Wednesday, September 30, 2009

DR RAMZI DAPAT KEISTIMEWAAN?

Betulkah apa yang dikatakan oleh teganuku ini? Apakah seseorang boleh mendapat perlindungan istimewa seperti ini? Bagaimana boleh ia berlaku di negeri jiranku- Terengganu?

Siapa boleh bagi keistimewaan seperti ini? Apakah ia terpilih?

Kijang tidak berani ulas sebab kes mahkamah. Tetapi bacalah…

Kes ‘sms ugut bunuh’ cuba digelapkan?

Daripada www.teganuku.blogspot.com

Oleh Pok Teh Bakap

Hairan bagaimana kes berprofil tinggi di Terengganu – kes sms ugut bunuh -membabitkan Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, yang disebutkan di Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu boleh terlepas daripada liputan media.
Ia kini diperkatakan bagaimana semua wartawan di Terengganu tidak tahu kes itu disebut pada hari berkenaan.






















Dr Ramzi bermesra dengan Hishamuddin pada majlis sambutan hari raya di Marang dan majlis pertemuan ADUN serta Ahli Parlimen UMNO dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Hishamuddin Hussein sehari selepas kesnya disebut di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.


Ketua Biro dan wartawan akhbar dan media elektronik bagaikan ‘terlepas pandang’ apabila kes ini disebut di Mahkamah Sesyen Ahad lalu.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan pada Ahad lalu (27 September) perbicaraan kes ‘sms ugut bunuh’ ini pada akhir bulan Oktober dan awal November 2009 depan selama enam hari.
Mengikut satu sms yang diterima – perbicaraan ditetapkan pada 19,20 dan 21 Januari 2010 dan 9,10,11 Februari 2010.

Juga menjadi pertanyaan ialah bagaimana Jabatan Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu untuk kali pertamanya gagal menghubungi akhbar dan media elektronik untuk membuat liputan.

Malah, mengejutkan, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Terengganu yang selalunya ‘begitu intim’ dengan wartawan seolah-olah ‘menutup mulut’ pada kes ini.

Rakyat Terengganu sebenarnya ‘rindu’ dengan kes ini. Malah, kes ‘sms ugut bunuh’ ini dikatakan menjadi ‘pemanas’ kepada kemelut UMNO Terengganu yang kemudian menyebabkan sebilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mendesak Menteri Besar meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengatakan masalah yang melanda UMNO Terengganu sudah selesai.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner II Hamzah Mohd. Jamil sebelum ini berkata mereka mempunyai bukti untuk mempercayai Dr Ramzi terlibat dengan penghantaran SMS itu.

Pada 13 April lepas, tiga ADUN Umno: Datuk Rosol Wahid (Ajil), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Abdullah (Paka) menerima SMS ugutan, antaranya dilaporkan berbunyi "YB tak sayang nyawa?".

SMS itu dijadikan alasan 10 ADUN BN termasuk ketiga-tiga mereka yang menerima SMS itu enggan hadir pada hari kedua persidangan DUN Terengganu pada keesokan hari.

Pada Jun pula Dr Ramzi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu semalam atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) terhadap tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), April lalu.
Beliau menghadapi empat pertuduhan bagi kes itu.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad Ramzi, 37, didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada ADUN Paka, Mohd. Ariffin Abdullah untuk menimbulkan kegentaran kepada beliau.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di E726 Jalan Kubang Parit, Kampung Kubang Parit, di Kuala Terengganu kira-kira pukul 11.21 malam, 13 April lalu.

Saturday, September 26, 2009

ISU SELCAT: HASAN ALI DIKENAKAN TINDAKAN DISIPLIN?

Daripada mStar

PAS Pusat dipercayai sedang mempertimbangkan 'tindakan lebih keras' kali ini terhadap Pesuruhjaya PAS, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali ekoran pendirian terbuka beliau mempertikaikan perjalanan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan,
Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat) - negeri diterajui Pakatan Rakyat.

mStar Online difahamkan Hasan akan berhadapan dengan tindakan keras itu ekoran pendirian terus-menerus beliau membelakangi semangat dan kesetiakawanan Pakatan Rakyat buat kali ketiga dalam tempoh 18 bulan yang lalu.

Malah, mStar Online juga difahamkan Jawatankuasa Kerja pusat PAS telah memberi 'amaran' secara lisan kepada Hasan, yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, dua kali sebelum ini termasuk berhubung soal pengharaman jualan arak di Shah Alam baru-baru ini.

Salah lagi isu dipercayai berkaitan dengan kenyataannya 'mempertikaikan' isu sedekah korban lembu oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim akhir tahun lalu.

Langkah itu juga dipercayai ada kaitan dengan tekanan daripada barisan kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.

Mesyuarat bulanan Jawatankuasa Kerja PAS, dijadual untuk diadakan 11 Oktober ini tetapi kemungkinan dipercepatkan ekoran pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun beberapa pemimpin yang dihubungi tidak dapat mengesahkan bentuk tindakan disiplin yang kemungkinan diambil.

Difahamkan walaupun beberapa pemimpin dalam PAS mempersoalkan tindakan Hasan, Pesuruhjaya PAS Selangor itu terus menerima sokongan padu Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Nasharudin Mat Isa serta Ketua Pemuda PAS pusat, Nasrudin Hassan Tantawi.

"Saya percaya Jawatankuasa Kerja akan meminta penjelasan daripada Datuk Hasan dalam isu ini. Kami akan mendapatkan penjelasan mengapa beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi.

Ketika ditanya sama ada tindakan disiplin akan diambil ke atas Hasan, Mahfuz berkata:
"Itu saya tidak tahu, tidak boleh pastikan... ia kena tanya pada Pengerusi Jawatankuasa Disiplin yang diketuai oleh Tuan Ibrahim (Tuan Man) (seorang lagi Naib Presiden PAS)."

Ahad lalu, Hasan, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor mempertahankan kritikan dilemparkan pegawai-pegawai daerah Selangor sambil mengesyorkan agar format dan prosedur Selcat dikaji semula.

Hasan menambah, beliau sangat bersimpati dengan pegawai-pegawai berkenaan yang seolah-olah "dilayan sebagai budak sekolah."

Oleh itu beliau turut berhadapan dengan kecaman pemimpin Pakatan Rakyat termasuk dari PAS sendiri.

Sebelum ini Mahfuz memberikan pandangan bahawa Hasan tidak wajar membangkitkan isu Selcat, yang dibentuk oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor secara terbuka selain tidak memahami soal pemisahan kuasa antara bidang eksekutif dan legislatif.

Tiga hari lalu, Hasan mempertahankan pendiriannya itu sambil mahu satu pertemuan tiga penjuru - membabitkan Menteri Besar, Exco dan anggota Selcat diadakan bagi menyelesaikan isu menyelubungi badan itu.

Mengenai spekulasi bahawa PAS negeri mahu menjalin kerjasama dengan Umno-BN Selangor, Mahfuz berkata, perkara tersebut tidak boleh diputuskan oleh kepimpinan negeri, sebaliknya hanya boleh ditentukan oleh kepimpinan pusat.

"Apa-apa bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak, ia perlu diputuskan oleh PAS pusat... PAS negeri tidak hak untuk membuat keputusan mengenai perkara itu," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Dr. Dzulkefly Ahmad juga berpendapat bahawa Hasan seolah-olah sudah melampaui batasan sebagai salah seorang pemimpin Pakatan Rakyat.

"Kebanyakan pemimpin dalam Jawatankuasa Pusat yang saya hubungi berkongsi pandangan yang sama bahawa beliau harus memberikan penjelasan mengapa kenyataan sedemikian dikeluarkan secara terbuka, lebih-lebih selepas pernah diberikan amaran oleh kepimpinan pusat khususnya dalam isu jualan minuman keras.

"Nampaknya, pendirian-pendirian beliau sudah membelakangi semangat dan kesetiakawanan dalam Pakatan Rakyat," kata beliau yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan PAS.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, Hasan sebagai anggota pentadbiran kerajaan negeri Selangor kemungkinan mempunyai sebab-sebab tertentu mengenai soal kekurangan pada Selcat, tetapi "itu bukan caranya untuk mengeluarkan pandangan beliau."

"Apa bentuk tindakan boleh diambil ke atas Datuk Hasan, ia hanya boleh ditentukan oleh Jawatankuasa Disiplin yang dipengerusikan Naib Presiden," katanya.

Thursday, September 24, 2009

spesis APAKAH MUBIN INI?

Entri oleh rakan Kijang semalam sangat menarik untuk mengetahui seorang blogger yang ‘sakit’ dan tidak dapat menerima kepimpinan orang lain selain Datuk Seri Idris Jusoh, di negeri jiran- Terengganu.

Zainal Yusoff mengupas dengan jelas bagaimana ‘Jarang Anak Melayu’ itu kini meratap hiba dan semakin tenat, lebih-lebih lagi apabila politik Terengganu sudah tenang.

Jelas manusia jenis Mubin Ismail ini tidak boleh cari makan kalau politik Terengganu tidak bergelora.

Ikuti tulisan Zainal melalui blog citra-bangsa:

Mubin…Jarang Anak Terengganu hiba seperti ini!

Oleh Zainal Yusof

MEMBACA tulisan Abdul Mubin Ismail dalam blognya Jarang Anak Melayu atau JAM, yang entri tulisan itu bertarikh 17 September 2009, saya membayangkan penulis yang pernah menjadi pembantu peribadi atau PA, atau di Selangor di panggil Setiausaha Politik kepada Exco, sedang berduka nestapa menjelang fajar Aidil Fitri.

Terima kasih juga kepada blog Citra-Bangsa yang memetik tulisan Abdul Mubin Ismail ini kerana, mudah untuk menatapnya sekaligus membaca komen pembaca-pembaca lain terhadap keletah budak Mubin ini yang nampaknya dia tidak dapat memahami bahawa kepimpinan kerajaan di Terengganu sudah bertukar tangan, dari YAB Datuk Seri Idris Jusoh kepada YAB Datuk Ahmad Said.

Budak Mubin ini bukan sahaja tidak dapat memahami, malahan dia mengajak pembaca-pembaca yang melayari blognya, menghina Datuk Ahmad Said sebagai mana dia menghinanya. Baca semula tulisannya mengenai tindakan Datuk Ahmad Said yang pernah mencabar seorang ADUN Pas, berjumpa seorang dengan seorang – bagi mempertahankan tuduhan ADUN Pas itu kononnya kerajaan BN di bawah kepimpinan Idris Jusoh lebih teruk dari Yahudi.

Saya tidak mahu percaya, ada kawan memberitahu kononnya budak Mubin ini amat-amat sedih hingga hilang selera makan, cukup-cukup merana hingga kurang bercakap dan cukup-cukup kecewa hingga kurang mesra dengan saudara-mara dan jiran tertangga kerana bekas boss yang dipujanya selama ini, Datuk Din Adam kelihatan sudah meninggalkan Geng 10 atau budak Mubin gelarkan mereka sebagai 10 Budak Hitam.

Cerita kawan saya itu lagi, khabarnnya budak Mubin macam rasa nak demam. Dedar badannya, pedih tekaknya kerana dapat tahu yang Datuk Din Adam, yang dikatakannya sebagai pendek dan tidak cukup saiz sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai.

Kenapa budak Mubin jadi macam ni ya? Kenapa dalam berbalah, kita tidak pernah memikirkan ruang untuk berbaik. Kalau tidak bersetuju, bukan bermakna kita menentang. Kalau menentang, bukan bermakna kita bermusuh. Kalau bermusuh, bukan bermakna kita selama-lamanya bermusuh.

Sebagai orang politik, mungkin semua percaya, dalam politik penuh dengan permainan yang serba mungkin. Dalam Islam, mana mungkin kita dibenarkan memutuskan sirahtulrahim.

Kenapa budak Mubin, diakhir tulisannya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada YAB Datuk Ahmad Said dan mohon maaf zahir sahaja? Kenapa sampai perkara begini pun masih buat main-main. Adakah ini perangai budak-budak? Kenapa tidak mahu memohon maaf zahir dan bathin? Bukankah ini cara yang dituntut agama kita, bermaaf-maafan antara satu dengan yang lain.

Saya tidak berhasrat menulis soal dosa dan pahala. Saya berhajat mengulas tulisan budak Mubin ini kerana budak Mubin ini mengelarkan Geng 10 atau Kumpulan 10 sebagai 10 Budak Hitam.

Saya percaya, bila Abdul Mubin berani menggunakan perkataan ‘budak’ dalam tulisannya, bererti dia sudah merasakan dirinya sebagai lebih dewasa dari budak-budak.

Ingat seloka yang biasa kita dengar…makan dengan budak, lauk habis dulu, mandi dengan budak, air keruh dulu…. Jadi, bila berhujah dengan budak seperti Abdul Mubin, kena berhati-hati, bukan kerana takut terkena bidasannya tetapi takut dia tidak faham kerana budak-budak biasanya belum cukup akal.

Kalau budak Mubin sudah dewasa, tentunya dia tumpang seronok apabila mendengar dua saudara yang berbalah, kembali bertaut. Betul seperti tulisan Hambali Abd Latif dalam blognya…carek-carek bulu ayam, lama-lama bercantum semula. Atau air dicincang tak akan putus.

Kalau budak Mubin membaca kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bahawa beliau sanggup jadi orang tengah untuk membantu Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyelesaikan kemelut politik Terengganu, bermakna Muhyiddin mengharapkan perdamaian dua kumpulan yang bertelagah.

Dengan lain perkataan, sebagai seorang Islam, kita kenalah berusaha mendamaikan kumpulan atau mana-mana pihak yang berbalah dan bukan mengharapkan perbalahan itu berpanjangan.

Maka, tanpa ada menggunakan khidmat orang tengah, tiba-tiba mereka kelihatan berdamai, sepatutnya kita bersyukur.

Malangnya, budak Mubin yang selalunya menulis dalam blognya dengan tulisan-tulisan pendek, tiba-tiba menulis panjang lebar menghina ‘perdamaian’.

Jenis apakah budak Mubin ini. Spesis apakah budak Mubin ini?