Wednesday, October 20, 2010

KERAJAAN KELANTAN TOLAK CADANGAN KAFA TADBIR STADIUM

Kerajaan Negeri Kelantan menolak cadangan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk mengambil alih pengurusan Stadium Sultan Muhammed IV.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Abdul Fatah Mahmood berkata, tugas untuk mengurus stadium tersebut mampu dilaksanakan oleh kerajaan negeri melalui Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) dan tidak perlu ada pihak ketiga untuk melaksanakan tugas tersebut.

''Perbadanan pun tidak mempunyai apa-apa masalah setakat ini. Jadi saya percaya tidak ada sebab bagi pihak kerajaan negeri menerima cadangan yang dikemukakan oleh pihak KAFA itu.

"Saya sebenarnya lebih suka kita menambah bilangan stadium (membina stadium baru). Kita menyokong hasrat tersebut (pembinaan stadium baru) tetapi agak malang ia tidak dapat direalisasikan semasa pembentangan Bajet 2011 baru-baru ini," katanya ketika dihubungi kelmarin.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan cadangan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa supaya kerajaan negeri memberikan kepada KAFA tugas untuk menguruskan Stadium Sultan Muhammed IV dalam usaha menaik taraf kemudahan di stadium itu sejajar dengan syarat ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut Annuar, ketika ini stadium tersebut yang diurus oleh PSK didapati banyak ketinggalan dari segi infrastruktur berbanding stadium-stadium lain di negara ini.

KAFA juga mengemukakan beberapa rancangan bagi menaik taraf stadium berkenaan sekiranya kerajaan negeri sedia menyerahkan pengurusan stadium tersebut selepas ini.

Antara rancangan tersebut ialah membesarkan kapasiti stadium yang dianggarkan bernilai RM6 juta bagi menambah bilangan tempat duduk penonton.

Dalam pada itu, Abdul Fatah berkata, pihaknya bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan KAFA untuk mengubah suai stadium terbabit bagi memenuhi piawaian yang ditetapkan.

"Kalau KAFA nak ubah suai stadium kita setuju untuk pertimbangkan tetapi untuk ambil alih kita tidak setuju kerana PSK telah melaksanakan tugas mereka dengan baik," katanya.

No comments: