Thursday, July 8, 2010

RAYUAN MOHD FAUZI DIKETAHUI HARI INI

Mahkamah Tinggi di Kota Bharu kelmarin menetapkan hari ini (Khamis) sebagai tarikh keputusan sama ada menolak atau menerima rayuan yang dikemukakan pihak pendakwaan berhubung kes Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Mohd Fauzi Ismail.

Beiau dituduh melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM138,210 pada tahun 2005.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin menetapkan tarikh berkenaan selepas mendapat persetujuan dari kedua-dua belah pihak pendakwaan dan pembelaan.

Mohd Fauzi diwakili peguam Mohd Yusoff Yaakub bagi pihak Datuk Sukri Mohamed sementara pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohd Fauzi didakwa menerima wang hasil aktiviti haram RM91,650 daripada Mohd Syahbuddin Hashim, 26, di hadapan Stadium Sultan Mohamed Ke-IV di sini antara jam 12.30 tengah hari dan 7 malam pada 6 Januari 2005.

Bagi pertuduhan kedua pula, beliau didakwa menerima RM46,560 hasil aktiviti haram daripada Wan Ibrahim Wan Setapa, 43, di Pejabat UMNO Bahagian Kubang Kerian dekat sini antara jam 1 tengah hari dan 2 petang, 10 Januari 2005.

Mohd Fauzi dituduh melakukan dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Pada 22 Januari 2008, Hakim Mahkamah Sesyen di sini memutuskan Mohd Fauzi tidak perlu membela diri berikutan kegagalan pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadapnya bagi dua pertuduhan itu.

Namun, pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut memfailkan rayuan ke mahkamah tinggi dan kes itu didengar semula sehingga Hakim Mohd Azman menetapkan 8 Julai ini untuk keputusan rayuan berkenaan
.

No comments: