Friday, November 19, 2010

SPRM SENGAJA LENGAHKAN SIASATAN TERHADAP NIK AZIZ, MENANTU?

"Beberapa lagi siasatan SPRM yang belum terjawab sehingga kini iaitu dakwaan penulis blog, Kickdefella mengenai wang RM4 juta yang digunakan PAS untuk memburuk dan menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta sumbangan sebanyak RM350,000 oleh sebuah syarikat, Jutapan Sdn. Bhd. kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sebagai balasan kerana meluluskan tanah seluas 5,000 ekar di Mukim Pulai daerah Galas, Jajahan Gua Musang..."

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dinasihatkan agar tidak melewat-lewatkan sebarang siasatan terhadap mana-mana isu yang timbul meskipun ia melibatkan individu yang dipuja atau diagung-agungkan oleh sesetengah pihak.

Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Zahari Kechik berkata, sebarang kelewatan yang berlaku hanya akan menimbulkan persepsi atau spekulasi negatif bukan sahaja ke atas SPRM sendiri sebaliknya kepada pihak yang disiasat.

Justeru, katanya, hasil siasatan sama ada masih di peringkat awal atau sudah ada keputusan perlu diumumkan untuk membuktikan keadilan sudah terlaksana dan dapat diketahui rakyat.

“Jadi persoalan yang mahu dibangkitkan di sini adalah kenapa SPRM hanya berdiam diri tanpa ada sebarang keputusan hitam atau putih mengenai siasatan mereka.

“Sebarang kelewatan dan sikap berdiam diri seperti ini hanya akan memburukkan keadaan di mata kasar rakyat dan SPRM sendiri pasti tidak terlepas daripada menerima tohmahan,” katanya di Kota Bharu, kelmarin.

Zahari merujuk kepada hasil tulisan pendapat oleh Abu Hassan Abdul Aziz dari Gua Musang yang disiarkan Utusan Malaysia kelmarin dalam ruangan pendapat.

Abu Hassan dalam penulisannya bertajuk “Umum hasil siasatan ke atas Nik Aziz, Ariffahmi’ meminta SPRM menjelaskan perkembangan terkini beberapa siasatan mereka di negeri ini termasuk membabitkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menantu beliau, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman yang dibuka kertas siasatannya tahun lalu.

Dalam kupasannya, Abu Hassan turut menyatakan beberapa lagi siasatan SPRM yang belum terjawab sehingga kini iaitu dakwaan penulis blog, Kickdefella mengenai wang RM4 juta yang digunakan PAS untuk memburuk dan menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta sumbangan sebanyak RM350,000 oleh sebuah syarikat, Jutapan Sdn. Bhd. kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sebagai balasan kerana meluluskan tanah seluas 5,000 ekar di Mukim Pulai daerah Galas, Jajahan Gua Musang.

Zahari berkata, siasatan itu membabitkan individu berprofil tinggi seperti Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS, justeru perkembangan siasatan itu tidak boleh dilengahkan.

Katanya, MTRK meminta SPRM agar tegas dalam isu ini terutama selepas beberapa kenyataan suruhanjaya itu bahawa siasatan mereka ‘tidak memilih bulu’.

“Sewajarnya setelah lebih setahun keputusan siasatan sepatutnya sudah diperolehi atau sekurang-kurangnya kita ketahui perkembangannya.

“Tidak ada orang yang kebal dalam konsep undang-undang negara kita, jadi janganlah kerana melihat kepada taraf yang diangkat oleh sesuatu pihak kepada mana-mana individu maka perkara ini didiamkan.

“Konsep undang-undang negara ini adalah keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi ia perlu dilihat untuk dilaksanakan,” katanya.

Semalam pula Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Dali Hussin berkata, SPRM sepatutnya mengambil kira rungutan di kalangan masyarakat yang ingin tahu tentang hasil siasatan ke atas Nik Abdul Aziz dan menantunya.

Beliau mendesak SPRM mendedahkan segera hasil penyiasatan mereka ke atas Menteri Besar Kelantan dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu.

“Semalam pun ada keluar rungutan pembaca dalam akhbar Utusan Malaysia yang mahukan penjelasan tentang perkembangan siasatan.

“Itulah yang kita harapkan agar SPRM dapat memberi kata putus dalam soal siasatan ini sama ada kes itu dapat kita bawa ke mahkamah atau sebaliknya kerana rakyat ingin tahu.

“Benda (siasatan) ini sudah menjadi pengetahuan umum jadi kita mahu SPRM dedahkan sama ada boleh didakwa atau tidak,” katanya pada Majlis Korban Hari Raya Aidiladha Parlimen Pengkalan Chepa semalam.

SPRM pada hujung tahun lalu membuka kertas siasatan dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa dalam PMBK membabitkan Abdul Ariffahmi, sementara Nik Abdul Aziz pula disiasat atas pengakuannya bahawa beliau dan keluarga menerima tajaan haji bernilai RM65,000.

BERNAMA 'MEREKA-REKA' KENYATAAN HUSAM?

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa kelmarin mendesak Bernama menarik balik berita berhubung PAS terbuka menerima sesiapa sahaja termasuk Datuk Zaid Ibrahim.

Berikut adalah kenyataan penuh Husam.

“Saya merujuk kepada laporan Bernama bertajuk 'Husam: PAS terbuka terima sesiapa, termasuk Zaid' dan akhbar lain yang menggunakan laporan yang sama.

Kebelakangan ini Bernama atas kapasitinya sebagai agensi berita rasmi negara telah membuat laporan "rasmi" untuk kegunaan media lain seolah-olah laporannya adalah betul dan rasmi sedangkan isinya adalah rekaan dan tidak benar. Apa yang dilaporkan Bernama yang kononnya dipetik daripada kenyataan saya semalam adalah tidak benar dan direka-reka.


Saya amat kesal dengan laporan itu dan mendesak Bernama menarik balik "berita" yang dikeluarkan itu.


Akhbar yang memetik Bernama melaporkan seperti berikut:

PAS terbuka untuk terima sesiapa, termasuk Zaid: Husam

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata parti itu sentiasa terbuka untuk menerima mana-mana bekas ahli parti lain, termasuk Datuk Zaid Ibrahim yang mengesahkan akan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor berkata, PAS pernah menawarkan tempat kepada Zaid dalam parti itu namun ditolak kerana Zaid lebih cenderung menyertai PKR.

"Dia (Zaid) sudah dewasa kalau dia nak masuk mana-mana parti...dulupun kita tawarkan dia masuk PAS, dia menolak namun terpulanglah kepada dia mana-mana parti dia nak masuk," katanya kepada Bernama selepas ditemuramah oleh hos Anne Edwards menerusi rancangan Hello Malaysia di Wisma Bernama, di Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai kekalahan Pas di tangan UMNO pada pilihan raya kecil DUN Galas 4 November lalu, Husam yang memegang Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan berkata parti itu menerima kekalahan itu dengan hati terbuka namun PAS memberi perhatian khusus kepada Barisan Nasional (BN) selepas ini.
"BN nampak gembira dengan kejayaan ini, namun yang lebih penting cara BN menyusun strategi menghadapi pilihan raya umum akan datang, itu yang lebih kita (PAS) bimbangkan," katanya.

Pada pilihan raya kecil itu, calon Pas Dr Zulkefli Mohamad tewas kepada calon BN, Abdul Aziz Yusoff dengan majoriti 1,190 undi.

200 KELUARGA MISKIN TERIMA DAGING KORBAN

Ilani Isahak menyampaikan daging korban kepada seorang penarik beca di Kota Bharu, semalam.
Seramai 200 keluarga miskin, penarik beca dan ibu tunggal menerima sumbangan daging korban daripada Pusat Sumber Pembangunan Keluarga Islam Kelantan sempena Hari Raya Aidiladha ini.

Turut menerima sumbangan ialah tujuh sekolah tahfiz sekitar daerah ini, Bachok, Pasir Puteh dan Tumpat.

Pengerusi Pusat Sumber Pembangunan Keluarga Islam negeri, Datuk Ilani Isahak berkata, pihaknya mengorbankan empat lembu bagi tujuan tersebut.

Beliau berkata, pengagihan daging korban itu merupakan acara tahunan pusat berkenaan setiap kali sambutan Aidiladha.

"Pengagihan daging korban diadakan untuk memberi peluang kepada keluarga berkenaan bersama-sama meraikan sambutan Aidiladha dengan penuh kesyukuran," katanya di Kota Bharu, semalam.
Beliau berkata, sebagai sebuah badan yang prihatin dengan keadaan masyarakat, adalah menjadi tanggungjawab pihaknya untuk membantu golongan berkenaan setiap kali tiba musim perayaan.

Beliau berkata, lembu yang dikorbankan itu adalah hasil sumbangan pelbagai pihak yang tidak mahu ketinggalan dalam membantu golongan memerlukan di negeri ini.

Beliau yang juga penyelaras khas lantikan Jemaah Menteri mempromosikan persefahaman dan keharmonian pelbagai agama berkata, sumbangan itu adalah sebahagian usaha kerajaan untuk mengeratkan hubungan sesama umat Islam di negeri ini.

"Selain pemberian daging korban, jamuan turut diadakan bagi menghimpunkan ahli keluarga berkenaan," katanya.