Thursday, June 25, 2009

UMNO BERPECAH JADI TIGA PUAK?

Oleh SM Noor (buletinonline.com)

Wednesday, 24 June 2009 01:52

PAS Terengganu tidak sedikit pun berasa gentar dan tergugat dengan perlantikan pimpinan tertinggi UMNO Terengganu dan yakin segala pendekatan yang diambil, bakal menemui kegagalan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik berkata, Pengerusi UMNO Terengganu yang baru, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein tidak akan mampu menyatupadu dan memperkukuhkan UMNO Terengganu

Percaturan Hishammuddin melantikan kepimpinan baru tersebut tidak akan memberi sebarang keuntungan kepada rakyat negeri ini, bahkan akan menyebabkan UMNO terus berbalah dan semakin berpecah

Katanya UMNO Terengganu telah pun berpecah kepada dua kumpulan sebelum ini iaitu kumpulan yang menyokong Menteri Besar Dato’ Ahmad Said dan kumpulan yang menyokong bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idirs Jusoh.

Dengan Hishamudin yang bukan orang tempatan, dilantik sebagai Pengerusi UMNO Terengganu, katanya, UMNO kini menjadi tiga puak.

“Sebelum ini kita semua sudah maklum UMNO ada dua puak iaitu kumpulan Idris dan Ahmad Said, sebagai Pengerusi UMNO negeri, kehadiran Hishammuddin akan jadikan UMNO Terengganu kepada tiga puak,

“Oleh itu, pelantikan (pimpinan tertinggi yang baru) ini memang tidak akan untungkan orang Terengganu, perpecahan akan terus berlaku dan keadaan UMNO (akan) menjadi lebih parah berbanding sebelum ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata demikian dalam mengulas pelantikan Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, Dato’ Ahmad Shabery Cheek dan Dato’ Abdul Rahin Mohd Said sebagai Setiausaha, Ketua Penerangan serta Bendahari UMNO negeri baru.

Katanya, tindakan yang dilakukan Hishammuddin hanya pada zahirnya sahaja dilihat menyatukan UMNO Terengganu.

“Namun, pemimpin UMNO pusat itu sekarang sebenarnya sedang mencengkam dari segi politik dan ekonomi,

”Sama ada kebetulan atau disengajakan, tiba-tiba muncul kes rasuah yang dikaitkan dengan dua pemimpin UMNO Terengganu yang digugurkan,

”Mungkin kedua-duanya tidak akan didakwa selepas ini dan Hishamudin sebagai Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa dalam hal tersebut,”tambahnya.

Tuesday, June 23, 2009

BUMBUNG STADIUM RUNTUH – PUNCANYA?

Benarkah ini fakta sebenar punca keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Kuala Terengganu berharga lebih RM290 juta tempoh hari?

Kijang mengikuti secara menyeluruh sebuah rencana ditulis oleh wartawan veteran, Hambali Abdul Latiff. Menarik dan mengundang seribu pertanyaan.

Blog www.teganuku.blogspot.com yang memetik tiga rencana berkaitan ‘Mencari Fakta Sebenar’ stadium berkenaan oleh Hambali, baik untuk dibaca dan dimengertikan fakta asas dan latar belakang pembinaan dan pengawasan stadium berkenaan.

Ikuti tulisan Hambali:

STADIUM SULTAN MIZAN- MENCARI FAKTA SEBENAR
Oleh Hambali Abdul Latiff (www.hambali1.blogspot.com)

Bahagian Pertama (16 Jun 2009)

Selepas reda dengan pelbagai komen dan respon daripada pelbagai pihak – Kerajaan Negeri, Kementerian Kerja Raya, kontraktor, mereka yang disabitkan serta blogger yang mengemukakan pelbagai pandangan, mulanya saya merasakan tiada apa lagi mahu ditulis.

Malah, adalah lebih baik menunggu sahaja laporan sebuah badan penyiasat khas ditubuhkan bagi menyiasat punca kejadian runtuhan separuh daripada bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Bagaimanapun, apabila membaca beberapa blog, ada satu kenyataan menarik daripada sebuah blog yang penulisnya orang Terengganu, membuat saya berusaha menyelidiki beberapa fakta tambahan.

Ini kerana cara beliau menulis sedikit melampau. Kalaupun mahu spin janganlah pula babitkan nama-nama besar seperti Datuk Seri Idris Jusoh, bekas Menteri Besar Terengganu.

Saya benar-benar tidak faham dan pelik sungguh penulis ini, apabila melalui blognya mengatakan:“Yang tidak baik, rasuah, tidak amanah, tidak bertanggungjawab, tidak jujur, tidak bersih, ‘bolah’, ‘dok jurus’, kerja untuk kepentingan diri, nak buncitkan perut sendiri dan yang makan duit haram tu orang-orang kem Deris Jusoh sahaja.”

Melampau sungguh kata-kata ini. Siapa yang kata perkara-perkara tidak baik seperti ini hanya dikalangan orang-orang Idris sahaja?

Seharusnya kalaupun marah kerana sebab-sebab tersendiri, jangan kaitkan nama sedemikian rupa kerana kejahatan dan “yang tidak baik, rasuah, tidak amanah, tidak bertanggungjawab, tidak jujur, tidak bersih, ‘bolah’, ‘dok jurus’, kerja untuk kepentingan diri, nak buncitkan perut sendiri dan yang makan duit haram” ada di mana-mana mungkin juga pada penulis berkenaan.

Yang pasti sejak tidak ada lagi ‘duit masyuk, tidak lagi dapat ke luar negara dan terpaksa kembali bertugas di tempat asalnya (kerana bos dan turun pangkat), ramai yang merasa terhimpat dan meroyan tidak tentu pasal.

Atau juga mungkin penulis ini sudah mula berpaling tadah dan mengiakan apa yang ditulisnya dan semua perkara buruk itu ada kaitan dengan ‘orang-orang kem Deris Jusoh sahaja”?
Tak faham, tak faham.

Apapun, isu bumbung stadium runtuh ini dijangka akan menjadi salah satu perkara menarik jika ada pihak, khususnya pembangkang mengemukakannya di Dewan Rakyat yang bermula semalam.

Pengerusi DAP Terengganu, En. Ng Chai Hing berkata DAP akan membawa isu Tragedi Bumbung Stadium Sultan Mizan yang runtuh pada 2hb Jun lalu ke sidang Parlimen selepas pihaknya membuat laporan di balai polis pada 3hb Jun lalu mengenai kejadian bumbung stadium runtuh.

Beliau berkata ada sesuatu yang tidak kena dalam tagedi bumbung runtuh itu kerana Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, baru berusia setahun.

Apapun, bagaikan saya katakan tadi, nampak gayanya saya akan perturunkan beberapa fakta yang tujuan saya ialah mengajak pembaca dan penjengkuk memikir, menilai dan menyelidik sendiri mengenai kedudukan sebenar pembinaan Stadium Sultan Mizan selain pandangan beberapa pakar mengenai stadium berkenaan.

Bahagian Kedua – Kos & Kontrak (17 Jun 2009)

Difahamkan Stadium Sultan Mizan adalah dibawah seliaan Kementerian Kerja Raya. Bagaimanapun, banyak fakta dan persoalan yang boleh dijadikan modal perbincangan:

Apa yang diketahui umum, kos kontrak asal ialah RM191,181,280.80 bagaimanapun telah meningkat kepada RM226,872,740.80 (berdasarkan ATDA 20 November 2005).

Anehnya ATDA pindaan 16 Julai 2008 memberikan ruang untuk ditingkatkan kos kontrak sehingga RM343,804,800.00.

Walaupun tidak sampai kepada kos ATDA pindaan, namun kos kontrak semasa yang disebut sebanyak RM292,899,941.68 menggambarkan betapa nilai kos stadium ini meningkat lebih RM100 juta daripada kos asal kontrak.

Persoalannya kenapa ia boleh meningkat begitu tinggi dan pindaan melalui ATDA siapa yang putuskan?

Sementara itu, bagi bumbung yang runtuh pula, nombor kontrak ialah JKRNT(T)2/2005.

Maklumat kontrak yang diputuskan bagi kerja-kerja bumbung diperuntukkan sebagai Wang Kos Prima (prime cost sum) ialah sebanyak RM28,000,000.00

Bagaimanapun, keputusan mesyuarat Lembaga Jawatankuasa Perolehan Negeri pada 9 April 2006 memutuskan kontrak diberikan kepada Swissma Building Technologies , Nam Fatt/Sowon Plant Construction Compony Ltd (Korea) JV bernilai RM35,246,600.00

Melihat kembali kepada kos dan kontrak yang ditunjukan di atas, ada beberapa persoalan yang boleh difikirkan bersama:

1. Dalam kes pembinaan bumbung, kenapa kontrak diberikan kepada syarikat Korea?
2. Sistem yang dipakai iaitu Space Truss – sebenarnya teknologi ini turut dimiliki syarikat tempatan tetapi apa kelebihan syarikat Korea berkenaan?
3. Kenapa kosnya berubah begitu banyak antara Wang Kos Prima dengan yang diputuskan lembaga?

Apakah dengan memberikan kontrak kepada syarikat Korea ini ada pihak mungkin mendapat keuntungan tertentu termasuk dibawa melawat beberapa stadium di Korea Selatan dan di Eropah yang menggunakan sistem yang sama.

Saya hanya mengandaikan sahaja, bukan tuduhan dan jika tidak benar, pasti aka nada jawapannya – mungkin melalui blog-blog tertentu yang menjadi jurucakap puak-puak tertentu.

Dan sekali lagi saya ingin ingatkan blog yang mengaitkan isu bumbung runtuh ini dengan Datuk Seri Idris Jusoh serta ‘orang-orangnya’ supaya jangan mengaitkan nama beliau lagi.

Saya tidak mahu lagi mendengar atau membaca kenyataan jahat seperti: “Yang tidak baik, rasuah, tidak amanah, tidak bertanggungjawab, tidak jujur, tidak bersih, ‘bolah’, ‘dok jurus’, kerja untuk kepentingan diri, nak buncitkan perut sendiri dan yang makan duit haram tu orang-orang kem Deris Jusoh sahaja.”

Bahagian Akhir – ‘JKR vs JKR”? (22 Jun 2009)

Dalam Bahagian Kedua mengenai ‘Kos & Kontrak’ saya mengatakan Stadium Sultan Mizan adalah dibawah seliaan Kementerian Kerja Raya.

Sebenarnya dalam konteks pengawasan, ia adalah di bawah bidang kuasa Pengarah Kerja Raya Negeri Terengganu dan wakil Pegawai Penguasa pula ialah Pengurus Kanan Pembinaan Pasukan Pengurusan Projek JKR Terengganu.

Sebelum ini saya sudah menyatakan kontraktor mana dan berapa harga diperuntukkan untuk membina stadium ini. Rasanya tidak lengkap kalau tidak memperkatakan mengenai arkitek stadium ini kerana ia sangat penting untuk didalami peranan sebenar arkitek berkenaan.

Ada yang mengetahui dan kenapa yang tidak mengetahui, arkitek terbabit dengan Stadium Sultan Mizan ini ialah Senibahri Arkitek.

Alamat syarikat ini ialah di 41-2, Jalan 2/27F, Seksyen 4 KLSC, Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur selain pejabat cawangan di No.30, PT 3525, Tingkat Satu, Pusat Niaga Paya Keladi, 20100 Kuala Terengganu.

Arkitek, konsultan dan kerja pengawasan atau seliaan kepada projek stadium ini dikatakan tidak begitu berfungsi pada ketika pembinaan stadium berkenaan dijalankan.

Saya mendengar khabar bahawa JKR tidak begitu memberikan ruang kepada syarikat arkitek bertanggungjawab untuk ‘memberikan nasihat’ dan ‘menyelia’ projek ini kerana sebab-sebab tertentu.

Dikatakan JKR bertegas menggunakan kepakaran mereka sendiri kerana menganggap syarikat arkitek ini tiada pengalaman dalam konteks pembinaan.

Sejauh mana benar ataupun tidak belum dapat dipastikan namun, adalah pelik sedikit apabila arkitek yang mereka-bentuk stadium ini disisihkan begitu sahaja.

Selain itu dikatakan ketika masa pembinaan, tiada pihak yang benar-benar menyelia dan menjamin supaya pembinaan dan pemasangan atap atau bumbung dilakukan secara sewajarnya.

Benar kontraktor Korea Selatan yang diberikan tugas dalam konteks membeli peralatan dan sebagainya tetapi siapa pula yang memasangnya?

Apakah mereka dilatih untuk memasang bumbung yang bercirikan ‘Space Frame’ berkenaan?

Dengar khabarnya juga, di pihak kontraktor pula, kerana mahu menjimatkan perbelanjaan, mereka tidak meletakkan pengawas atau penyelia di tapak pembinaan dan menurut pakar pembinaan, cara ini salah kerana projek tidak diseliakan dengan betul.

Persoalannya, bagaimana JKR boleh membenarkan kontraktor berbuat demikian untuk menjamin pengawasan rapi?

Persoalannya, jika JKR tidak mempunyai pakar atau cukup kakitangan, kenapa kerja-kerja seliaan mahu dilakukan sendiri?

Selain itu, apakah seliaan dilakukan secara ‘standing’ atau ‘periodic’?

Wajarkah pengawasan dilakukan tanpa sepenuh masa? Apa jadi jika stadium itu runtuh pada malam perasmian stadium atau pada malam perasmian Sukan Sukma atau perlawanan akhir bolasepak antara Perlis dan Terengganu? Boleh dikatakan pada malam itu seramai 40,000 orang berada dalam stadium berkenaan (pada satu masa).

Mungkin orang terbaik boleh menjelaskan sama ada perkara ini benar atau sebaliknya ialah Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah yang ‘banyak tahu’ mengenai pembinaan stadium ini.

Agak menghairan juga apabila Raja Bahrin ‘tidak bercakap banyak’ – apakah beliau cuba melindungi atau tidak mahu ada pihak yang terbabit – terdedah kepada siasatan dan sebagainya.

Dalam konteks peranan arkitek, penyelia atau juga pengawasan ini rasanya dalam konteks pembinaan stadium ini, realitinya ialah ‘JKR vs JKR’.

Maknanya, JKR yang menjadi pengawai terpaksa menilai penyeliaan yang dilakukan oleh kakitangan JKR sendiri, bukannya ‘JKR vs kontraktor’.

Tidakkah mungkin ini antara faktor menyumbang kepada keruntuhan bumbung stadium berkenaan?

Ada banyak lagi perkara boleh diperkatakan tetapi saya akan menyatakannya secara berasingan kemudian.

Yang pasti keruntuhan itu memberi kesan kepada maruah, nama baik kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong, kontraktor Bumiputera dan industri pembinaan negeri seluruhnya.

Monday, June 22, 2009

NIK AZIZ BICARA POLITIK

Oleh Sang Kelembai

AKHIRNYA Mursyidul Am atau Penasihat utama PAS Nik Aziz Nik Mat terpancing dengan provokasi yang dibuat oleh Perdana Menteri Najib bila menyatakan Pas ikhlas dalam isu membincangkan Kerajaan Perpaduan dengan secara terbukanya meminta Timbalan Presiden PAS keluar dari PAS dan mengosongkan kerusi Parlimen Bachok.

Sewajarnya dengan kedudukan beliau sebagai Mursyidul atau penasihat atau terjemahan bebasnya sebagai ‘orang yang dirujuk’. Beliau yang dipanggil Tok Guru yang berprestasi tinggi tadarru (ketabahan iman) dengan beristikhamah, mujahadat menjaga prinsip mulai ukhuwah Islamiyah adalah terlalu sukar untuk dipercayai boleh mengeluarkan kenyataan saperti diktator Hitler itu.

Maka persoalan sekarang sah ke Nik Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar di Kelantan kerana dalam Kitab Al Ahkamus Shulthaniyah karangan Al-Mawardi mengingat syarat menjadi pemimpin termasuk jawatan saperti Menteri Besar, seorang itu harus sihat jasmani dan rohani.

Bagi seorang Tok Guru, tidak ada kemungkinan dia terlupa perilaku Nabi Muhammad SAW bila dia dihina atau dicerca selalu berkata ‘Ya Allah ampunilah mereka, kerana mereka tidak mengetahuinya” . Jika dia berpendapat bahawa perbuatan Timbalan Presiden PAS itu seperti menghina atau tidak mengindahkan pandangan yang tidak bersetuju sebarang dialog dengan UMNO bagi kepentingan umat Islam dan Melayu.

UMNO memang menyedari bahawa prinsip PAS melawan UMNO berdasarkan kepada isu utama yang dinyatakan oleh Presidennya Abd Hadi Awang yang berbunyi lebih kurang.

‘Saudara-saudara sekelian (maksudnya kepada ahli-ahli PAS). Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka’.

Kesimpulan dari ucapan itu bahawa PAS menentang UMNO kerana perinsip agama dan bukannya perinsip kepentingan Melayu dan Negara.

Tetapi hari ini semua orang tahu, apa yang dilakukan oleh PAS yang punya 6 orang ahli DUN Perak. Mereka Bermatian untuk menunjukan bahawa bahawa UMNO atau Barisan Nasional tidak demokrasi dan mendesak dibubarkan Dewan Undangan Negeri. PAS hanya mempunyai jawatan Menteri Besar dan seorang Exco sahaja dengan dikawal oleh 7 orang dari DAP yang beketurunan Cina. Pada pandangan dan sikap PAS bahawa beliau telah berjaya menumbangkan UMNO dengan prinsipnya apa yang dikatakan oleh Presidennya itu.

Maka bertanya orang-orang diatas pagar yang UMNO pun tidak, PAS pun tidak akan ucapan Presiden PAS itu ‘Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku, agama suku’.Dimana ucapan ditujukan kepada UMNO. Yang sekarang telah dipersetujui oleh Musyidul Amnya.

Bagi pandangan Nik Aziz Nik Mat, UMNO yang ahlinya 99 peratus orang Islam dan mengucap dua kalimah syahadat yang sama dua kalimah diucap oleh Nik Aziz Nik Mat lebih buruk dan jijik dari puak DAP saperti Karpal Singh dan orang bukan Melayu dalam PKR. Pada pandangan Nik Aziz Nik Mat doa-doa tahlil kematiannya nanti yang dibacakan oleh Karpal Singh dan puak-puak dalam DAP lebih diterima Tuhan dari doa-doa dan tahlil ahli UMNO untuknya.

Bagaimana pun UMNO tidak berapa kisah akan kenyataan Nik Aziz Nik Mat yang tenggelam punca dan arah ini. Apa yang menyedihkan adalah kelakuannya yang akhir akhirnya kemungkinan hukum kharma yang diterimanya sebagai pembalasan apa yang dilakukan seperti penghinaan kepada pemimpin UMNO kerana dia telah mengatasi Tuhan dalam menilai niat seseorang.

Kemungkinan itu agaknya dia menentang arus dalam komsep syura terutama sistem demokrasi. Dia tidak sepatutnya menyelar dengan angkuhnya kepada Timbalan Presiden PAS tetapi sebaliknya dari dulu lagi dia mengajak rakyat bukan sahaja menentang UMNO tetapi menolak demokrasi. Lupakah dia bahawa Islam tidak menerima komsep demokrasi.

Nik Aziz Nik Mat sudah sepatutnya membaca khutbah Jumaat lebih kurang begini:

‘Ketahuilah, bahwa demokrasi dicetuskan oleh mereka orang-orang kufar. Mereka menganggap bahwa rakyat banyaklah yang memegang kekuasaan dan menjadi sumber kekuasaan. Naudzu billah!! Saudaraku, bukankah Allah telah memerintahkanmu untuk mengembalikan urusan pada Al Kitab dan As Sunnah? Semaklah firman Allah: “Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah” (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. (An-Nisa: 59).

Lalu apakah demokrasi juga mengembalikan permasalahan pada Al Quran dan As Sunnah ketika menyelesaikan permasalahan? Lihatlah dengan jelas, bukankah mereka mengembalikan pada orang terbanyak tanpa melihat bagaimana keadaan orang-orang tersebut? Padahal Allah berfirman, 'Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah). (Al Anam: 116)’.

Pemimpin PAS saperti Mohd Nizar Jamalludin dan juga ahli-ahlinya berbicara ikut suka sesuai hawa nafsunya dengan menggunakan kebebasan yang ditawarkan demokrasi. Mereka beramai-ramai menghujat Kerajaan di depan umum, di podium-podium, media massa dan sebagainya.

Sesungguhnya ini adalah akhlak yang jauh dari tuntutan Nabi yang mulia! Sekarang kita lihat begitu banyak peluang menggunakan platform demonstrasi berdasarkan kepada memperjuangkan pelaksanaan demokrasi. Tidakkah mereka terfikir, bukankah demonstrasi yang telah menanamkan rasa permusuhan kepada Kerajaan, mengganggu keamanan orang ramai dan mengacau ketertiban, melibatkan kaum wanita di jalan-jalan menjadi tontonan dan menjadikan lalu lintas pergerakan orang ramai terhalang sebagai satu ajaran dakwah Islam?

Telah tibanya masa orang Islam hanya mengikut para ulama yang istiqamah yang meniti jalan yang lurus di atas petunjuk Nabi yang mulia, mereka tidak pernah menghalalkan untuk menghujat Kerajaan di depan umum, atau menganjurkan berdemonstrasi, Bahkan andainya pemerintahan begitu zalim, maka Rasulullah S.A.W pun tetap memerintahkan umatnya untuk mendengar dan taat kepada mereka selama tidak bertentangan dengan perintah Allah. Penuhilah hak mereka dan mintalah hakmu pada Allah Taala.

Al Qur'an Al Karim mengisahkan kepada kita contoh yang baik tentang suatu hukum (keputusan) yang berdasarkan musyawarah, aitu kisah Ratu Saba' (Balqis), yang dikejutkan dengan surat Nabi Sulaiman AS yang dibawa oleh burung Hud-hud, lalu ratu itu mengumpulkan kaumnya dan berkata:

"Berkata dia (Bilqis), "Hai para pembesar !, berilah aku pertimbangan dalam urusanku (ini) aku tidak pernah memutuskan sesuatu persoalan sebelum kamu berada dalam majlis(ku). Mereka menjawab, "Kita adalah orang-orang yang memiliki keberanian yang sangat (dalam peperangan), dan keputusan berada di tanganmu; maka pertimbangkanlah apa yang akan kamu perintahkan.

Dia berkata, "Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki suatu negeri, nescaya mereka membina, dan menjadikan penduduknya yang mulia jadi hina; dan demikian pulalah yang akan mereka perbuat. Dan sesungguhnya aku akan mengirim utusan kepada mereka dengan (membawa) hadiah, dan (aku akan) menunggu apa yang akan dibawa kembali oleh utusan-utusan itu ." (An-Naml: 32-35)

Perilaku syura yang bijaksana ini berakhir apabila Ratu Balqis memluk agama Islam di hadapan Nabi Sulaiman AS, sehingga menyebabkan keselamatan dia dan kaumnya dari peperangan yang merugikan dengan demikian mereka memperoleh kebahagiaan dunia dan akhirat