Sunday, July 19, 2009

CHUA TIPU ORANG CINA

Tidak usah diratap atau disedihkan.

Lepas dan biarkan bekas Naib Presiden MCA itu, Datuk Chua Jui Meng sesat jalan dengan memilih parti perkauman seperti PKR untuk meneruskan sisa politiknya.

Lagipun, dia merasa sudah cukup menabur bakti sebelum ini.

Namun yang pasti Chua tipu orang Cina yang menyokong Barisan Nasional (BN) kerana sehari sebelum itu beliau bersandiwara mengatakan untuk memberikan ruang kepada orang lain apabila beliau meletakkan jawatan dalam bahagian.

Apapun, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat sedih dengan tindakan Datuk Chua Jui Meng meninggalkan MCA untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurut Menteri Pengangkutan itu, walaupun sedih, beliau menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka kerana melihat tindakan itu sebagai perkara biasa dalam politik.

''Saya sedih kerana beliau merupakan orang lama dalam parti. Saya harap keputusan ini adalah untuk kebaikan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA di semalam.

Ditanya adakah keputusan bekas Menteri Kesihatan itu memberi kesan kepada MCA, Tee Keat berkata, setiap hari akan ada orang yang masuk dan keluar parti.

''Inilah politik. Sesiapa sahaja berhak untuk menyertai mana-mana parti," ujarnya.

Tee Keat berkata, hubungan persahabatan antara mereka tidak pernah terjejas walaupun kedua-duanya bertanding pada pemilihan parti yang diadakan tahun lalu.

Berhubung soalan adakah keputusan Jui Meng menyertai PKR disebabkan perasaan tidak puas hati terhadap kepimpinannya, Tee Keat berkata, isu itu tidak timbul kerana Jui Meng sebelum ini meminta pengikutnya terus menyokong kepimpinan beliau.

Sementara itu, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai kecewa dengan tindakan bekas Menteri Kesihatan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PRK) semalam.

Katanya, beliau pernah berhubung dengan Jui Meng baru-baru ini dan tiada sebarang petanda yang menunjukkan bekas Naib Presiden MCA itu akan keluar parti untuk menyertai pakatan pembangkang.

"Saya pernah cakap beberapa hari lalu bahawa saya yakin Jui Meng akan kekal dalam MCA kerana parti ini ada banyak ruang untuk beliau meneruskan kerjanya.

"Jui Meng mungkin mempunyai cita-cita dan matlamatnya tersendiri sehingga mendorong beliau mengambil keputusan untuk menyertai PKR," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kesejahteraan Energy TSM Wellness Sdn. Bhd. di Plaza Damas, Sri Hartamas semalam.

Khamis lalu, Jui Meng mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua MCA Bahagian Bakri, Johor yang disandangnya sejak 23 tahun lalu.

Beliau menyerahkan kepimpinan MCA bahagian itu kepada timbalannya, Sia Ka Tuan dan berharap peralihan kuasa itu dapat menyelesaikan masalah dalaman di bahagian berkenaan.
Bagaimanapun, Jui Meng hari ini mengisytiharkan menyertai PKR dalam satu forum anjuran PKR.

Menurut Tiong Lai, pucuk pimpinan MCA amat berharap semua pemimpin parti bersatu padu membantu mengukuhkan parti khususnya apabila ia sedang melalui saat-saat getir selepas pilihan raya umum lalu.

Jui Meng menyandang jawatan Menteri Kesihatan dari 1995 hingga 2004 dan beliau bertanding dua kali pada 2005 dan 2008 bagi jawatan Presiden MCA namun tewas kedua-duanya kepada Tan Sri Ong Ka Ting dan Datuk Seri Ong Tee Keat.

No comments: