Gembira - sebahagian penduduk keturunan Siam di Tumpat yang menerima taraf kerakyatan bergambar kenangan dengan Hishamuddin dan Mustapa.
"Terima kasih Perdana Menteri, terima kasih kerana tunaikan janji beri kami taraf kerakyatan," itu kata beberapa penduduk berketurunan Siam yang mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia, pada Khamis.
Seramai 89 orang penduduk minoriti itu menerima penganugerahan yang disampaikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Wat Phikun Thong dalam satu majlis yang disifatkan mereka sebagai "sangat bersejarah" .
Turut hadir ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Eh Chum Chai Di, 78, yang sebak ketika ditemui berkata apa yang diterimanya hari ini adalah sesuatu yang tidak pernah terfikir dalam hidupnya selama ini."Rasa macam mimpi. Terima kasih Perdana Menteri yang prihatin kepada kami," katanya yang ditemui pemberita selepas majlis itu.
Eh Chum yang berasal dari Kampung Jubakar di sini dan mempunyai seorang anak lelaki itu berkata beliau telah lebih tiga kali memohon kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mendapatkan kerakyatan negara ini.
"Lamo dah mintak. Dulu rasa macam bukan orang Malaysia. Hari ini dah lain, saya adalah 1Malaysia," katanya sambil menunjukkan isyarat bagus kepada pemberita.
Bagi Eh Deng Chau Ren, 74, pula tidak menyangka kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Wat Machimmaram di sini pada 15 Julai lalu telah memberikan sinar baru buatnya paad Khamis.
Katanya ketika Najib mengumumkan akan memberikan taraf kerakyatan itu, pada mulanya, beliau merasa ragu-ragu tetapi setelah dihubungi pegawai KDN barulah beliau percaya akan pengumuman Najib itu.
"Saya sokong kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dulu lagi dan hari ini buat saya rasa sangat gembira dan betullah BN memang tidak pernah mungkir janji," katanya yang berasal dari Kampung Repek, Tiong, Pasir Mas itu.
Mempunyai lima orang anak, Eh Deng berkata beliau telah memohon kerakyatan itu sebanyak dua kali.
Seorang wanita Mek Kedaing Cha Mid, 68, pula mengucapkan terima kasih kepada Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar yang banyak membantu masyarakat itu selama ini.
"Bagus wakil rakyat itu (Noor Zahidi) dan sebab itu kami sokong BN kerana ada orang macam ini termasuk ada Perdana Menteri (Najib) yang tahu kehendak kami," katanya.
Bagi seorang rakyat kelahiran Nakorn Sithammarat, Thailand dan telah menetap di sini selama lebih 20 tahun, Cha On Buateng @ Aminah Abdullah, 54, sangat bersyukur kerana menerima kerakyatan itu.
Berkahwin dengan seorang rakyat Ghana, Mohamad Michael, 58, beliau berkata kemakmuran yang dikecapinya sejak tinggal di sini membuatkan beliau sekeluarga mahu menjadi sebahagian rakyat negara ini.
"Saya sangat gembira tinggal di sini walaupun saya dan suami bukan berasal sini tetapi kehidupannya tidak ada di tempat lain," katanya yang kini sedang menunggu kelulusan yang sama terhadap suaminya.
Katanya tiga anaknya sudah ada yang bekerja dan bersekolah iaitu di New Zealand, Jepun dan Kedah membuktikan Malaysia adalah sebuah negara yang makmur dan masyarakatnya hidup bersatu padu.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Masyarakat Siam Kelantan, Eh Chot Cha Chan berkata dengan pemberian taraf kerakyatan itu, 99 peratus pemohon keturunan tersebut telah menerimanya.
Katanya mereka yang menerimanya hari ini berusia antara 53 hingga 91 tahun dan ada antaranya telah memohon lebih 20 tahun lalu.
"Dulu ada yang mohon ketika umur 40 tahun, hari ini umurnya sudah lebih 60 tahun baru dapat taraf kerakyatan dan inilah bukti semangat 1Malaysia apabila hak kami juga tidak dinafikan," katanya.
Beliau berkata lebih 5,000 rakyat keturunan Siam yang ada di Kelantan tidak pernah percaya ada parti lain selain Barisan Nasional (BN) yang mampu merealisasikan harapan mereka.
No comments:
Post a Comment