Saturday, November 13, 2010

BAJET DEFISIT BUKTIKAN KERAJAAN PAS GAGAL

Bajet defisit sebanyak RM53.24 juta yang dibentangkan oleh Kerajaan Pas Kelantan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini membuktikan kegagalan parti tersebut membangunkan negeri ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, sewajarnya ekonomi di negeri ini tidak terus menguncup biarpun diperintah oleh Pas sejak 20 tahun lalu.

Ini kerana, katanya, Kerajaan Pusat telah menghulurkan pelbagai bantuan termasuk geran pembangunan, bantuan per kapita dan peruntukan menaik taraf jalan.

Menurutnya, Kerajaan Pas Kelantan seharusnya berusaha mencari sumber pendapatan baru untuk menambah hasil dalam negeri memandangkan negeri ini kaya dengan pelbagai sumber alam, kesenian dan tenaga mahir.

"Salah satu bidang berpotensi untuk dimajukan adalah membangunkan Sungai Kelantan bagi agro-pelancongan untuk menarik pelancong asing menikmati keindahan sepanjang sungai itu sehingga ke muara dan terus ke Laut China Selatan.

"Rakyat Kelantan juga yang rugi kerana tidak mendapat pembangunan dan menerima kesan kemerosotan ekonomi impak kegagalan itu," katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan kempen pencegahan denggi peringkat Senok Barat di Sekolah Kebangsaan Pantai Senok di sini hari ini.

Beliau mengulas pembentangan Bajet 2011 yang mengalami defisit RM53.24 juta dengan perbelanjaan dianggar berjumlah RM464.13 juta berbanding anggaran hasil RM410.89 juta pada persidangan DUN berakhir semalam.

Belanjawan itu dibentangkan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa dan ia merupakan defisit tertinggi dalam tempoh tiga tahun pentadbiran Kerajaan Pas Kelantan berbanding RM29.5 juta pada tahun ini dan RM20.2 juta tahun lalu.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, negeri ini sewajarnya mencontohi kerajaan Melaka yang berjaya membangunkan negeri itu dengan pelbagai sumber.

Katanya, Melaka walaupun sebuah negeri yang kecil dan tiada kekayaan hasil bumi telah berjaya menyumbang kutipan hasil kepada Kerajaan Pusat antara yang tertinggi iaitu sebanyak RM1.3 bilion berbanding Kelantan RM34 juta setahun.

Sehubungan itu, katanya, kepemimpinan Kelantan tidak boleh lepas tangan dalam soal ini dengan memberi pelbagai alasan termasuk meminta tempoh yang lama untuk diselesaikan daripada rakyat.

"Ini termasuk isu bekalan air bersih yang mana pemimpin Pas meminta tempoh 17 tahun lagi untuk menyelesaikannya sedangkan tempoh 20 tahun yang dimandatkan oleh rakyat adalah lebih daripada mencukupi untuk tujuan itu.

"Saya cukup dukacita dengan masalah air yang kian meruncing ini. Adalah lebih baik rakyat menukar kerajaan baru yang mampu menyelesaikan masalah sebegini dalam tempoh segera kerana air adalah keperluan utama dalam kehidupan," tegasnya.

HAIRUDIN OMAR KE NEGERI SEMBILAN

Bekas penyerang kebangsaan, Hairudin Omar dikatakan hampir pasti untuk meninggalkan skuad juara Piala Malaysia, Kelantan dan akan berhijrah ke Negeri Sembilan musim depan.

Utusan Malaysia difahamkan, penjaring gol perlawanan akhir itu mendapat tawaran yang lumayan dari Negeri Sembilan.

Namun, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dikatakan memberikan masa kepada Hairudin untuk membuat keputusan, sehingga majlis menandatangani kontrak baru, esok.

Menurut sumber, Kelantan masih memerlukan khidmat Hairudin untuk membantu mereka mempertahankan Piala Malaysia, biarpun dia dilihat berada pda penghujung karier.

"Kita telah menawarkan kontrak baru kepada kepada Hairudin selepas kontraknya tamat sebaik sahaja saingan musim 2010 berakhir.

"Bagaimanapun kita tidak mampu menahannya untuk berhijrah kerana Negeri Sembilan dipercayai menawarkan kontrak yang lumayan,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Friday, November 12, 2010

ZAID IBRAHIM TU UMNO DAH REJECT?

"Apabila Kerajaan ditolak oleh rakyat maka tentunya Pakatan Rakyat dapat membentuk Kerajaan dan pada waktu itu akan gilalah Zaid Ibrahim nak jadi Perdana Menteri Malaysia sedangkan orang yang berperangai seperti Zaid Ibrahim ini tidak layak untuk diangkat menjadi Perdana Menteri kerana sikapnya 'dia saja yang betul' dan melihat orang lain mesti menurut kehendaknya."

Gambar bekas setiausaha politik Muhyiddin Yassin dan Zaid Ibrahim

Daripada http://newkk.blogspot.com/

Zaid Ibrahim berjaya mengistihaarkan bahawa beliau layak jadi Ketua PKR yang baru, ini diluahkan semasa sidang akhbar yang diadakan dirumah beliau apabila ada wartawan bertanya kepada beliau, siapakah patut jadi Ketua PKR yang baru, jawabnya saya fikir saya boleh. Rupa-rupanya beliau menyertai PKR nak jadi Ketua bukan nak melihat Pakatan Rakyat jadi kuat dan dapat menawan PUTRAJAYA.

Zaid Ibrahim jadi begini kerana kesilapan Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi melantik beliau jadi Senator dan diberi jawatan Menteri, Gahnya tidak terkira, mahu dilihat beliaulah yang hebat, dan sungguh permainan politiknya hebat, bukan saja sekarang tapi semasa dalam UMNO dulu lagi, sepak teranjang beliau membuat UMNO Bahagian Kota Bharu punah sehingga kini belum pulih lagi.

Kepintaran beliau bermain politik berjaya sehingga hari ini kerana samasa hayat politiknya mahu berakhir dalam UMNO beliau keluar UMNO dan menyertai PKR, dalam PKR beliau diberi banyak keistimewaan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim. Walau pun orang baru dalam PKR beliau telah menonjol sebagai salah seorang pemimpin masa depan PKR.

Kini beliau mahu menawan hati ahli-ahli PKR supaya menyebelahi beliau dan menjatuhkan Anwar Ibrahim, beliau nampaknya mahu menjadi Ketua PKR dengan harapan apabila Pakatan Rakyat iaitu PAS, DAP dan PKR berjaya menumbangkan BN dalam piliharaya umum yang akan datang maka beliaulah yang akan jadi Perdana Menteri Malaysia ke 7 nanti.

Sikap yang tidak mengenang budi yang ada dalam dirinya boleh merusakkan perjuangan murni rakyat yang mendokong 'Reformasi' yang mahu melihat Kerajaan Malaysia dimasa depan akan lebih bersih dan lebih baik apabila Pakatan Rakyat memerintah.

Mujurlah Tuhan telah menyekat awal-awal lagi kemaraan beliau yang bercita-cita tinggi itu dengan mengalahkan beliau dari terus merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, beliau mengaku ditengah jalan tapi meneruskan hasrat 'biar sama saja' didalam PKR. Sekiranya beliau berjaya menjadi Timbalan Presiden PKR sudah pasti Wan Azizah akan dimamahnya hidup-hidup supaya jawatan Presiden itu kosong dan beliaulah yang akan bertindak sebagai Presiden.

Dengan arus politik Malaysia sekarang sudah jelas rakyat akan menolak Kerajaan BN yang gagal mentarbiahkan pemimpinnya supaya tidak menyombong dan memperkayakan diri dan keluarganya yang mengakibat rakyat tidak akan memilih BN dalam PRU 13 nanti.

Apabila Kerajaan ditolak oleh rakyat maka tentunya Pakatan Rakyat dapat membentuk Kerajaan dan pada waktu itu akan gilalah Zaid Ibrahim nak jadi Perdana Menteri Malaysia sedangkan orang yang berperangai seperti Zaid Ibrahim ini tidak layak untuk diangkat menjadi Perdana Menteri kerana sikapnya 'dia saja yang betul' dan melihat orang lain mesti menurut kehendaknya.

Dalam kemelut PKR sekarang ini sebenarnya Anwar Ibrahim yang salah, salah kerana mudah menerima Zaid Ibrahim dalam barisan penting kempimpinan PKR, melantik Zaid Ibrahim kedalam Biro Politik, memberi tugas sebagai Penyelaras Pakatan Rakyat, memberi jadi calun PR di Hulu Selangor dan melantik beliau jadi Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan tanpa menyelidik apakah tujuan sebenar Zaid Ibrahim ingin menyertai PKR.

Anwar Ibrahim bernasib baik, mujur tembelang Zaid Ibrahim dapat dilihat dengan cepat dan Zaid Ibrahim sendiri membuka tembelangnya. Hari ini Zaid Ibrahim berjaya mempengaruhi beberapa orang kuat PKR bersamanya untuk menghancurkan PKR dari dalam dengan bertindak memburuk-buruk Anwar Ibrahim dan Azmi Ali. Kenapa Zaid Ibrahim tidak memburukkan Wan Azizah Ismail selaku Presiden PKR.

Kerana Zaid Ibrahim tahu sekiranya beliau memburukkan Wan Azizah Ismail itu bererti beliau membuka pekung didadanya sendiri kerana Wan Azizah Ismail adalah orang yang bersih dan diterima oleh seluruh rakyat jelata.

Zaid Ibrahim nak jadi Ketua PKR tapi takut kepada Wan Azizah Ismail. Jadi menitilah beliau pada dahan yang bongkok.