Monday, May 2, 2016

Sindiket Warga Indonesia Rompak Pelanggan Bank Ditumpaskan Di Kelantan


Polis Kelantan menumpaskan satu sindiket warga Indonesia yang menyasarkan pelanggan yang baharu mengeluarkan wang di bank, selepas menangkap lima suspek di Kampung Repek, Pasir Mas minggu lepas.

Ketuanya Datuk Mazlan Lazim berkata dengan kejayaan itu, pihaknya percaya dapat menyelesaikan 11 kes rompakan membabitkan lapan kes di Kelantan dan masing-masing satu di Johor, Kedah dan Pulau Pinang sejak Disember tahun lepas.

Beliau berkata kegiatan kesemua suspek itu, yang berumur di antara 20 hingga 36 tahun dan berasal dari Batam, terbongkar apabila seorang anggota mereka ditahan selepas merompak seorang tauke lembu yang baharu sahaja mengeluarkan RM150,000 dari sebuah bank di Pasir Mas pada Isnin lepas.

"Berdasarkan modus operandi kumpulan ini, anggota wanita berkenaan akan menyamar sebagai pelanggan bank dan memantau pelanggan lain yang mengeluarkan wang dalam jumlah besar.

"Dia kemudian memaklumkan kepada rakannya yang berada di luar bank sebelum merompak mangsa yang dikenal pasti itu," katanya kepada pemberita di Kota Bharu, hari ini.

Kelima-lima suspek itu ditahan selepas kereta dan motosikal yang dinaiki mereka terbabas semasa dikejar mangsa dan penduduk kampung di Kampung Repek, Pasir Mas.

Kesemua suspek direman bermula 25 April hingga 9 Mei bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Mazlan menyaksikan Majlis Serah Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan daripada SAC Ahmad Taufek Abdullah kepada ACP Mohamad Fakri Che Sulaiman.

Ahmad Taufek dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Komander Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) di Bukit Aman, Kuala Lumpur. Hadir sama Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Ab Rashid Ab Wahab.

Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata polis menahan lima lelaki berumur di antara 19 hingga 64 tahun dan merampas sepucuk pistol jenis .38, lapan peluru termasuk empat di dalam kelongsong selepas dipercayai terlibat dalam kes tembak di Kampung Padang Demit, Kubang Kerian di sini pada 21 April lepas.

"Siasatan mendapati tembakan dilepaskan suspek akibat dendam. Kesemua mereka direman dari 21 April lepas hingga 3 Mei," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kawalan keselamatan diperketatkan lagi bagi membanteras aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand.

Jabatan Perhutanan Kelantan Rampas Dua Tan Balak Haram



Jabatan Perhutanan Kelantan merampas dua tan metrik kayu jenis keruing dan nilam bernilai RM10,000 yang disyaki hasil pembalakan haram oleh penduduk tempatan di Hutan Simpan Kekal Ulu Sat, Machang.

Pengarahnya Zahari Ibrahim berkata, dalam serbuan 4 petang Ahad, pihaknya menemukan kayu-kayan berkenaan yang telah siap dibelah dalam pelbagai saiz dan dipercayai akan dijual kepada syarikat perumahan tertentu.

"Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dilakukan dalam serbuan tersebut kerana suspek dipercayai sudah mengesan lebih awal kedatangan pasukan penguat kuasa Jabatan Perhutanan.

Katanya, kegiatan menebang dan membelah balak itu dilakukan oleh penduduk pada waktu cuti Hari Pekerja semalam dan mereka disyaki sengaja melakukan pada hari berkenaan kerana menyangkakan kakitangan Jabatan Perhutanan Kelantan turut bercuti.

"Kegiatan terbabit dikesan hasil maklumat orang ramai yang percaya kumpulan pembalak haram yang menceroboh hutan simpan ini membekalkan kayu kepada syarikat kontrak perumahan," katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Bharu hari ini.

Zahari berkata serbuan itu dilakukan sepasukan anggota Unit Operasi dan Penguat kuasa yang diketuai Penolong Pengarah unit berkenaan Bakar Rapaee dan Pegawai Selia Hutan Tengku Rahimi Tengku Mat.

Katanya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun.


"Jabatan Perhutanan Kelantan amat berterima kasih kepada pihak yang menyalurkan maklumat mengenai kegiatan terbabit kerana mereka ini boleh menyebabkan spesies kayu hutan yang bernilai tinggi pupus," katanya.

Bernama

Saturday, April 30, 2016

Pasal Duit, Dr Vida Kurang Percaya Kepada Pengurusan KAFA


"...saya tak bagi mereka (KAFA) duit. Saya pegang duit itu. Bukan saya tidak yakin cuma kurang percaya dengan mereka...sebab mungkin dalam tekanan bayar hutang mereka. (KAFA) guna duit itu."
- Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman

Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman berterus terang bahawa beliau kurang percaya dengan pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dalam soal duit.

Apakah ini punca kemelut antara beliau dengan KAFA sekarang?

Beliau yang dikenali dengan Dr Vida mengakui, kurang percaya dengan ketelusan pengurusan  dalam menguruskan kewangan adalah sebab utama beliau terpaksa mengawal sendiri wang tajaan.

Begitu sekali? Ada sesiapa yang ‘mencucuk’ Dr Vida sehingga bersikap sedemikian?

Malah menegaskan, tindakannya itu telah menjamin pemain-pemain Kelantan menerima gaji sehingga Oktober ini.

Menurut laporan Malaysian Instinct, berikutan itu, beliau menggambarkan, hubungannya dengan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa ibarat retak menanti belah, namun beliau tiada jalan keluar dan perlu meneruskan komitmen penajaan terhadap skuad The Red Warriors.

“Sebenarnya saya sudah tidak ambil peduli dengannya (Annuar) sebab dia cakap dengan saya dia mahu beritahu kepada masyarakat pasal jumlah tajaan saya. Saya cakap silakanlah. Saya tidak ada masalah. Saya tidak takut dan sebab itulah saya cakap dari dulu mengapa saya mengenakan syarat.

“Sebenarnya, apabila saya letak syarat saya ada perjuangan dan saya ada penegasan mengapa saya perlu buat sedemikian. Seandainya duit diberikan semua apa akan jadi kepada pemain di masa akan datang sebab mungkin dalam tekanan bayar hutang mereka (KAFA) guna duit itu.

“Saya tidak mahu. Saya nak duit saya dibayar untuk gaji pemain. Jadi pemain tidak perlu risau sebab saya dah peruntukkan duit gaji sampai Oktober.

“Cuma saya tak bagi mereka (KAFA) duit. Saya pegang duit itu. Bukan saya tidak yakin cuma kurang percaya dengan mereka,” Dr Vida kepada Utusan Malaysia, semalam.

Dr. Vida turut mengakui, prestasi Kelantan yang tidak dan semua masalah yang menyelubungi dirinya dan KAFA ketika ini sedikit sebanyak membuatkannya merasa bosan.

“Cuma saya macam tiada jalan keluar sekarang. Tengoklah saya kena kutuk macam-macam kalau keluar (berhenti penajaan) namun saya tidaklah mahu keluar penajaan sebab saya kena bantu Kelantan.

“Tapi kena ikut cara sayalah. Jangan sampai saya fikir, susahnya nak uruskan pasukan yang macam dah besar kepala, saya nak buat pasukan sendiri pun boleh,” katanya lagi, yang bagaimanapun menegaskan beliau tidak serik untuk melibatkan diri dalam bola sepak.