Thursday, July 8, 2010

PENDUDUK KESEDAR GUNA AIR BERLUMPUR

Lagi gara-gara tindakan Kerajaan PAS Kelantan yang tidak mementingkan nasib raktar.

Kerajaan negeri sebelum ini meluluskan kawasan kira-kira 150 hektar kepada sebuah syarikat bagi tujuan pembukaan tanah komersial yang separuh daripadanya telah ditanam dengan getah manakala selebihnya dalam proses membina teres di lereng bukit tersebut.

Berikutan itu, lebih 700 penduduk di kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Sungai Sam di sini terpaksa menggunakan air bercampur lumpur akibat kerja-kerja pembukaan tanah di puncak bukit berhampiran kampung mereka sejak awal tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Sungai Sam, Yusuf Mahmod berkata sumber bekalan air tandak yang dibina di Sungai Ulu Sungai Rakit turut musnah akibat hakisan dari pembangunan di puncak bukit berkenaan.

"Kami sekarang tiada pilihan lain selain terpaksa menggunakan air sungai yang bercampur lumpur sama ada untuk minum atau mandi manda," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Yusuf berkata pihaknya telah mengadakan gerak kerja gotong royong bagi memulihkan punca air berkenaan tetapi gagal disebabkan hakisannya terlalu teruk.

"Pada musim kemarau lepas (Febuari hingga April) kami terpaksa menghadapi keadaan yang sangat kritikal untuk mendapatkan air dan setiap hari kami terpaksa mandi, membasuh dan mendapatkan air minuman di sungai," katanya.

Beliau menggesa kerajaan negeri menghentikan kerja-kerja pembukaan tanah sebelum keadaan menjadi lebih buruk terutama apabila tiba musim tengkujuh yang akan bermula Oktober ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Projek Bekalan Air Tandak kampung berkenaan, Sani Salleh berkata sebelum pembukaan tanah itu penduduk kampung tiada masalah untuk mendapatkan bekalan air bersih dari tandak berkenaan.

"Kami hanya bergilir-gilir membersih sampah sarap di permukaan tandak seminggu sekali tetapi hari ini kami terpaksa menggunakan air bercampur dengan lumpur lebih-lebih lagi selepas hujan," katanya.

Beliau berkata berasaskan perubahan itu beliau telah mencari alternatif lain dengan menggunakan air tandak dari Sungai Bukit Pinang tetapi hanya mampu membekalkan air kepada 10 peratus penduduk sahaja kerana air tandak berkenaan juga hampir tertimbus disebabkan masalah pembukaan tanah di kawasan sekeliling.

No comments: