Monday, January 3, 2011

T'Team Ada Kelebihan Hadapi Kelantan Piala FA

T'Team ada kelebihan tersendiri apabila bertemu juara Piala Malaysia 2010 Kelantan dalam pertandingan Piala FA 2011, menurut jurulatihnya Yunus Alif.

Beliau berkata kelebihan T'Team kerana ia mempunyai bekas pemain Kelantan iaitu Indra Putra Mahayuddin, Nor Farhan Muhammad (gambar kiri) dan Azizi Mat Rose.

"Sebagai bekas pemain tunggak Kelantan, sudah pasti mereka tahu bagaimana untuk mengatasi pasukan itu," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

T'Team akan menjadi tuan rumah bagi perlawanan secara sistem kalah mati pada 19 Feb ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Mengulas lanjut, Yunus berkata pengalaman ketiga-tiga bekas pemain Kelantan itu penting bukan sahaja untuk Piala FA tetapi juga untuk mengharungi saingan Piala Malaysia dan Piala Liga.

Yunus berkata keadaan pasukan T'Team musim ini boleh dikatakan mantap dalam semua posisi dan bersedia menghadapi cabaran daripada pasukan-pasukan hebat.

Selain membawa masuk bekas pemain Kelantan itu, T'Team juga membariskan ramai bekas pemain kebangsaan seperti Rosdi Talib, Sobri Sulong, Syamsuri Mustafa dan Haris Safwan Kamal.

"Saya akan cuba gabungkan pengalaman pemain-pemain ini supaya menjadi sebuah pasukan yang disegani dan mantap," katanya.

Yunus berkata kecemerlangan pasukan T'Team untuk muncul sebagai salah sebuah pasukan hebat tahun ini akan diserlahkan dalam beberapa perlawanan persabahatan yang diadakan.

Beliau berkata setiap pemain menunjukan prestasi dan semangat yang tinggi bagi membantu pasukan T'Team menjuarai salah satu piala musim ini.

Teh Timbang Berbahaya Kepada Kesihatan - Jabatan Kesihatan

Teh timbang atau teh sukat yang amat digemari oleh penduduk di negeri Kelantan sebenarnya boleh memudaratkan kesihatan mereka.

Ketua Penolong Pengarah Kanan (Keselamatan dan Kualiti Makanan) Jabatan Kesihatan Kelantan (JKK), Ahmad Nadzri Sulaiman berkata teh berkenaan yang sering digunakan peniaga kedai kopi sebenarnya mengandungi bahan pewarna sintetik (bukan semula jadi) yang berbahaya kepada kesihatan.

"Teh berkenaan tidak mempunyai label dan dijual secara timbang di rata-rata kedai runcit di negeri ini. Ia berbahaya kepada kesihatan pengguna dalam jangka masa yang lama," katanya di Jeli, kelmarin.

Katanya penjualan teh perlu mengikut Peraturan-peraturan Makanan 1985 iaitu tidak membenarkan serbuk teh ditambah bahan pewarna.

Sesiapa yang didapati menjual, mengimport, mengguna dan menyimpan teh timbang ini, jika disabitkan kesalahan, boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun, katanya.

Beliau berkata berdasarkan rekod JKK dari Januari hingga Oktober 2010, sebanyak 1,858kilogram serbuk teh timbang bernilai RM22,296 dirampas dalam operasi yang dijalankan JKK.

Peniaga restoran, Meriyam Sholah, 45, berkata beliau tidak mengetahui bahaya penggunaan teh itu dan telah menggunakannya sejak sepuluh tahun lalu.

"Makcik memang suka guna teh timbang ni, pekat molek untuk buat air teh terutama teh susu, kalau guna yang uncang tu nampak pucat dan tak sedap, pelanggan pun bising," katanya.

Katanya harga teh timbang juga lebih murah berbanding teh uncang dan perkara itu penting bagi perniagaannya.

Puad Zainudin, 50, pula berkata beliau pernah mendengar mengenai bahaya penggunaan teh timbang bagaimanapun tetap menggunakannya.

"Saya beli yang harga RM12 sekilo, yang murah RM7 sekilo...yang murah aroma teh tak kuat," katanya.

KAFA Mahu Pajak Stadium Sultan Muhammed Ke-IV

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menawar untuk memajak Stadium Sultan Muhammed ke-IV daripada kerajaan negeri dengan harga RM10 juta bagi tempoh 30 tahun.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata langkah itu bagi membolehkan persatuan tersebut menaik taraf stadium yang kini berada dalam keadaan daif, bagi membolehkan Kelantan menjadi tuan rumah pada kejohanan bertaraf bintang.

"KAFA tawar untuk memajak stadium ini yang bukan untuk kita ambil sepenuhnya untuk tempoh masa jangka panjang tetapi hanya untuk tempoh 30 tahun demi untuk menaikkan imej bola sepak Kelantan dan negara.

"Jika kerajaan negeri melalui Perbadanan Stadium Kelantan bersetuju, KAFA akan bayar sebanyak RM10 juta dan dalam tempoh itu stadium ini akan berubah wajah daripada apa yang ada sekarang," katanya selepas mesyuarat agung ke-56 KAFA di Kota Bharu, kelmarin.

Pada mesyuarat itu Annuar diumum menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden untuk tempoh tiga tahun lagi manakala jawatan Timbalan Presiden kini dipegang Datuk Afandi Hamzah.

Annuar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini pernah meminta agar perbadanan stadium itu bertindak segera untuk menaik taraf stadium berkenaan yang kini begitu uzur kerana jika tidak FAM boleh mengambil tindakan untuk tidak membenarkan sebarang kejohanan peringkat kebangsaan seperti Liga Malaysia diadakan di situ.

Beliau berkata surat tunjuk minat telah pun dihantar kepada perbadanan berkenaan untuk dipertimbangkan.

"Perbadanan telah pun membalas surat berkenaan yang meminta KAFA memperincikan beberapa perkara lagi bagi dipertimbangkan di peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata beberapa pihak yang lain telah menyatakan persetujuan untuk menjadi rakan kongsi KAFA bagi membantu menaik taraf stadium itu jika kerajaan negeri bersetuju untuk memajaknya kepada KAFA.