Wednesday, September 29, 2010

TUNGGU ARAHAN PERSIAPAN PILIHAN RAYA KECIL GALAS

Umno Kelantan kini menunggu arahan daripada ibu pejabat parti untuk menggerakkan jentera bagi menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas selepas penyandangnya Che Hashim Sulaima meninggal dunia semalam.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Noor Zahidi Omar (gambar kanan) berkata jentera parti sentiasa bersedia dan hanya menunggu 'lampu hijau'.

"Setakat ini kita tidak membuat perbincangan apa-apa pun dan kita tunggu arahan ibu pejabat yang akan bermesyuarat ke arah persiapan (pilihan raya) itu," katanya di Kota Bharu, malam semalam.

Che Hashim, 46, yang disahkan menghidap barah usus pada Mei tahun lepas, dimasukkan ke Hospital Al-Islam, Kuala Lumpur sejak beberapa hari lalu dan meninggal dunia kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim yang mewakili PAS berjaya merampas DUN Galas daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 646 undi.

Allahyarham mendapat 4,399 undi menewaskan penyandang dari BN Saufi Deraman yang mendapat 3,753 undi.

Pilihan raya kecil bagi Dewan Undangan Negeri Galas ini perlu diadakan berikutan dengan kematian penyandangnya Che Hashim.

Menurut Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar kelmarin, mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan sebaik sahaja menerima notis rasmi daripada Speaker DUN Kelantan mengenai kekosongan kerusi tersebut.

"Apabila SPR terima notis rasmi, baru kita akan adakan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil Galas. Pilihan raya kecil perlu diadakan memandangkan ia belum sampai tempoh tiga tahun daripada tarikh pilihan raya umum yang lepas.

"Pilihan raya kecil tidak perlu diadakan jika kekosongan berlaku selepas Mei tahun depan," katanya.

Di RANTAU PANJANG, Speaker DUN Kelantan Mohd Nassuruddin Daud berkata beliau akan menulis surat kepada SPR sebaik menerima sijil kematian Allahyarham.

"Sebagaimana biasa laporan bertulis akan dibuat secepat mungkin sebaik menerima laporan kematian dari pihak keluarga atau pihak berwajib.

"Kita tunggu sijil kematian Allahyarham sebelum menulis surat kepada SPRM bagi menyatakan kekosongan DUN Galas," katanya.

No comments: