Monday, January 3, 2011

KAFA Mahu Pajak Stadium Sultan Muhammed Ke-IV

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menawar untuk memajak Stadium Sultan Muhammed ke-IV daripada kerajaan negeri dengan harga RM10 juta bagi tempoh 30 tahun.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata langkah itu bagi membolehkan persatuan tersebut menaik taraf stadium yang kini berada dalam keadaan daif, bagi membolehkan Kelantan menjadi tuan rumah pada kejohanan bertaraf bintang.

"KAFA tawar untuk memajak stadium ini yang bukan untuk kita ambil sepenuhnya untuk tempoh masa jangka panjang tetapi hanya untuk tempoh 30 tahun demi untuk menaikkan imej bola sepak Kelantan dan negara.

"Jika kerajaan negeri melalui Perbadanan Stadium Kelantan bersetuju, KAFA akan bayar sebanyak RM10 juta dan dalam tempoh itu stadium ini akan berubah wajah daripada apa yang ada sekarang," katanya selepas mesyuarat agung ke-56 KAFA di Kota Bharu, kelmarin.

Pada mesyuarat itu Annuar diumum menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden untuk tempoh tiga tahun lagi manakala jawatan Timbalan Presiden kini dipegang Datuk Afandi Hamzah.

Annuar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini pernah meminta agar perbadanan stadium itu bertindak segera untuk menaik taraf stadium berkenaan yang kini begitu uzur kerana jika tidak FAM boleh mengambil tindakan untuk tidak membenarkan sebarang kejohanan peringkat kebangsaan seperti Liga Malaysia diadakan di situ.

Beliau berkata surat tunjuk minat telah pun dihantar kepada perbadanan berkenaan untuk dipertimbangkan.

"Perbadanan telah pun membalas surat berkenaan yang meminta KAFA memperincikan beberapa perkara lagi bagi dipertimbangkan di peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata beberapa pihak yang lain telah menyatakan persetujuan untuk menjadi rakan kongsi KAFA bagi membantu menaik taraf stadium itu jika kerajaan negeri bersetuju untuk memajaknya kepada KAFA.

No comments: