Wednesday, September 29, 2010

KEKOSONGAN KERUSI DUN GALAS SUDAH DIMAKLUM KEPADA SPR

(Terkini)Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud mengesahkan telah menghantar surat makluman mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Galas kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut.

Katanya, surat pemakluman itu telah dihantar 12.45 tengah hari semalam sejurus selepas pihaknya menerima surat pengesahan kematian penyandang kerusi itu, Chek Hashim Sulaima.

"Kita telah terima sijil kematian pagi semalam dan sudah menghantar surat makluman kekosongan kerusi selepas itu kepada pihak SPR, melalui pos dan faks,” katanya di Rantau Panjang hari ini.

Chek Hashim, 46, meninggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru di Kuala Lumpur pada Ahad lalu akibat barah usus.

Sementara itu, Polis Kelantan bersiap-sedia bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam dalam menghadapi pilihan raya kecil sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Gua Musang perlu diadakan dalam masa terdekat.

Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi (gambar kiri), berkata terserah kepada SPR bagi menentukan tarikh yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya kecil itu dan anggota polis mencukupi bagi memastikan ia berjalan lancar.

"Semua kekuatan logistik dan tenaga anggota mencukupi, kontinjen Kelantan sentiasa bersiap sedia menghadapi pilihan raya bagi memastikan suasana aman, selamat," katanya semalam.

Abdul Rahim berkata polis tidak ada masalah bagi menghadapi pilihan raya itu dan berharap kempen yang dijalankan oleh parti-parti terlibat dalam suasana aman dan harmoni.

No comments: