Saturday, September 17, 2016

Pejabat DUN Salor - AMANAH Minta MB Pecat EXCO Cakap Bohong


Pemilik tanah yang menjadi tapak bangunan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Salor, Rosli Ibrahim mencadangkan agar Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub memecat salah seorang exconya kerana bercakap bohong.

"Pecatlah Datuk Mat (MB Kelantan), malu kepada orang exco macam ni," kata Rosli merujuk seorang exco kerajaan negeri Kelantan yang mendakwa tanah tapak bangunan pusat khidmat DUN Salor itu adalah milik kerajaan negeri.

Menurut Rosli, bekas setiausaha Semangat 46 Kelantan itu, tanah tapak bangunan pejabat itu beliau beli dengan harga RM5,800 dari seorang bernama Minah binti Musa.

Kemudian beliau memberikan tanah itu atas nama isterinya Haripah binti Dollah.

"Memanglah milik 'pah'. Tetapi bukan 'PAS'," kata Rosli dalam ceramahnya di perkarangan pejabat ADUN Salor itu.

Rosli berkata, beliau kemudiannya menyerahkan tapak itu kepada Datuk Husam Musa untuk dibina bangunan yang ada sekarang.

Sebelum ini Husam berkata Pejabat DUN Salor yang kini bertukar daripada pusat khidmat ADUN PAS kepada pusat aduan rakyat Amanah adalah kerana pemilik premis berkenaan memberi amanah kepada beliau.

"Dulu pemilik tempat ini memberi amanah kepada saya untuk menjalankan aktiviti PAS tapi sekarang telah menukar amanah itu supaya saya jadikan pusat aktiviti Parti Amanah Negara (Amanah)," kata Adun Salor itu dalam ucapan di majlis memperingati hari Wukuf anjuran Amanah negeri Kelantan 11 September lalu.

Husam berkata konsep amanah adalah teras dalam menghayati ajaran Islam dan tidak patut ada pihak yang bersikap sebaliknya dengan membuat tuduhan palsu berkait kedudukan pejabat berkenaan.

"Memang pejabat tu bukan milik tok nenek saya, tapi ada tuannya yang sah," katanya.

Sehubungan itu, Rosli meminta semua pihak tidak lagi membuat dakwaan yang bukan-bukan terhadap tapak tanah tersebut.


"Kalau ada yang buat dakwaan lagi, siaplah," kata Rosli yang memberikan amaran agar dakwaan liar tidak lagi dibuat ke atas tanah itu.

Sunday, September 11, 2016

UMNO Kelantan Sokong Migrasi, Rombak AKSB Tingkat Kecekapan


KOTA BHARU (11 SEPTEMBER 2016) : Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan PAS Kelantan dijadual menandatangani perjanjian penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di negeri itu di Putrajaya, Rabu ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pemeteraian perjanjian itu merupakan khabar gembira kepada rakyat kerana bakal menyelesaikan masalah air di negeri itu yang berlarutan sejak sekian lama.

“Saya sudah menerima jemputan untuk menghadiri majlis menandatangani perjanjian penstrukturan semula ini di Jabatan Perdana Menteri, Rabu ini. Bagaimanapun perincian mengenai perjanjian ini akan dimaklumkan dalam majlis itu nanti.

“Keputusan kerajaan Pusat untuk bersetuju menandatangani perjanjian ini menerima pelbagai reaksi, ada yang setuju ada yang kurang setuju.

Bagaimanapun saya jelaskan, kita buat keputusan ini demi kepentingan rakyat Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan di Bangunan UMNO negeri hari ini.

Pentrukturan semula perkhidmatan bekalan air sememangnya ditunggu-tunggu rakyat setelah kira-kira 25 tahun menderita menerima bekalan air yang tidak berkualiti.

Baru-baru ini, Badan Bertindak Restorasi Air Kelantan (Restorasi) menuntut negeri merombak serta melakukan penyusunan semula dalam pengurusan syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) kerana dilihat gagal berfungsi dengan baik.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri memberitahu, mengikut perjanjian, walaupun berlaku penstrukturan semula, urusan untuk membekalkan bekalan air bersih di negeri ini masih kekal di bawah AKSB.

“Dalam mesyuarat sebentar tadi, Badan Perhubungan UMNO Kelantan sedia menerima perjanjian penstrukturan semula ini dengan syarat, pengurusan AKSB perlu dirombak untuk tingkatkan kecekapan.


“Hal ini kerana banyak laporan kita terima terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki dalam AKSB. Kalau tidak, bekalan air di Kelantan tidak akan berubah,” katanya.

SOKMO.NET

Saturday, September 10, 2016

Bolehkah Politik Kelantan Dipisahkan Daripada ‘Tok Guru Nik Aziz’?


Anaknya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Ketua Pemuda PAS yang juda Ahli Parlimen Pasir Mas) sering menggunakan nama ‘Tok Guru’ dalam beberapa kenyataannya.

 Sementara pemimpin AMANAH, khususnya Datuk Husam Musa pula sering mengaitkan nama ‘Tok Guru’ untuk memperkukuhkan hujahnya dalam perkara-perkara tertentu.

Husam yang terbuang selepas ketiadaan ‘Tok Guru’, hakikatnya sudahpun ‘dibuang keluar dari Kelantan’ ketika ‘Tok Guru’ masih di penghujung hayatnya.

Kini Husam  berusaha mendapatkan simpati dan sokongan menggunakan nama ‘Tok Guru’ bagi menyambung karier politiknya.

Malah Ahli Dewan Undangan (ADUN) tunggal AMANAH  di Kelantan itu baru-baru ini berkata rakyat Kelantan perlu memilih satu kerajaan yang meneruskan cara Tok Guru Nik Aziz jika mahu negeri itu maju dan selamat pada masa hadapan.

Persoalannya, apakah  ‘Tok Guru’ yang sudah meninggalkan PAS dan Kelantan itu benar-benar meletakkan Kelantan sebagai negeri yang berjaya?

Apakah Kelantan boleh dijadikan model pembangunan mapan dan pentabdiran yang berintegriti sesuai dengan labelnya sebagai sebuah ‘Serambi Mekah’?

Apakah ketika pemerintahan ‘Tok Guru’ Kelantan berada dalam keadaan yang baik ekonominya dan mantap pendtadbirannya?

Bolehkah Kelantan dijadikan sebagai salah sebuah negeri yang maju di Malaysia?

Juga apakah Kelantan negeri yang aman, damai dan bebas jenayah berbanding negeri lain?

Bolehkah dikatakan Kelantan bebas rasuah dan bersih pentadbirannya?

Bolehkah Kelantan disifatkan negeri yang berjaya memenuhi keperluan rakyat, khususnya keerluan asas seperti rumah rakyat, air bersih, peluang perniagaan, kemudahan kesihatan, jalan raya dan pengangkutan yang mengatasi negeri-negeri lain di Malaysia?


Apakah Kelantan negeri yang tergolong sebagai negeri bersih di Malaysia?

Yang dibangga-banggakan mengenai Kelantan ialah kononnya ‘politik Islam’ segar di negeri itu, sedangkan hakikatnya, apabila Nik Aziz tiada, Kelantan menjadi ‘kuca-lembe’.

Persoalannya yang perlu dijawab oleh mereka yang memuja Nik Aziz ialah apakah apabila dia meninggalkan Kelantan, negeri itu dalam keadaan ekonominya baik, maju, bebas rasuah dan memenuhi ciri-ciri sebuah negara Islam?

Jika tidak, kalau hanya mahu mengambil beberapa aspek kecil ciri-ciri ‘Tok Guru’, tidak payahlah diagung-agungkan beliau sebagai pentadbir yang berjaya.

Malah, Husam turut terpalit dengan ‘kegagalan kemajuan di Kelantan’ kerana beliau sendiri pernah menjadi orang kanan ‘Tok Guru’.

Cumanya kini, jika beliau berjaya dengan AMANAH untuk memerintah Kelantan, beliau boleh memperbaiki atau menyelesaikan misinya yang belum selesai selama ini. Dengan kata lain, ‘menebus dosa’ yang lalu.

Kerana itu, biarlah Nik Mohd Abduh atau beberapa yang taksub sahaja berulang-ulang menyebut ‘Tok Guru’. Itupun bertujuan penyatuan pemimpin dalam PAS yang kini  semakin berpecah.

Memang diakui ketika hayatnya, faktor ‘Tok Guru’ penting dalam konteks penyatuan dalam PAS khususnya di Kelantan tetapi selepas peninggalannya terbukti bahawa apa yang dikatakan sebelum ini bahawa memang wujud perpecahan di kalangan pemimpin PAS, khususnya di kalangan ulama dan progresif, adalah kenyataan.

Penubuhan AMANAH menjawab segala-galanya.


Jadi, jika AMANAH berjuang hanya untuk mendapatkan sokongan penyokong PAS, maka ia tidak akan berkembang jauh.

Namun berasaskan kepada apa yang disebut Husam bahawa AMANAH  menawarkan pentadbiran Islam lebih baik dan memfokus untuk menyelesaikan isu-isu rakyat bila diberi peluang menjadi kerajaan di Kelantan, ia menjanjikan sesuatu yang boleh diletakkan harapan.

Husam tidak perlu ada kaitan dengan ‘Tok Guru’ kerana memang Islam mengutamakan rakyat miskin dan mereka yang kekurangan keperluan asas, bukan mengejar taukey besar untuk dapat habuan segera.

Boleh menjadikan rujukan mengenai sifat ‘cakna’ kepada orang miskin yang ditunjukkan ‘Tok Guru’ namun Husam dan AMANAH tidak boleh lagi mengambil bayang-bayang PAS jika mahu terus ke hadapan.

Tidak perlu bernostalgia dengan ‘Tok Guru’ dalam menyatakan dasar dan perjuangan.

Yang penting AMANAH perlu berusaha keras bagi membawa Islam yang mencari penyelesaian kepada semua masalah yang dihadapi termasuk masalah air, sekolah agama Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan menaikkan taraf hidup rakyat di kampung-kampung.

Kalau AMANAH diberi kuasa menurut Husam, salah satu usaha terpenting adalah menjadikan semua guru YIK adalah tetap dan berpencen.

Benar Husam sedang memperteguhkan pengaruhnya di Kelantan, namun Husam juga adalah tokoh nasional dan sewajarnya terus memperkatakan isu membanteras rasuah, membela rakyat dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, perumahan, menambah pendapatan dan mencari jalan mengatasi tekanan hidup akibat kenaikan harga barang.

Memanglah bukan PAS sahaja yang memperjuangkan Islam. Malah, AMANAH turut memperjuangkan Islam. UMNO juga memperjuangkan Islam.

Namun apakah perbezaan antara ketiga-tiganya?

Menurut Husam, "Islam menganjurkan "Fastabiqul khoirat” yang bermaksud “Boleh berlumba-lumba dalam membuat kebajikan” dengan syarat membawa kepada Islam yang gagah.

Menjawab satu soalan hadirin pada satu majlis ramah mesra di kampung Cherang dalam kawasan Kota Bharu, Husam berkata tujuan AMANAH ditubuhkan serta hala tuju parti AMANAH berlandaskan dasar Islam yang diterjemahkan dengan bijaksana sesuai dengan keadaan di Malaysia.

"Misalnya, di tempat kita terdapat ada bangsa Cina, india dan Melayu, jika kita memperjuangkan hanya dasar bangsa Melayu semata-mata, Islam tidak akan dapat naik untuk memerintah," katanya.

Walaupun nampak mudah, namun usaha Husam pastinya akan berdepan dengan berbagai rintangan.

Beliau bukan sahaja berdepan dengan UMNO tetapi PAS Kelantan akan berusaha untuk menenggelamkan beliau.

‘Dendam’ pemimpin PAS Kelantan dan PAS Terengganu terhadap Husam akan dapat dilihat bagaimana mereka memerangi Husam selepas ini.

PAS Kelantan dan PAS Pusat tidak akan berdiam diri. Husam juga mungkin akan disekat daripada terus ‘menggunakan nama Tok Guru’ dalam perjuangan politiknya.


Sebelum ini pun sudah ada kenyataan Nik Mohamad Abduh supaya Husam jangan menggunakan nama arwah ayahnya untuk tujuan politik.

Kerana itu adalah baik Husam melupakan strategi menggunakan nama ‘Tok Guru’.

Ini  kerana Husam sudah  bersama AMANAH, perjuangannya kini sudah baharu.

Dengan bernostalgia mengenai ‘Tok Guru’ akan membawa gambaran seolah-oleh beliau masih ‘gila-talak  dengan PAS’ sedangkan hakikatnya, beliau sudahpun membuang jauh-jauh cara dan perjuangan lamanya melalui PAS.

Husam kini adalah Husam baharu.

Beliau kini menggendong perjuangan baharu bersama AMANAH, iaitu parti baharu yang diuar-uarkan sebagai menggantikan PAS.

Kerana itu adalah baik Husam tidak lagi mengaitkan dirinya serta membebaskan dirinya  daripada ‘Tok Guru’ dengan biarkan pemimpin PAS yang bernostalgia dengannya.

Husam baharu perlu berwajah baharu dengan idea dan wawasan perjuangan yang baharu.

AMANAH perlu dilihat parti baharu, bukan parti yang bersalin kulit daripada PAS.

Persoalannya bersedia dan dapatkan Husam dan AMANAH memisahkan dirinya daripada ‘bau dan pengaruh’ Tok Guru dalam menjayakan wadah perjuangan dalam politik Malaysia yang semakin mencabar?