Wednesday, April 27, 2016

Orang Kaya Boleh Ugut, Yang Berharap Pendam Perasaan...


Orang ada duit bolehlah main ugut-ugut. Yang berharap terpaksalah buat ‘muka tidak malu’ atau ‘lembu kenyang’. Memendam perasaam bimbang hilang penajaan.

Itulah hakikat dalam isu Vida Beauty yang mengancam untuk menarik balik penajaan kepada skuad Kijang,

Hari ini pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman (Datuk Vida) mengakui ancaman tersebut terpaksa dibuat kerana mahu Kelantan bangkit memperbaiki prestasi pasukan.

Menurutnya, skuad  Kijang masih belum menunjukkan peningkatan meskipun perlawanan separuh musim hampir tamat.

"Saya tidak mempunyai niat untuk menarik diri. Kenyataan itu dibuat kerana mahu menyedarkan pemain dan pengurusan KAFA mengenai pengorbanan saya terhadap pasukan.


"Saya tidak mudah menyerah diri. Sebagai ahli perniagaan, saya dah biasa menghadapi situasi sedemikian, malah lebih teruk lagi," katanya.

Usahawa kosmetik itu berkata beliau mengambil keputusan menaja Kelantan bukan kerana mahu mencari populariti tetapi berhasrat memartabatkan semula maruah pasukan.

"Saya perlukan perubahan kerana pasukan sangat lemah dan corak permainan hambar tidak seperti saya harapkan," katanya.

Persoalannya apa perasaan pihak pengurusan, juru latih, pemain dan semua pihak yang terlibat dengan pasukan Kijang?

Mentang-mentang banyak duit, boleh main ugut-ugut sedemikian rupa.

Apakah skud Kijang tidak bermain dengan sepenuh hati? Sengaja-sengaja tidak mahu menang?


Ekoran isu ini, Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa akhirnya membuka mulut mengenai isu tersebut malam semalam.

Annuar dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya pada malam Selasa tampil memberi penjelasan mengenai maklumat tajaan pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida terhadap pasukan Kelantan untuk mengelakkan timbul sebarang kekeliruan fakta.


Menurut beliau, meskipun KAFA hanya menerima jumlah tajaan sebanyak RM1.4 juta daripada Vida setakat ini, badan induk bola sepak negeri itu tetap menerima sumbangan tersebut dengan hati yang terbuka.

"Hingga saat ini pun KAFA tetap mempunyai hubungan akrab dan sentiasa bekerjasama serta menerima apa sahaja seadanya. Kita sentiasa hargai komitmen DSV (Datuk Seri Vida), sebab itu bagi kita tidak timbul soal penamatan tajaan kerana kita ambil pendekatan tolak ansur," katanya.

Annuar berkata hubungan baik antara KAFA dan juga Vida akan terus dikekalkan serta apa sahaja isu yang timbul akan diselesaikan secara berunding demi kebaikan bersama.

"Saya sendiri memilih cara berdiam diri dari komentar di Facebook tetapi mengekalkan hubungan akrab dengan para penaja.

"Info ini sekadar kongsi maklumat dengan anda untuk mengelak silap fakta. KAFA akan update bila perlu," katanya.

Jelas beliau lagi, Vida memperuntukkan tajaan sebanyak RM4 juta setahun manakala baki RM4 juta lagi digunakan untuk perbelanjaan lain seperti membaiki stadium, Wisma DSV, penganjuran Piala DSV dan ganjaran juara bagi kejohanan tersebut.

"Semuanya tak termasuk dalam bajet. Tapi KAFA tidak boleh memaksa," katanya.

Namun, beliau berkata KAFA amat mengalu-alukan kehadiran penaja baharu kerana Kelantan memerlukan sekurang-kurangnya RM4 juta lagi untuk memantapkan pasukan musim ini.

"Soal penaja baharu yang lain sememangnya KAFA perlu terus mencari dana kerana kita kekurangan RM4 juta lagi apabila Vida mahukan tajaan beliau dibuat seperti yang dijelaskan," katanya.

Pada Ahad lalu, Vida mengancam untuk menarik balik penajaannya kerana kecewa dengan prestasi pasukan Kelantan yang tidak menentu.

Malah Vida mengakui, ancaman untuk menarik penajaan bukan omong kosong, sebaliknya beliau bersedia mengambil langkah drastik itu andai isu prestasi pasukan masih gagal ditangani oleh KAFA.

Sunday, April 24, 2016

Hutan Simpan Kekal di Kelantan – Audit, Dakwa Segera Dalang & Sindiket

Kerajaan negeri Kelantan perlu mengaudit jumlah keluasan hutan simpan kekal yang masih ada dan yang telah diteroka secara haram di negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata penerokaan kawasan hutan simpan kekal adalah perbuatan serius sama ada dilakukan oleh individu mahu pun sindiket.


"Kita nak ketelusan, kita nak tahu setiap jajahan hutan simpan kekal berapa masih tinggal, berapa telah diteroka secara haram dan keluasannya yang sudah ditanam semula," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan ladang tanaman kontan di Bukit Perawas, Ayer Lanas di Jeli, semalam.

Mustapa mengulas pendedahan Jabatan Perhutanan Kelantan Rabu lepas, mengenai 7,284 hektar kawasan hutan termasuk Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini diteroka secara haram oleh sindiket dan individu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim dilaporkan berkata lebih 400 hektar Hutan Simpan Kekal Ulu Galas dan Batu Papan, Gua Musang diteroka oleh sindiket yang menggunakan nama Sultan Kelantan dan kerabat baginda.

Sindiket itu memperdaya penduduk agar membeli lot-lot tanah yang diteroka dan menyertai penerokaan tanah bagi tujuan penanaman getah, kelapa sawit dan pisang.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata penerokaan secara haram itu menunjukkan kelemahan dari segi penguatkuasaan dan ia perlu diatasi dengan segera.

Beliau berkata kemusnahan hutan akan memberi banyak kesan kepada alam sekitar dan semua pihak perlu memelihara khazanah alam tersebut.

Sementara itu, kelmarin Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berharap Kerajaan Kelantan perlu mengambil tindakan segera mendakwa di mahkamah dalang dan anggota sindiket yang meneroka hutan simpan kekal di negeri ini terutama di Gua Musang.

Pencerobohan kawasan hutan tidak boleh dipandang ringan kerana dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya banjir besar seperti pada 2014, katanya.

"Kalau kerajaan negeri dapat meluluskan kawasan pembalakan walaupun di pedalaman kenapa dalam masa sama kegiatan penerokaan hutan simpan kekal tidak boleh dikesan dari awal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan jambatan yang menghubungkan antara Kampung Limau Nipis Luar dan Kampung Limau Nipis Dalam di Machang.


Ahmad Jazlan mengulas pendedahan Jabatan Perhutanan Kelantan Rabu lepas, mengenai 7,284 hektar kawasan hutan termasuk Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini diteroka secara haram oleh sindiket dan individu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim dilaporkan berkata lebih 400 hektar Hutan Simpan Kekal Ulu Galas dan Batu Papan, Gua Musang diteroka oleh sindiket yang menggunakan nama Sultan Kelantan dan kerabat baginda bagi memperdaya penduduk agar membeli lot-lot tanah yang diteroka dan menyertai penerokaan tanah bagi tujuan penanaman getah, kelapa sawit dan pisang.

Semalam, Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata sebuah pasukan petugas khas sedang mengumpul pelbagai bukti untuk menangkap dan mendakwa dalang serta anggota sindiket terbabit.

Kelantan Berpesta Gol Atasi Terengganu, Kedah, JDT Kongsi Mata

PEMAIN Kelantan, Mohd Khairul Izuan dihalang pemain pertahanan Terengganu, Vincent Bika (kanan) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu. - Foto Berita Harian
Kelantan merakam kemenangan bergaya selepas menewaskan Terengganu 3-0 ketika langkah juara Piala AFC 2015, Johor Darul Ta'zim (JDT) terus disekat Kedah pada aksi Liga Super, malam tadi.

Memanfaatkan aksi di laman sendiri, Kelantan tidak menunggu lama untuk melancarkan serangan berbahaya kepada pelawat sebelum gol pertama diperoleh pada minit ke-14 permainan menerusi pemain sayap kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Nor.

Mendahului 1-0 berakhir babak pertama, anak buah K Devan tampak terus bernafsu menjaringkan gol, namun jaringan kedua hanya hadir pada minit ke-63 permainan menerusi Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.

Seminit sebelum masa permainan berakhir, gawang Terengganu yang dikawal Mohd Amierul Hakimi Awang sekali lagi bocor menerusi jaringan Fakhrul Zaman. 

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, hasrat JDT untuk membalas dendam kekalahan 2-1 dalam kempen Piala FA kepada Kedah, minggu lalu tidak kesampaian apabila sekadar seri 1-1.

Sebaliknya, tuan rumah bermula garang dan berjaya mengejutkan JDT seawal minit pertama perlawanan menerusi jaringan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar yang menyempurnakan hantaran Farhan Roslan.

Tersentak dengan gol awal Kedah, JDT membuat serangan balas dan melancarkan beberapa serangan melalui Pereyra Diaz (m19) namun gagal menewaskan gawang tuan rumah.

Seminit sebelum babak pertama berakhir, penantian JDT untuk meledak gol berakhir selepas dianugerahkan sepakan penalti apabila Pereyra Diaz dijatuhkan oleh Bang Seung Hwan.

Penyerang dari Argentina, Juan Martín Lucero memanfaatkan sepakan penalti dengan sepakan yang mengelirukan ke penjuru kanan pintu gol Kedah untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Sekali pun perlawanan tambah rancak pada babak kedua termasuk beberapa peluang terhidang, kedua-dua pasukan buntu menambah jaringan untuk berkongsi satu mata.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, PDRM bukan saja tidak memanfaatkan aksi di gelanggang sendiri, malah gagal mengambil kesempatan ke atas Selangor yang beraksi 10 pemain apabila sekadar mencatat keputusan seri 0-0.

Terdesak untuk bangkit dari kekalahan kepada pendahulu liga FELDA United sebelum ini, skuad kendalian Mohd Fauzi Pilus itu berjaya melakukan dua percubaan bahaya pada babak pertama namun gawang membolosi gawang pelawat.

The Red Giants turut berpeluang untuk membocori jaring tuan rumah muncul tetapi sepakan percuma Patrick Ronaldinho dari jarak kira-kira jarak enam meter pada minit ke-26 hanya tinggi melepasi palang gol tuan rumah.

Pada minit ke-70 permainan, Selangor terpaksa beraksi kurang seorang pemain apabila pemain tengah kebangsaan, Mohd Nazmi Faiz dilayangkan kad merah akibat mengasari Andre Williams.

Permainan tetap berlangsung rancak di sebalik ketiadaan Nazmi dengan rentetan serangan dilakukan PDRM namun tetap gagal menerjah gawang menyaksikan kedua-dua pasukan membawa pulang satu mata.

Pada perlawanan lebih awal, Sarawak gagal memanfaat kelebihan beraksi di laman sendiri apabila diikat Pahang 1-1 di Stadium Negeri, Petra Jaya.

Sumber - Berita Harian