Saturday, October 30, 2010

PAS SOGOK WANG PADA PRK GALAS


http://gtpm-malaysia.blogspot.com/

Kempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Galas telahpun bermula. Parti-parti yang bertanding akan mempertaruhkan strategi masing-masing. Seperti mana yang kita maklum PRK DUN Galas menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PAS dengan UMNO. Untuk rekod PAS merupakan penyandang kerusi DUN Galas sebelum ini, Adakah PAS berjaya mempertahankan kerusi ini? Jawapanya pada 4 November ini.

Parti-parti yang bertanding sudah tentu mempunyai strategi masing-masing terpulang kepada pendekatan yang digunakan parti masing-masing. Apa yang tak sedapnya, apabila pada PRK kali ini PAS dikatakan telah cuba menyogok RM500 sebagai memancing undi sepertimana yang dilaporkan oleh Gelombang Rakyat.

Sebelum ini, PAS mendakwa BN suka menyogok rakyat, kini apa pula jawapanya apabila PAS sendiri yang menyogok rakyat? Jangan pula selepas ini 'tindakan PAS' ini dihalalkan oleh Mursyidul Am Mereka. Kalau ini terjadi terbuktilah PAS mengamalkan politik "Wal Haram Mu, Wal Halal Ku".

GTPMM Crew hairan juga kenapa PAS begitu terdesak sehingga sanggup menggunakan strategi 'sogok wang' untuk memenangi PRK DUN Galas, sedangkan kalau mereka kalah sekalipun ia tidak akan menggugat Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui PAS. Apa nak ditakutkan setakat hilang satu kerusi dan bukanya 20 mahupun 10 kerusi.

Hairan juga apa yang ditakutkan PAS sehingga sanggup 'menggadai prinsip' demi memenangi PRK DUN Galas kerana bagi GTPMM Crew sekiranya PAS tewas ia langsung tidak akan meninggalkan kesan terhadap PAS dan juga Kerajaan Negeri Kelantan.

Lagipun peluang untuk PAS memenangi PRK ini adalah cerah memandangkan calon yang diketengahkan oleh PAS lebih tinggi taraf pendidikanya berbanding calon yang dipertaruhkan BN, jadi tak perlu lah PAS menggunakan strategi yang menampakkan PAS seolah-olah terdesak.

Komen GTPMM Crew: Apa nak jadi dengan PAS sekarang ni?

TIADA PELUANG KERJA PUNCA BELIA BERHIJRAH

Kegagalan kerajaan Pas Kelantan menyediakan projek pembangunan, termasuk kawasan perindustrian menyebabkan penduduk terutama belia sukar mencari pekerjaan, sekali gus menimbulkan masalah penghijrahan tenaga mahir tempatan ke negeri lain.

Calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff, berkata masalah itu hanya dapat diatasi jika kerajaan Pusat mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri yang bakal menyediakan pelbagai pembangunan selaras matlamat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020.

Sehubungan itu, katanya, pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dilihat sebagai permulaan kepada gelombang kebangkitan BN di Kelantan. "Jika BN menang di Galas, ia menjadi gelombang untuk rakyat Kelantan berubah dengan menyokong BN dan terus menawan Kelantan. Pembangunan kawasan Parlimen Gua Musang lebih tersusun apabila semua tiga DUN berada di bawah naungan Ahli Parlimen BN," katanya.

Beliau yang ditemui ketika melawat jentera Wanita UMNO Kampung Kerinting dan pengundi berkata penduduk Gua Musang khususnya Galas berdepan masalah perumahan kerana isu setinggan dan kemudahan perumahan gagal ditangani kerajaan negeri.

Ab Aziz berkata, masalah perumahan lebih ketara di bandar dan pelancaran projek perumahan rakyat (PPR) oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu memberi harapan kepada 1,500 penduduk.

"Ini projek BN untuk bantu penduduk Galas menyelesaikan masalah perumahan. Insya-Allah saya akan membantu sedaya mungkin untuk menyelesaikan masalah jika diberi mandat," katanya.

DATARAN SIREH TAPAK KEKAL PESTA AIR ANTARABANGSA

Suasana perlumbaan F3 Powerboat Malaysia dan perlumbaan perahu panjang di Sukan Air Antarabangsa Kelantan 2010 di Sungai Kelantan Dataran Sireh, Kota Bharu.

Kerajaan Kelantan bercadang mewartakan Dataran Lembah Sireh sebagai tapak kekal Pesta Air Antarabangsa Kelantan yang akan dijadikan acara tahunan dalam kalendar pelancongan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata tempat yang dicadangkan itu sesuai kerana terletak di pinggir sungai Sungai Kelantan yang sekali gus boleh dijadikan taman bagi penduduk tempatan.

"Kita bercadang menjadikan Dataran Lembah Sireh di sini sebagai tapak kekal Pesta Air Antarabangsa Kelantan dan akan dikemukan kepada Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam masa terdekat ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Pesta Air di dataran itu, di Kota Bharu, semalam.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyampaikan hadiah kepada peserta pelbagai acara di pesta itu.

Johan pertandingan Perahu Panjang bagi kategori Jemputan Antarabangsa dimenangi oleh pasukan dari Thailand, naib johan Kelantan dan ketiga Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi pelumbaan bot laju F3000 perseorangan johan dimenangi oleh Maarop Mahari dari Brunei, naib johan, Robert Fernandez dari Kumpulan Mofaz Sdn Bhd dan Awang Bara dari Brunei.

Takiyuddin berkata, selain itu kerajaan negeri juga akan menjadikan Pesta Air ditapak itu sebagai acara tahunan untuk dimasukkan dalam kalendar pelancongan Kelantan sama ada sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan atau Tahun Melawat Kelantan.

"Acara ini sekurang-kurang dapat menjadi produk baru pelancongan dalam usaha menarik pelancong asing melawat negeri ini,"katanya.