Monday, August 2, 2010

GURU BERPOLITIK BAKAL LAHIR PEMIMPIN BERKALIBER - MUSTAPA

Keputusan kerajaan membenarkan Pegawai Pendidikan Perkhidmatan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik bakal melahirkan pemimpin berkaliber untuk negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata "suara guru" dalam iklim politik negara sangat diperlukan kerana mereka sangat diterima masyarakat dan langkah itu sebenarnya memberikan kesan positif kepada negara.

"Ia bakal melahirkan politik kepimpinan dan keputusan kerajaan ini telah memberikan kesan yang sangat positif ketika kita ketandusan pemimpin berkaliber, berintegriti, dihormati dan disegani," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pameran Karya Seni Visual STPM dan Program Usahawan Sosial untuk Pembangunan Ekonomi (SEED) di Universiti Malaysia Kelantan pada hari Ahad.

Mustapa yang juga pengerusi perhubungan Umno negeri berkata demikian ketika mengulas pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang membenarkan Pegawai Pendidikan Perkhidmatan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik mulai 1 Julai 2010.

Beliau bagaimanapun menasihati guru terbabit agar mementingkan kerjaya dan tidak menjejaskan prestasi di sekolah kerana jika itu berlaku ia boleh menjejaskan pelajar.

Mustapa juga mengingatkan pembangkang yang mendakwa kononnya keputusan kerajaan itu bagi membolehkan guru berpolitik untuk menyokong kerajaan semata-mata dan bukannya untuk pembangkang.

"Kerajaan putuskan guru boleh berpolitik dan dakwaan pembangkang yang karut marut ini tidak harus berbangkit. Ini tidak berasas dan mereka (pembangkang) tidak patut buat begini," katanya.

No comments: