Showing posts with label Ahmad Said. Show all posts
Showing posts with label Ahmad Said. Show all posts

Monday, January 3, 2011

Norshahrul Turut Terima Durian Runtuh

Norshahrul Idlan Talaha yang bermain untuk Kelantan adalah antara enam pemain bola sepak kelahiran Terengganu yang mewakili membantu skuad Harimau Malaya menjulang Piala AFF Suzuki 29 Disember lalu, menerima durian runtuh apabila kerajaan negeri mengumumkan setiap seorang akan menerima ganjaran RM5,000 dan sebidang lot tanah untuk tapak rumah.

Selain Norshahrul, mereka yang menerima imbuhan itu adalah pemain Terengganu Mohamad Ashari Samsuddin dan Mohd Sarbinee Allawee Ramli serta tiga pemain Harimau Muda A, Mohd Muslim Ahmad, Izzaq Faris Ramlan dan Mohd Faizal Muhammad.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata imbuhan daripada kerajaan negeri itu adalah sebagai penghargaan kepada mereka selepas membantu negara menjulang Piala AFF Suzuki buat kali pertama dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

“Saya sangat terharu dan bangga apabila mendapat tahu enam anak kelahiran negeri ini berada dalam pasukan Malaysia yang membantu menamatkan penantian 14 tahun negara menjulang piala itu,” katanya pada sidang media sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) daripada percutian, kelmarin.

Katanya, imbuhan yang diberikan diharap menjadi suntikan semangat kepada bakat muda negeri ini untuk terus memberikan persembahan yang terbaik, seterusnya mewakili negara pada masa akan datang.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan negeri akan mengenal pasti lot tanah yang akan diberikan kerana pembahagian akan dibuat mengikut daerah tempat tinggal dan mengikut kesesuaian.

Malaysia muncul juara buat julung kalinya selepas menewaskan Indonesia 4-2 secara agregat dalam perlawanan akhir timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, Sabtu lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat, berkata pengumuman imbuhan Menteri Besar itu membuktikan kerajaan negeri menghargai pemain yang mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Walaupun hanya dua pemain menabur bakti bersama pasukan negeri dalam Liga Super, perkara itu tidak menjadi isu kerana mereka adalah anak kelahiran Terengganu, cuma terikat dengan pasukan masing-masing iaitu Kelantan dan Harimau Muda A.

Wednesday, March 3, 2010

GANTI AHMAD SAID - SURATAN ATAU KEBETULAN?

Oleh Hambali Abdul Latiff (hambali1.blogspot.com)

Jika sudah tersurat Datuk Ahmad Said akan digantikan 18 Mac ini. Ia bukan kebetulan.
Segalanya dirancang, dan siapa yang mengaturnya tidak sukar untuk dikenali.

Cuma apa yang menarik ketika ini ialah ia mungkin berlaku (saya kata mungkin kerana pada waktu kecederaan, apa-apa sahaja boleh berlaku).

Kenapa waktu kecederaan? Ini kerana kebetulan sebuah blog ada melaporkan mengenai kemungkinan akan timbulnya suatu kuasa baru di Putrajaya pada Mac 2010.

Entah betul entah tidak. Tapi itu perkhabaran yang diterima. Boleh jadi suatu khabar angin, boleh jadi tak jadi dan juga boleh jadi sekadar illusi.

Menurut blog berkenaan, kalau benar pastinya ianya memeranjatkan dan semua orang akan terlopong mulut. Kuasa apa tu ye..Benda belum tentu jadi..kita tengok sama ada ia akan jadi ke tidak. Tapi yang meramalkannya pun rasa macam mustahil. Politik adalah seni untuk merealisasikan benda-benda mustahil.

Siapa yang akan berkuasa tu ye? Ada orang kata Ku Li. Tapi dia nafi. Takkan dia nak ganti Anwar yang masih mahu kekal Ketua Pembangkang.

Ada kata tarikh 15 March. Dah hampir ribut tak ada, sepoi-sepoi bahasa pun tak rasa.

Begitulah juga di Terengganu, sebuah blog pro-pembangkang melaporkan ada sumber rapat dengan seorang Datuk yang baik dengan YDPA Tuanku Mizan Zainal Abidin memberitahu bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak akan menghadap Baginda Tuanku dalam masa yang terdekat untuk memohon agar Menteri Besar Terengganu ditukar.

Betul ke? Bagaimana kalau kuasa di Putrajaya bertukar?

Isu ini bertambah sensasi lagi apabila seorang Datuk pergi ke Makkah menunaikan Umrah yang kebetulan SPB Yang Dipertuan Agong berada di sana.

Yang pasti dan sudah disahkan Datuk ini tiada dalam senarai rombongan DiRaja yang dikeluarkan oleh Istana Negara. Ini bermakna, kalau ada pertemuan pun ia secara kebetulan, bukan dirancang!

Sejak akhir minggu lalu, di kalangan pegawai ada menerima sms kononnya Ahmad Said telah melepaskan jawatan Menteri Besar atas desakan daripada Najib yang mendapat perkenan SPB YDP Agong.

Kalau tidak jadi 1 Mac bermakna 18 Mac 2010 inilah. Ada 17 hari lagi Ahmad Said duduk di kerusi berkenaan!

Satu lagi versi, kalangan pegawai yang pernah bekerja dengan bekas Menteri Besar mengeluarkan pertanyaan kepada rakannya dengan soalan “Dengar kata pada 1 Mac 2010 ini Ahmad Said akan diganti ?”

Di Marang Terengganu – dilaporkan dua orang ADUN bakal menjadi Menteri Besar menggantikan Ahmad Said pada bulan Mac ini.

ADUN yang menggegar pagar istana dan ADUN yang mendakwa dirinya ‘bukan cap ayam’ dikatakan calon yang bakal dilantik MB. Nampaknya isu perlantikan Menteri Besar Terengganu telah bertambah rumit dan tidak ada penyelesaian kerana semua mahu jadi pengganti MB.

Semua yang berjuang untuk menyingkirkan Ahmad Said adalah calon-calon yang ‘layak’ dan berhasrat menjadi Menteri Besar. Mereka langsung tidak mempunyai persefahaman untuk melantik salah seorang daripada mereka.

Jika salah seorang dilantik sebagai Menteri Besar, semua daripadanya akan menentang dan akan berlaku penentangan yang lebih dahsyat tanpa penyelesaian sehingga lah ke pilihanraya umum nanti. UMNO mungkin berkubur.

Persoalannya, jika Ahmad Said diganti, tidakkah Sultan bagaikan mengakui baginda telah membuat kesilapan melantik Menteri Besar berkenaan?

Sejarah akan mencatat Sultan telah membuat kesilapan dan pasti akan menjadi catatan sejarah dan rujukan sampai bila-bila.

Satu lagi isu yang dimainkan oleh pegawai yang rapat dengan bekas Menteri Besar, kononnya di Jerman baru-baru ini Ahmad Said telah tidak diperkenan mengadap oleh SPB YDP Agong.

Saya difahamkan, Ahmad Said mengunjungi SPB YDP Agong yang mendapat rawatan di Jerman adalah mengikut tuntutan adat negeri. Menurut adat negeri, Menteri Besar perlu menemani atau menjaga keadaan Tuanku sekiranya ada masalah kesihatan.

Menteri Besar ke Makkah pula kerana mengiringi DYMM Pemangku Raja menunaikan Umrah.

Beliau seterusnya mengiringi Baginda dalam perjalanan pulang pada 26 Febuari 2010. Menurut adat Terengganu, Menteri Besar merupakan ‘memanda’ kepada Raja.

Mungkin saya salah, maafkan saya jika tidak benar fakta berkenaan.

Sinar Harian minggu ini melaporkan, isu terbaru yang disifatkan sebagai serangan politik

melibatkan Menteri Besar tersebut ialah kiriman khidmat pesanan ringkas (sms) yang mengaitkan kedudukan Ahmad Said selepas pertengahan Mac depan.

Antara lain sms yang cuba disebarkan oleh pihak-pihak tertentu itu turut mendakwa bahawa Ahmad kini telah dinasihatkan supaya melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Puak penentang Ahmad Said memang “Raja SMS”. Ini kerana pada April tahun lalu mantan Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar difitnah menghantar SMS ugutan bunuh ADUN yang mana kes tersebut sedang dalam perbicaraan di Mahkamah dan seorang Datuk telah ditahan polis.

Kenyataan dalam, Sinar Harian di atas bertentangan dengan kenyataan sebelumnya apabila mantan Setiausaha UMNO Negeri Datuk Rosli Mat Hasan dilaporkan berkata bahawa dakwaan mengatakan UMNO Terengganu masih bermasalah tidak harus dipercayai.

“Kita berada dalam keadaan cukup baik, tidak ada apa-apa masalah, malah UMNO juga sudah menjadi juara rakyat sekarang dan itu adalah perkembangan positif, ” kata beliau.

Yang nyata, sambutan kepulangan Ahmad Said dari Jerman dan Makkah di lapangan Terbang Sultan Mahmud pada 26 Febuari 2010 jam 3.45 petang sangat hebat.

Menteri Besar ternyata riang dan ceria dan sempat berucap ringkas.

Ditanya wartawan mengenai SMS terbaru yang mengatakan beliau diminta meletak jawatan, Ahmad Said tidak mengulas panjang, sebaliknya meminta wartawan bertanya kepada pihak terbabit.

“Kena tanya orang itulah. Saya tidak mahu ulas benda ini, ia (serangan politik) biasalah. Ada dengar dalam SMS, anda (wartawan) baca sebab tu anda tanya. Tidak mengapalah, saya masih seperti ini,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), kelmarin.

Keseluruhan hampir 1,000 orang hadir termasuk Exco, wakil rakyat, Ketua Jabatan dan rakyat.

Keluar sahaja dari pesawat, Menteri Besar disambut oleh pegawai nombor satu (SUK) dan pegawai nombor dua (PKN) dan hanya segelintir pegawai tinggi tidak kelihatan.

Yang pasti, Ahmad Said terus mendapat sokongan pegawai tinggi kerajaan, pemimpin parti dan rakyat.

Kini terpulanglah kepada Perdana Menteri sama ada benar atau tidak beliau mahu meminta Ajhmad Said berhenti apabila namanya dikaitkan sama ada melalui SMS dan cakap-cakap kedai kopi di Terengganu.

Hanya Najib yang boleh memberhentikan cerita-cerita seperti ini.

Yang pasti perkhabaran yang dibawa oleh penentang Ahmad Said bukan suratan atau kebetutan tetapi dirancang.

Apakah Najib ‘gemar dan suka’ ganggu-gugat seperti ini?

Bagaimana pun rasa beliau apabila ganggu-gugat sudah bermula terhadapnya akhir-akhir ini?

Thursday, September 24, 2009

spesis APAKAH MUBIN INI?

Entri oleh rakan Kijang semalam sangat menarik untuk mengetahui seorang blogger yang ‘sakit’ dan tidak dapat menerima kepimpinan orang lain selain Datuk Seri Idris Jusoh, di negeri jiran- Terengganu.

Zainal Yusoff mengupas dengan jelas bagaimana ‘Jarang Anak Melayu’ itu kini meratap hiba dan semakin tenat, lebih-lebih lagi apabila politik Terengganu sudah tenang.

Jelas manusia jenis Mubin Ismail ini tidak boleh cari makan kalau politik Terengganu tidak bergelora.

Ikuti tulisan Zainal melalui blog citra-bangsa:

Mubin…Jarang Anak Terengganu hiba seperti ini!

Oleh Zainal Yusof

MEMBACA tulisan Abdul Mubin Ismail dalam blognya Jarang Anak Melayu atau JAM, yang entri tulisan itu bertarikh 17 September 2009, saya membayangkan penulis yang pernah menjadi pembantu peribadi atau PA, atau di Selangor di panggil Setiausaha Politik kepada Exco, sedang berduka nestapa menjelang fajar Aidil Fitri.

Terima kasih juga kepada blog Citra-Bangsa yang memetik tulisan Abdul Mubin Ismail ini kerana, mudah untuk menatapnya sekaligus membaca komen pembaca-pembaca lain terhadap keletah budak Mubin ini yang nampaknya dia tidak dapat memahami bahawa kepimpinan kerajaan di Terengganu sudah bertukar tangan, dari YAB Datuk Seri Idris Jusoh kepada YAB Datuk Ahmad Said.

Budak Mubin ini bukan sahaja tidak dapat memahami, malahan dia mengajak pembaca-pembaca yang melayari blognya, menghina Datuk Ahmad Said sebagai mana dia menghinanya. Baca semula tulisannya mengenai tindakan Datuk Ahmad Said yang pernah mencabar seorang ADUN Pas, berjumpa seorang dengan seorang – bagi mempertahankan tuduhan ADUN Pas itu kononnya kerajaan BN di bawah kepimpinan Idris Jusoh lebih teruk dari Yahudi.

Saya tidak mahu percaya, ada kawan memberitahu kononnya budak Mubin ini amat-amat sedih hingga hilang selera makan, cukup-cukup merana hingga kurang bercakap dan cukup-cukup kecewa hingga kurang mesra dengan saudara-mara dan jiran tertangga kerana bekas boss yang dipujanya selama ini, Datuk Din Adam kelihatan sudah meninggalkan Geng 10 atau budak Mubin gelarkan mereka sebagai 10 Budak Hitam.

Cerita kawan saya itu lagi, khabarnnya budak Mubin macam rasa nak demam. Dedar badannya, pedih tekaknya kerana dapat tahu yang Datuk Din Adam, yang dikatakannya sebagai pendek dan tidak cukup saiz sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai.

Kenapa budak Mubin jadi macam ni ya? Kenapa dalam berbalah, kita tidak pernah memikirkan ruang untuk berbaik. Kalau tidak bersetuju, bukan bermakna kita menentang. Kalau menentang, bukan bermakna kita bermusuh. Kalau bermusuh, bukan bermakna kita selama-lamanya bermusuh.

Sebagai orang politik, mungkin semua percaya, dalam politik penuh dengan permainan yang serba mungkin. Dalam Islam, mana mungkin kita dibenarkan memutuskan sirahtulrahim.

Kenapa budak Mubin, diakhir tulisannya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada YAB Datuk Ahmad Said dan mohon maaf zahir sahaja? Kenapa sampai perkara begini pun masih buat main-main. Adakah ini perangai budak-budak? Kenapa tidak mahu memohon maaf zahir dan bathin? Bukankah ini cara yang dituntut agama kita, bermaaf-maafan antara satu dengan yang lain.

Saya tidak berhasrat menulis soal dosa dan pahala. Saya berhajat mengulas tulisan budak Mubin ini kerana budak Mubin ini mengelarkan Geng 10 atau Kumpulan 10 sebagai 10 Budak Hitam.

Saya percaya, bila Abdul Mubin berani menggunakan perkataan ‘budak’ dalam tulisannya, bererti dia sudah merasakan dirinya sebagai lebih dewasa dari budak-budak.

Ingat seloka yang biasa kita dengar…makan dengan budak, lauk habis dulu, mandi dengan budak, air keruh dulu…. Jadi, bila berhujah dengan budak seperti Abdul Mubin, kena berhati-hati, bukan kerana takut terkena bidasannya tetapi takut dia tidak faham kerana budak-budak biasanya belum cukup akal.

Kalau budak Mubin sudah dewasa, tentunya dia tumpang seronok apabila mendengar dua saudara yang berbalah, kembali bertaut. Betul seperti tulisan Hambali Abd Latif dalam blognya…carek-carek bulu ayam, lama-lama bercantum semula. Atau air dicincang tak akan putus.

Kalau budak Mubin membaca kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bahawa beliau sanggup jadi orang tengah untuk membantu Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyelesaikan kemelut politik Terengganu, bermakna Muhyiddin mengharapkan perdamaian dua kumpulan yang bertelagah.

Dengan lain perkataan, sebagai seorang Islam, kita kenalah berusaha mendamaikan kumpulan atau mana-mana pihak yang berbalah dan bukan mengharapkan perbalahan itu berpanjangan.

Maka, tanpa ada menggunakan khidmat orang tengah, tiba-tiba mereka kelihatan berdamai, sepatutnya kita bersyukur.

Malangnya, budak Mubin yang selalunya menulis dalam blognya dengan tulisan-tulisan pendek, tiba-tiba menulis panjang lebar menghina ‘perdamaian’.

Jenis apakah budak Mubin ini. Spesis apakah budak Mubin ini?

Saturday, June 20, 2009

KONTRAKTOR ‘KRONI’ LEWATKAN LPT FASA 2

Oleh SM Noor (buletinonline.net)
Friday, 19 June 2009 01:05

KUALA TERENGGANU - Dua kontraktor melaksanakan kerja-kerja pembinaan Fasa dua Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) telah menarik diri menyebabkan ia akan hanya dijangka siap pada 2012.

Menteri Besar Terengganu Dato’ Ahmad Said berkata seorang kontraktor sudah menghantar surat menarik diri, manakala seorang lagi dalam proses berbuat demikian.

Katanya kontraktor itu menarik diri berikutan harga bitumen, yang merupakan bahan utama bagi kerja-kerja menurap lebuh raya itu, melambung tinggi.

“Harga bitumen yang tinggi menyebabkan kontraktor itu menarik diri kerana tidak mampu. Jika mereka teruskan juga kerja-kerja itu, mereka akan mengalami kerugian yang besar,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini kelmarin.

Bagaimanapun sumber dalaman Buletinonline memberitahu, kedua-dua kontraktor yang menarik diri itu adalah kontraktor ‘kroni’ yang tidak mampu meneruskan pembinaan tersebut kerana hanya mengharapkan sokongan dan bantuan kerajaan.

Beliau yang turut terlibat dengan pembinaan lebuhraya itu berkata, kontraktor berkenaan dianggap istimewa kerana bukan hanya mendapat satu pakej, sebaliknya telah dianugerahkan 2 pakej projek lebuhraya yang pertama ditanggung oleh kerajaan sepenuhnya itu.

”GPQ/Bukit Puteri JV mendapat pakej mendapat pakej 1C dan pakej 11 manakala Arah Jitu Sdn Bhd mendapat pakej 8 dan pakej 9B,”katanya ketika dihubungi Buletinonline semalam.

Semakan Buletinonline mendapati GPQ merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu yang beralamat di Tingkat 2, Menara Permint, Jalan Sultan Ismail, 20200 Kuala Terengganu.

GPQ/ Bukit Puteri JV adalah syarikat usahasama yang ditubuhkan untuk mendapatkan tender pembinaan LPT2 bagi tujuan mengagih-agihkan konrak tersebut kepada beberapa kroni dizaman pemerintahan Dato’ Seri Idris Jusoh.

Pakej 1C adalah kontrak membina lebuhraya sepanjang 6.2 km dari Sungai Jabur ke Ladang Bukit Sah di Kemaman dan Pakej 11 sepanjang 5.9 km dari Bukit Petiti ke Telemong di Hulu Terengganu.

Selepas mendapat tender pakej 11 pada tahun 2005, dua tahun kemudian, GPQ/Bukit Puteri dianugerahkan pula pakej 1C pada tahun 2007.

Melalui kedua-dua tender anugerah itu, GPQ/Bukit Puteri JV meraih projek bernilai hampir RM 150 juta dengan pakej 1C bernilai RM90,000,000.00 dan pakej 11 bernilai RM57,961,710.50.

GPQ/ Bukit Puteri JV menarik diri dari membina pakej 1C kerana sehingga April, 2009 syarikat tersebut gagal mencapai sasaran dan hanya melaksanakan 3.7% kerja dari sasaran 15.1% sebagaimana jadual (dibawah).

Syarikat kedua, Arah Jitu Sdn Bhd. pula beralamat di 343E Bangunan Umno, Kuala Terengganu 21700, Terengganu dan, atau No. 47, Jalan 2/27 F Seksyen 5, Pusat Bandar Wangsa Maju (KLSE), 53300 Kuala Lumpur.

Arah Jitu Sdn Bhd mendapat pakej 8 sepanjang 6.8 km dari Felda Kerteh 6 ke Hutan Simpan Santong, dan pakej 9B sepanjang 5.2km di lokasi Hutan Simpan Bukit Bauk dan Ladang Ternak Genetik, Dungun.

Dengan dianugerahkan kedua-dua tender tersebut, Arah Jitu Sdn Bhd sepatutnya mendapat perolehan sebanyak RM 110 juta dengan tender pakej 8 yang bernilai RM50,823,220.00 manakala pakej 9B bernilai RM59,215,000.00.

Arah Jitu Sdn Bhd mungkin menarik diri dari pembinaan pakej 9B kerana syarikat tersebut hanya mampu melaksanakan 14.6% dari sasaran 26.7% mengikut jadual.

Sumber tersebut memberitahu, kegagalan kerajaan UMNO/BN menyiapkan LPT2 pada tempoh sebagaimana yang dijadualkan adalah disebabkan oleh dasar kerajaan sendiri.

Katanya harga bitumen yang melambung disebabkan oleh kerajaan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menaikkan harga minyak secara tergesa-gesa dan melampau pada Jun 2008.

Walaupun kini, harga minyak telah turun, namun kebanyakkan harga barang dan perkhidmatan tidak turun kerana kerajaan telah hilang kawalan terhadap pemborong dan pembekal.

”Bitumen adalah bahan yang berasaskan minyak, sepatutnya harga bitumen turun sekiranya harga minyak turun,

”Namun hingga kini, harga bitumen tidak turun, walaupun harga minyak telah lama diturunkan,”jelasnya.

Oleh itu katanya, kerajaan perlu bertanggungjawab keatas kenaikkan kos yang berlaku keatas pembinaan lebuhraya berkenaan.

Namun begitu, pendedahan yang dibuat Ahmad Said tentang kelewatan pembinaan LPT2 kepada umum dilihat mempunyai kaitannya dengan perbalahan kumpulan yang menyokongnya dengan kumpulan Idris Jusoh.

”Ahmad mendedahkan masalah pembinaan LPT2 yang terlewat selepas runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan,

”ia akan memberikan impak negatif berganda kepada kegagalan Idris mentadbir negeri Terengganu kerana kedua-dua projek mega itu dilaksanakan pada zaman Idris,”tambahnya

.

Thursday, June 11, 2009

AHMAD SAID BAWA BENCANA KEPADA TERENGGANU?

Benarkah akan menjadi bencana besar kepada Barisan Nasional (BN) di Terengganu?

Kijang terkial-kial mencari jawapan apa kena dengan Terengganu?
Ahmad Said membawa ‘sial’ menurut sebuah blog.

Bolehkah kita meramalkan sedemikian?

Apakah beliau tidak berbuat sesuatu untuk memajukan Terengganu sejak mengambil alih kuasa?

Mana orang-orangnya yang boleh membantu? Siapa Ahmad Said lantik?

BENCANA BESAR BUAT BN JIKA AHMAD SAID TERUS JADI MENTERI BESAR TERENGGANU

Besut Lo Nih (6 Jun 2009)

Bencana besar akan berlaku pada Barisan Nasional di Terengganu jika terus memberi kepercayaan kepada Ahmad Said menjadi Menteri Besar Terengganu, bencana itu lebih dasyat daripada 'tsunami politik' yang melanda Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke 12 yang lalu.

Kebanyakkan rakyat Terengganu tidak gemar dengan corak kepimpinan yang ditonjolkan oleh Ahmad Said. Perpecahan yang berlaku di dalam UMNO Terengganu hari ini juga berpunca daripada Ahmad Said.

Penulis khuatir jika khidmat Ahmad Said diteruskan kelak satu masa nanti ia akan membawa malapetaka besar buat Barisan Nasional di Terengganu dan berkemungkinan pada Pilihan Raya Umum Ke 13 Barisan Nasional akan menjadi pembangkang di Terengganu sekiranya kepimpinan Ahmad Said tidak 'dicantas' segera.

Penulis sekadar memberi peringatan kepada Barisan Nasional agar mereka tidak tersalah langkah. Rata-rata rakyat Terengganu yang dijumpai mengutuk Kepimpinan Ahmad Said di Terengganu dan tiada apa-apa perkara yang boleh membanggakan rakyat Terengganu yang dilakukan oleh Ahmad Said.

Kepimpinan Ahmad Said lebih kepada "Kerajaan Cuci Kaki" daripada "Kerajaan Pembangunan", ketokohan langsung tiada bersinar di dalam diri Ahmad Said untuk menerajui Terengganu jika dibandingkan dengan Kepimpinan terdahulu.

Jika UMNO khasnya dan Barisan Nasional umumnya bertindak mengekalkan Ahmad Said bermakna mereka sudah menempah tiket untuk kalah pada Pilihan Raya Umum Ke 13 dan Terengganu bakal diperintah pembangkang kembali sepertimana dulu.

Jika UMNO tidak mahu pisang berbuah dua kali adalah lebih baik mereka mengugurkan Kepimpinan Ahmad Said di Terengganu kerana Kepimpinan Beliau memang tidak diperlukan di Terengganu malah beliau hanya layak menjaga orang utan di hutan belantara kerana spesies tersebut menyerupai dengan rupa beliau.

Rakyat Terengganu tidak mahu kepimpinan Ahmad Said sebaliknya Ahmad Said yang beriya-riya nak mempromosikan kepimpinan beliau di Terengganu sedangkan kepimpinan beliau telah ditolak rakyat.

Tunggulah kalau-kalau boleh Kijang dapatkan jawapan daripada mulut Ahmad Said atau orang-orangnya.

Sunday, June 7, 2009

KOLAM RENANG BATU BUROK BERISIKO?

Apabila Datuk Ahmad Said bersuara mengenai Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Batu Burok di Kuala Terengganu, mesti ada sebabnya.

Ia antara tiga projek yang tahap keselamatannya menjadi persoalan sekarang selain terminal Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Gong Badak dan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.

Kebimbangan kerajaan negeri terhadap tahap keselamatan projek mega yang baru siap di negeri ini berasas apabila Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terenggannu (MBKT) di Batu Burok di Kuala Terengganu menunjukkan tanda-tanda bermasalah.

Laporan Utusan Malaysia (5 Jun 2009) dan sebuah portal berita minggu lalu mengatakan air dari kolam renang di pusat itu dikesan meresap masuk ke lorong yang memisahkan kolam renang dengan 13 buah kedai di sisi pusat itu menyebabkan air bertakung lalu memasuki premis perniagaan itu.

Masalah itu didedahkan oleh peniaga kedai berkenaan yang melahirkan kebimbangan keadaan akan bertambah buruk jika ia tidak ditangani dengan segera.
Seorang peniaga, Siti Hajar Nadia Abdullah, 23, berkata, air mula meresap masuk ke dalam kedainya sejak sebulan lalu. ''Masalah ini tidak berlaku bila saya mula berniaga di kedai ini pada April lalu.''Bagaimanapun, sejak bulan lalu, saya dapat lihat air dari kolam renang meresap masuk ke kedai menyebabkan air bertakung di lantai," katanya.

Katanya, pekedai bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini ketika mereka sedang berniaga.
Seorang lagi peniaga, Abdul Rashid Abdul Wahab, 44, berkata, air meresapi dinding hingga memasuki lorong yang memisahkan kedai dan kolam renang.

Dia bimbang jika masalah itu dibiarkan, keretakan akan berlaku dan membahayakan nyawa peniaga. Beliau meminta kerajaan negeri segera mengambil tindakan sekurang-kurangnya terhadap masalah air meresap ini supaya melegakan peniaga.

Berikutan itu, Menteri Besar Datuk Ahmad Said semalam melahirkan rasa kecewa terhadap Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana tidak mengawasi daripada awal pembinaan Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Batu Burok di sini.

Katanya, beliau sering menegur JKR supaya memantau projek yang menelan belanja RM18 juta itu terutama daripada segi reka bentuk dan bahan yang digunakan kerana ia kurang sesuai.

"Besi yang digunakan untuk membina pusat akuatik ini ada sesetengahnya sudah berkarat dan hampir tercabut. Ini baru setahun, kalau setahun atau dua tahun akan datang, benda ini boleh runtuh.

"Nasib baik bumbung pusat akuatik ini diperbuat daripada kanvas, kalau diperbuat daripada benda berat, suatu masa nanti ia akan jatuh," katanya selepas meninjau pusat akuatik berkenaan hari ini.

Isu pusat akuatik ini timbul selepas berlaku runtuhan pada sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak di sini beberapa hari lalu.
Sementara itu sebuah blog melaporkan satu sumber yang dipercayai memberitahu MEDIA BYPASS bahawa struktur bumbung Kompleks Akuatik Negeri di Batu Buruk, Kuala Terengganu mungkin akan menerima nasib yang sama jika tidak diperiksa dan diselenggara dengan baik mulai sekarang.

Menurut sumber itu, Persatuan Renang Terengganu sejak tahun lepas sudah memaklumkan kepada kontraktor pembinaan terbabit mengenai kewujudan banyak aspek yang tidak menepati spesifikasi yang diperlukan.

"Projek menelan belanja RM18 juta itu mula menampakkan kecacatannya selepas beberapa bulan digunakan, termasuk bumbung bocor sekitar musim tengkujuh November tahun lalu menyebabkan beberapa kelengkapan komputer rosak. Score board yang disimpan dalam bilik stor turut rosak terkena air.

"Masalah teknikal yang amat jelas ialah papan anjal bahagian atas lebih pendek berbanding yang di bahagian bawah. Ini boleh mendatangkan kecederaan kepada perenang.
"Penggunaan bahan binaan tanpa mengambil kira lokasi kompleks di kawasan berhampiran pantai turut menyebabkan banyak palang besi sudah berkarat, Ini baru setahun usia kompleks ini," kata sumber tersebut.

Agak megejutkan ialah pihak persatuan telah banyak kali mengadu kepada kontraktor sejak Mei tahun lalu, tetapi langsung tidak diendah.
Satu siasatan menyeluruh dicadangkan, bukan sahaja menyiasat mutu pembinaan, tetapi juga siasat siapa di belakang kontraktor tersebut.

KUALA TERENGGANU, 6 Jun (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Ahmad Said hari ini melahirkan rasa kecewa terhadap Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana tidak mengawasi daripada awal pembinaan Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Batu Burok di sini. Katanya, beliau sering menegur JKR supaya memantau projek yang menelan belanja RM18 juta itu terutama daripada segi reka bentuk dan bahan yang digunakan kerana ia kurang sesuai.

"Besi yang digunakan untuk membina pusat akuatik ini ada sesetengahnya sudah berkarat dan hampir tercabut. Ini baru setahun, kalau setahun atau dua tahun akan datang, benda ini boleh runtuh.
"Nasib baik bumbung pusat akuatik ini diperbuat daripada kanvas, kalau diperbuat daripada benda berat, suatu masa nanti ia akan jatuh," katanya selepas meninjau pusat akuatik berkenaan hari ini. Isu pusat akuatik ini timbul selepas berlaku runtuhan pada sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak di sini beberapa hari lalu. Ahmad meminta JKR melihat semula pusat akuatik itu kerana banyak struktur binaannya mengalami kerosakan dan bagi mengelak berulang kejadian yang menimpa stadium berkenaan.

Beliau berkata JKR sepatutnya menerima teguran itu dengan hati terbuka dan berasa malu kerana projek berkenaan menelan belanja berpuluh juta ringgit dan tidak sempurna. Ahmad turut menafikan dakwaan bahawa pusat akuatik tersebut bocor sehingga menyebabkan air daripada kolam renang mengalir ke premis-premis perniagaan di sebelahnya. "Dakwaan ini tidak betul, sebab kalau kita lihat paras air kolam adalah stabil. Kalau bocor, tentu parasnya surut," katanya.

Beliau berkata air yang dikatakan bocor itu sebenarnya ialah air hujan yang turun melalui tangga dan mengalir ke kawasan premis perniagaan tersebut. "Kita perlu pasang paip besar di setiap penjuru untuk mengalirkan air dari atas bumbung ke longkang," katanya.

Wednesday, May 20, 2009

SEORANG BERNAMA MUBIN – ANAK MELAYU

Memang ramai yang pening dengan Mubin Ismail, seorang guru di Kuala Terengganu.
Entahlah mungkin ini guru jenis ‘ketam’ yang cuba mengajar orang lain berjalan betul.
Kijang mahu anda semua membaca posting ini.

















MUBIN ISMAIL : APA LAGI ‘SETAKAT INI’ PULA?


Oleh Abdul Wahab Idrus
www.citra-bangsa.blogspot.com (17 Mei 2009)

BUKAN niat saya untuk menyerang blogger Abdul Mubin Ismail (lihat http://jaranganakmelayu.blogspot.com/) lewat tulisannya mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengenai Menteri Besar (MB) Terengganu kekal ketika mengadakan siding akhbar di Kuala Terengganu, Sabtu 16 Mei 2009.

Ada perkataan ‘setakat ini’ menjadi ulasan panjang lebar blogger berasal dari Terengganu itu kerana jelas niatnya, menyamai niat Kumpulan 10 ADUN yang digelar ‘budak hitam’ oleh Abdul Mubin lewat tulisannya.

Memetik kenyataan Muhyiddin, kepimpinan negeri ini akan terus diterajui Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno memberitahu, isu pertukaran jawatan Menteri Besar tidak berbangkit malah tiada perbincangan mengenainya dibuat oleh pucuk pimpinan parti.
“Siapa kata (ada pertukaran), setakat ini saya tak dengar apa-apa pun tentang perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru 2009 Peringkat Kebangsaan bertemakan Guru Pembina Negara Bangsa di Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu.

Muhyiddin mengulas desas-desus kononnya Menteri Besar Terengganu akan ditukar berikutan kemelut politik melanda negeri ini.

Isu itu timbul berikutan ura-ura undi tidak percaya terhadap Ahmad pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, namun ia tidak berlaku.

Bagaimanapun , pada hari kedua persidangan, 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) tidak hadir atas alasan keselamatan selepas tiga daripada mereka iaitu Datuk Rosol Wahid (Ajil), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Abdullah (Paka) menerima sistem pesanan ringkas (SMS) ugutan dipercayai berikutan polemik itu.

ADUN-ADUN berkenaan selepas itu turut melahirkan rasa tidak percaya terhadap kepimpinan Ahmad dan mahu beliau ditukarkan.

Muhyiddin menegaskan, beliau mahu melihat situasi politik di Terengganu menjadi bertambah baik dengan semua pihak mengutamakan perhatian untuk membina kekuatan Umno dan BN di negeri itu.

Beliau percaya semua kepimpinan Umno negeri termasuk wakil rakyat dan kepimpinan bahagian akan cuba mengorak langkah baru untuk mengujudkan satu persefahaman yang lebih baik di kalangan mereka.

“Kita sayangkan Terengganu. Rakyat telah beri kepercayaan dan kita kena tumpukan perhatian untuk membangunkan negeri ini kerana Terengganu mempunyai banyak sumber, hasil negeri banyak, minyak pun ada.

“Saya kira rakyat masih mahu lihat pembangunan yang lebih banyak, jadi ia mesti diutamakan,” ujarnya.

Katanya, walaupun ada perselisihan faham sesama sendiri, mereka perlu memberi keutamaan untuk menyelesaikannya.

“Sama ada ADUN, bukan ADUN, pemimpin parti, berjawatan atau tidak, jika berganding bahu, kalau pentingkan rakyat dan mahu pertahankan kedudukan di Terengganu, jangan abaikan rakyat yang beri keyakinan kepada kita untuk mentadbir negeri ini,” ujarnya.

Blogger Abdul Mubin membayangkan, setakat ini sahaja jaminan Muhyiddin terhadap kedudukan Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu, tetapi selepas ‘setakat ini’ mungkin, ada perkembangan lain, yang akan menyebabkan Ahmad Said tidak akan kekal sebagai Menteri Besar.

Kesihan kita tengok penyu menangis ketika bertelur, begitulah kesihannya banyak pihak terhadap Abdul Mubin kerana, sedaya upaya dia mahukan juga Perdana Menteri menukarkan Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Selagi Ahmad Said kekal sebagai Menteri Besar, Abdul Mubin mungkin boleh ‘sesak nafas’ dan susah nak bernafas. Itulah sebabnya, setiap kali dia ‘up-date’ blog nya, dia akan menyerang Datuk Ahmad Said yang dibencinya. Dia juga tidak habis-habis menyerang Datuk Rosli Mat Hassan yang dianggapnya sebagai ‘orang yang patutnya mengundurkan diri’ dari jawatan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.

Maka, dari banyak-banyak perkataan yang keluar dari mulut Muhyiddin ketika berada di Terengganu, Abdul Mubin hanya mahu menganalisis apa maknanya ‘setakat ini’ yang katanya ada dilaporkan dalam beberapa media, tetapi bukan Mingguan Malaysia.

Dari apa yang diulas oleh Abdul Mubin, jelaskan ‘budak ini sakit’. Kalau adalah mana-mana bomoh di Terengganu yang boleh menjampinya, jampikanlah. Kesihan dia kalau dibiarkan dia terus begitu, mencari perkataan-perkataan yang boleh diputar belitnya bagi mengesahkan kononnya Datuk Ahmad Said akan gugur dari kedudukan Menteri Besar.

Monday, May 18, 2009

MUHYIDDIN MENYULITKAN HISHAMUDIN

BuletinOnline (17 Mac 200)

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tiada sebarang cadangan untuk menukarkan Dato’ Ahmad Said daripada jawatan menteri besar.

Oleh itu, katanya, Ahmad akan kekal memegang jawatan tersebut, sedangkan khabar telah bertiup ‘kencang’ bahawa Ahmad akan digantikan tidak lama lagi.
Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno berkata di Kuala Terengganu semalam, isu pertukaran menteri besar Terengganu tidak pernah berbangkit sebelum ini.

Samada Muhyidin lupa atau tidak ingat, sejak pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar pada Mac, 2008, kumpulan yang menyokong Bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh membantah pelantikan Ahmad.

Kumpulan yang diketuai oleh Pengerusi Kelab Penyokong kerajaan, Dato’ Rosol Wahid semasa membantah pelantikan Ahmad berkata, beliau dan rakan-rakannya tidak akan mengiktiraf Menteri Besar selain dari Idris.

Sejak itu, tidak menjadi rahsia lagi tentang pertelingkahan antara Ahmad dan Idris, kemuncaknya, sebagaimana kata Rosol adalah pemboikotan Sidang Dewan Undangan Ngeri pada 14 April lalu.

Kenyataan Muhyidin itu dilihat sebagai ‘potong trip’ Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hishamudin Hussein yang dilantik Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu.

Hishamudin dijadualkan mengadakan pertemuan dengan semua 24 ADUN BN yang anti Ahmad Said serta ketua-ketua Umno bahagian Rabu ini.

Ahmad Said diberi kata dua oleh Najib semasa Ahmad betemunya selepas kes ‘SMS Ugut Bunuh’, dimana pimpinan UMNO mengugut sesama sendiri.

Najib berkata sekiranya Ahmad tidak dapat menyelesaikan pertelingkahan yang berlaku, Ahmad akan digantikan scara berperingkat.

Peringkat pertama sudah berjalan. Hishamudin mengambil tempat Ahmad sbagai Pngerusi UMNO Terengganu.

Peringkat kedua, Ahmad akan digantikan dengan orang lain sebagai Menteri Besar Terengganu.

Pertemuan yang akan diadakan pada jam 10 malam Rabu depan, antara Hishamudin dengan kepimpinan UMNO Terengganu adalah untuk menyelesaikan perselisihan yang berlaku.

Pertelingkahannya mudah tetapi sukar untuk diselesaikan.

Permaslahanya adalah; Kumpulan yang menyokong Idris tidak mahu Ahmad atau orang dari kumpulan Ahmad menjadi Menteri Besar, manakala kumpulan yang menyokong Ahmad tidak mahu Idris atau orang dari kumpulan Idris menjadi menjadi Mnteri Besar.

Kedua-duanya, Ahmad dan Idris dimaklumkan akan menghadiri pertemuan tersebut dan kedua-duanya juga bukan tidak pernah bertemu sebelum ini.

Apabila kedua-dua, Idris dan Ahmad bertemu, tidak pernah pula kedengaran mereka mengata-ngata atau dalam bahasa Terengganu ‘menganjing’ antara satu sama lain.

Malah semasa Ahmad dilantik sebagai Menteri Besar, orang ramai yang melihat Ahmad dan Idris bepelukan mengandaikan bahawa permasalahan mereka telah selesai.

Tahun lalu, pada 14 Jun, ketika bekas Perdana Menteri Tun Abdullah datang untuk merasmikan ‘Jelapang Padi Retorik’ di Kampung Mak Jintan, tidak nampak perbalahan antara keduanya.

Bahkan dalam majlis itu, Ahmad senyum lebar dan memuji Idris dalam ucapannya.

Namun demikian apabila tercetusnya isu kereta ‘Mercedes lawan Proton Perdana’ dalam sebulan kemudian (Julai 2008), Ahmad telah menjadikan Idris sebagai sasarannya.

Pada 21 Julai, dalam memberikan justifikasi membeli 14 butir Kompressor E 200 berharga RM 3.43 juta, Ahmad mengatakan bahawa Mercedes lebih baik dari Proton Perdana V6.

Perdana V6 selalu rosak dan hanya sesuai untuk berulang-alik ke lapangan terbang sahaja, kata Ahmad.

Lalu, untuk membuktikan Perdana V6 selalu rosak, didedahkan senarai senggaraan dizaman Idris dimana kereta Idris mencatatkan perbelanjaan tertinggi, sebanyak RM235,123.08.

Idris marah dan mahu menyaman Ahmad.

Sejak dari awal pelantikannya sebagai Menteri Besar, Ahmad juga sering mengkritik projek Mega yang dilaksanakan pada zaman Idris.

Ahmad sering membezakan pentadbirannya dengan Idris, antaranya, Idris menggunakan wang royalti minyak sesuka hati, tetapi sebaliknya Ahmad mahu royalti minyak kembali ke pangkuan rakyat Terengganu.

Idris tidak kisah tentang berbilion ringgit yang dibelanjakan tanpa memberikan manfaat langsung kepada rakyat, tetapi Ahmad mahu setiap sen wang royalti digunakan untuk memperbaiki tahap kehidupan rakyat Terengganu.

Apabila Ahmad diasak pihak media tentang isu pembelian Mercedes, Ahmad berkata mengapa terlalu sibuk tentang perkara itu, pergilah siasat perkara yang lebih besar, iaitu projek Monsun Cup dan Taman Tamadun Islam.

Pertempuran sengit berlaku antara kumpulan Ahmad dan Idris benar-benar tidak dapat disembunyikan apabila berlakunya pemilihan ketua-ketua bahagian UMNO Terengganu.

Bulan November lepas, adalah kemuncak pertembungan adalah apabila Ahmad berkata akan memecat Yahya Khatib kerana melanggar larangan ‘Exco tidak dibenarkan bertanding’ Ketua Bahagian UMNO.

Jadi, apa pilihan yang Hishamudin ada untuk menyelesaikan pertelingkahan semudah itu?

Kenyataan Muhyidin tambah merumitkan, kerana memang ada dalam perkiraan Hishamudin untuk menggantikan Ahmad dengan orang lain.

Amarah baru sedang bernyala antara dua kumpulan.

Kumpulan Ahmad yang sudah ‘cool’ tetapi kembali panas apabila orang kanan Idris yang disyakki sengaja menghantar SMS Ugut Bunuh untuk meledakkan konspirasi menyingkirkan Ahmad.

Muhyidin pula memberi ‘api’ kepada kumpulan Idris !

Wednesday, April 22, 2009

POLITIK TERENGGANU - MAKIN BENGONG DIBUATNYA

Mana satu yang betul?

Kijang naik pening dengan politik negeri jiran. Terengganu.

10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kata Menteri Besar tidak dapat sokongan.

Tetapi lain pula kenyataan Badan Perhubungan UMNO Terengganu.

Malas nak komen, bacalah laporan Malaysiakini ini.

Tujuh ketua Umno sokong MB T'ganu

Muda Mohd Noor | Apr 21, 09 3:15pm

Tujuh daripada lapan ketua bahagian Umno di Terengganu menyatakan sokongan mereka terhadap Menteri Besar, Datuk Ahmad Said untuk terus menerajui kerajaan negeri itu.

Hanya ketua bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh - salah seorang daripada 18 ADUN di Terengganu yang mendesak Ahmad meletak jawatan - tidak menyokongnya.

Bagaimanapun, ketua Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian Besut turut menyokong kepimpinan Ahmad (foto).

Perkara ini dinyatakan oleh Setiausaha badan perhubungan umno negeri, Datuk Rosli Mat Hassan ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Katanya, mereka menyatakan sokongan kepada Ahmad dalam perjumpaan anjuran Umno negeri di Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Daripada 24 ADUN BN di Terengganu, hanya tiga orang - Idris (Besut), Ahmad (Kemaman) dan Yahya Khatib Mohamad (Marang) - merupakan ketua bahagian

Kemelut politik

Bagaimanapun, katanya, ketua Puteri Kuala Terengganu, Nordiana Shafie tidak hadir dalam perjumpaan tersebut kerana baru bersalin.

“Manakala kesemua mereka yang hadir pada hari itu telah menyatakan sokongan kepada Datuk Ahmad sebagai menteri besar.

“Kita (Umno Terengganu) akan menghantar laporan ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Rosli mengulas kemelut politik di Terengganu sekarang, selepas 18 ADUN BN mendesak Ahmad meletak jawatan menteri besar.

Mengenai bantahan ADUN-ADUN terbabit terhadap pelantikan Ketua Wanita Umno bahagian Dungun, Zainon Abu Bakar sebagai Senator, Rosli berkata:

“Pelantikan tersebut dibuat setelah dibincangkan oleh ketua-ketua bahagian Umno di seluruh negeri.

Lantikan senator

“Tetapi Idris tidak datang dalam perbincangan tersebut,” katanya.

Rosli menambah, Zainon dipilih kerana beliau layak menjadi senator berdasarkan kesetiannya kepada parti.

Katanya, Zainon mempunyai kelulusan diploma dan juga sudah 25 tahun bersama Umno.

“Oleh kerana jarang Umno wanita di Terengganu bertanding dalam pilihanraya, maka jawatan senator sesuai untuk beliau,” katanya.

Mengenai rungutan bahawa ADUN tidak dilantik sebagai pengerusi penyelaras DUN masing-masing, Rosli berkata, ketua Umno bahagian diberi mandat untuk melantik siapa sahaja yang boleh menjalankan tugas tersebut.

Katanya, ini kerana ketua Umno bahagian yang lebih tahu perkembangan di kawasan masing-masing.

Friday, December 19, 2008

TV3 MINTALAH MAAF

Siapa tak marah. Laporan sedemikian banyak kesan negatifnya.

Kerana itu menurut Berita Harian, hari ini gan Negeri (DUN) Terengganu panas seketika semalam, apabila Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mendakwa TV3 cuba menjatuhkannya dengan melaporkan fakta yang salah mengenai beberapa anak syarikat kerajaan negeri yang mengalami kerugian dalam slot Buletin Utama kelmarin.

Beliau berkata, Buletin Utama yang melaporkan kenyataan bahawa tiga anak syarikat kerajaan negeri iaitu Golden Pharos Bhd, Permint Sutera Semai Sdn Bhd dan Syarikat Percetakan Yayasan Islam Terengganu Sdn Bhd akan ditutup adalah tidak benar.

"Ini syarikat ada kepentingan awam, saya tak mahu ulas panjang. Tetapi, semalam (kelmarin) TV3 salah lapor, kata saya nak tutup Golden Pharos... saya sedih. TV3 memang nak buat saya sokmo (selalu).. dari dulu lagi ada agenda.

"Saya ingin jelaskan di dalam dewan ini, TV3 mempunyai niat jahat terhadap saya, termasuk ketika krisis pelantikan saya sebagai Menteri Besar (MB) dulu, keluar berita Badan Pencegah Rasuah (BPR) siasat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal. Apabila Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) kata Ahmad dipilih sebagai MB, keluar pula berita Adun Kijal disiasat BPR.

"Kemudian, apabila Majlis Tertinggi (MT) Umno mengesahkan Ahmad Said sebagai MB, keluar lagi saya warning (beri amaran) dia (TV3), kalau keluar lagi saya saman, sedangkan BPR tak pernah siasat saya berkenaan kes itu (enam projek termasuk tiga projek menambak tanah di Kemaman)," katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan DUN di sini, semalam.

Serentak itu, Yang Dipertua DUN, Datuk Tengku Putera Awang mengesahkan bahawa laporan dikeluarkan TV3 mengenai kedudukan anak syarikat kerajaan negeri itu mengelirukan serta tidak selaras dengan kenyataan Ahmad dan meminta pihak media mengambil perhatian serius.
Sambil menyatakan kekesalan dengan kesilapan laporan dan fakta mengenai isu terbabit, Ahmad menjelaskan, beliau cuma menyebut beberapa contoh anak syarikat yang mengalami kerugian dan menyatakan kemungkinan anak syarikat yang tidak menghasilkan keuntungan untuk jangka masa terlalu lama akan ditutup.

Bagaimanapun katanya, sebelum tindakan itu dilaksanakan, langkah pemulihan akan dilakukan dengan meletakkan semua entiti perniagaan milik kerajaan negeri di bawah 'Management Holding Company', iaitu Terengganu Incorporated (TI) serta menstruktur semula sistem pengurusan, garis panduan, dasar, mekanisme pemantauan dan kaedah yang selaras bagi menjana keuntungan kepada rakyat.

Ahmad berkata, walaupun jumlah terkumpul untung rugi anak syarikat terbabit menunjukkan kerugian, jumlahnya semakin berkurangan dan ia adalah satu perkembangan baik apabila jumlah untung bersih diperoleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dari 2004 hingga 2007 meningkat 17.68 peratus atau RM27.4 juta.