Wednesday, September 29, 2010

DUN GALAS - UMNO YAKIN RAMPAS KEMBALI

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Noor Zahidi Omar berkata UMNO dan BN Kelantan sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Menurutnya BN pernah menang di situ dan pastinya pengundi BN yang setia masih ada.

"Kita pernah menang di DUN itu pada pilihan raya 2004 dengan lebih seribu majoriti dan hanya tewas pada 2008 disebabkan tsunami politik ketika itu.

"Apa pun kita akan berusaha sebaik mungkin untuk merampas kembali kerusi DUN itu," katanya.

Sementara itu, UMNO akan meletakkan pemimpin tempatan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil dun Galas, yang bakal diadakan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata UMNO sedia mengambil langkah-langkah wajar bagi menghadapi pilihan raya kecil itu setelah tarikh pemilihan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kerusi DUN Galas kini kosong berikutan penyandangnya Che Hashim Sulaima, 46, dari PAS meninggal dunia semalam akibat kanser kolon.

"Malahan setelah kita dimaklumkan hal ini semalam, kita sudah mengambil perhatian. Dan seperti biasa, jika ada pilihan raya kecil, kita akan (letak) calon dan calon yang kita letak akan datang dari Gua Musang yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh (Tengku Hamzah).

"Kita akan letak calon terbaik yang akan diputuskan oleh pihak pimpinan parti dan kita percaya Tengku Razaleigh akan membantu sebagai ketua bahagian dan Datuk Seri Mustapa (Mohamed) selaku Ketua Perhubungan (UMNO Kelantan) juga akan terlibat untuk memastikan kemenangan kita dalam pilihan raya," katanya kepada wartawan selepas menyampaikan ucaptama di International Herald Tribune Forum di Kuala Lumpur, semalam.
Muhyiddin berkata peluang BN untuk merampas kembali kerusi tersebut adalah 50-50.

"Bagaimanapun, kita tidak akan ambil ringan terhadap perkara ini," katanya.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata PAS tidak menolak bahawa parti itu akan menghadapi cabaran besar dalam pilihan raya nanti berikutan DUN Galas terletak dalam kawasan Parlimen yang sama dengan Nenggiri dan Paloh yang dimenangi BN.

"Kita tidak akan memandang rendah dan meremehkan kekuatan pihak lawan dan apa yang penting parti mesti dalam kedudukan yang cukup kuat untuk bertarung dan mempertahan kerusi DUN Galas ini," katanya.

"Kita akan mengadakan mesyuarat pada 3 Oktober ini dan antara agenda penting yang akan dibincangkan adalah mengenai persiapan dan persediaan kita untuk menghadapi pilihan raya itu," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat PAS di sini pada Selasa.

Tarikh pilihan raya kecil itu akan diumumkan SPR sebaik sahaja menerima notis rasmi daripada Speaker DUN Kelantan mengenai kekosongan kerusi tersebut.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim memperoleh 4,399 undi mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi. Saufi mendapat 3,753 undi.

Penasihat jentera pilihan raya Pas Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata isu semasa dan sentimen tempatan dijangka menjadi tumpuan pada pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas yang bakal diadakan berikutan kematian wakil rakyat di situ.

Katanya kemenangan Pas pada pilihan raya umum sebelum inipun banyak bergantung kepada kedua-dua isu itu.

"Sebab itu, kita menganggap pilihan raya kecil kali ini adalah suatu medan ujian penting kepada Pas dan Barisan Nasional," katanya.

Wan Abdul Rahim berkata sentimen setempat di Galas berdasarkan kepada komposisi pengundi kerana kawasan itu mempunyai ramai pengundi daripada kalangan Orang Asli.

No comments: