Mengulas perkara itu lagi Husam berkata mantan Pengerusi Petronas yang juga Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telah menyatakan persetujuan untuk memberikan afidavit bertulis dalam kes saman itu nanti.

"Apa pun pintu rundingan masih terbuka antara kerajaan Kelantan dan Pusat dan terpulanglah bagaimana kaedah untuk menyelesaikannya," katanya.