Wednesday, July 14, 2010

ANNUAR TANDING TIMBALAN PRESIDEN FAM?

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dijangka mencalonkan tiga pemimpinnya untuk merebut jawatan pada pemilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 31 Julai ini.


Mereka ialah Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, yang dijangka bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden; Naib Presiden Rosmadi Ismail sebagai Ahli Majlis FAM, manakala Datuk Affandi Hamzah yang juga Naib Presiden Kafa, mempertahankan jawatan sebagai Naib Presiden FAM.


Ketiga-tiga mereka dikatakan telah bersedia untuk bertanding jawatan tersebut, termasuk Affandi bagi mempertahankan jawatan yang disandangnya untuk penggal kedua.

Pencalonan itu dibuat atas keyakinan banyak pihak terhadap kredibiliti Annuar untuk membantu Sultan Ahmad Shah membawa bola sepak negara pada kedudukan yang lebih baik.

Menurut sumber dalaman Kafa, ketiga-tiga mereka mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang dalam membangunkan bola sepak di Kelantan, selepas sekian lama negeri itu terperosok dalam saingan liga bola sepak tempatan.

“Kami yakin terhadap kepimpinan Annuar dengan dibantu Rosmadi kerana mereka telah membuktikannya dengan membawa kejayaan demi kejayaan kepada pasukan Kelantan.

‘‘Malah, The Red Warriors (TRW) kini menjadi fenomena di Kelantan, rata-rata rakyat negeri ini bercakap tentang pasukan ini.

“Annuar berjaya memberi suntikan baru kepada bola sepak negeri ini dan menjadikan sukan ini sebagai satu industri yang kian berkembang dengan mewujudkan barangan cenderahati rasmi serta kafe atas jenama TRW,” kata sumber tersebut kepada Utusan Malaysia, semalam.


Kelantan menunjukkan prestasi yang amat mengagumkan pada saingan Liga Super dan Piala Malaysia, sejak dua musim lalu.

Pemilihan kepimpinan tertinggi FAM untuk penggal 2010/2014 menarik perhatian banyak pihak apabila Timbalan Presiden, Khairy Jamaluddin dilaporkan tidak akan mempertahankan jawatan tersebut.

Annuar sebelum ini dilaporkan berkata, beliau masih memikirkan sama ada untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden FAM.

Beliau juga tidak mahu membuat sebarang kenyataan awal berhubung pendiriannya, dikhuatiri boleh menimbulkan andaian atau kontroversi.

Selain beliau, lima nama lain disebut-sebut untuk mengisi jawatan itu termasuk seorang lagi penyandang jawatan Timbalan Presiden, Datuk Redzuan Tan Sri Sheikh Ahmad; bekas penyandang jawatan itu, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim; Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Mokhtar Ahmad.

Bagaimanapun, semalam Shahidan mengumumkan untuk menarik diri daripada bertanding manakala Tengku Abdullah menyatakan kesediaan untuk kembali ke dalam kepimpinan tertinggi bola sepak negara.
Bagi jawatan Naib Presiden pula, sebanyak 12 pencalonan diterima dan ini bakal menyaksikan perebutan paling sengit untuk jawatan tersebut.

Menurut sumber itu lagi, dalam tempoh tiga tahun, pasukan Kelantan di bawah pimpinan Annuar bersama barisan ahli majlis yang lain telah mencipta kejayaan memberangsangkan apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia dan Piala FA.

“Kesemua ini dilakukan dalam masa yang singkat tanpa bantuan kerajaan negeri dan kemudahan prasarana yang baik seperti negeri-negeri lain.

‘‘Malah, pengurusan Kafa berada dalam keadaan terbaik pada masa kini. Kini TRW berada pada kedudukan kedua Liga Super dan yakin mampu untuk mencabar kedudukan Selangor sebagai pendahulu,” katanya.

No comments: