Kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membuat pembayaran Elaun Sara Hidup Nelayan secara tunai berjumlah RM74,000 kepada 370 nelayan daerah Tumpat kelmarin.
Nelayan berkenaan yang bernaung di bawah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tumpat, menerimanya pada satu majlis di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat.
Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Tumpat, Datuk Noor Zahidi Omar berkata, pihak kerajaan juga melalui LKIM membantu kaum nelayan dengan membuat Bayaran Insentif Hasil Tangkapan Ikan sebanyak 10 sen bagi setiap kilogram ikan yang ditangkap.
“Kerajaan sejak dulu sentiasa memberi pelbagai jenis bantuan kepada nelayan supaya golongan ini tidak menghadapi masalah.
“Begitu juga dengan pemberian subsidi minyak diesel, sepatutnya nelayan bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana bantuan ini masih ada,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Secara Tunai di PNK Tumpat 3/2010 itu.
Hadir sama, Pengarah LKIM Negeri Kelantan, Wan Mohd Adnan Wan Ibrahim dan Pengetua MRSM Tumpat, Wan Abdul Ghani Wan Abdullah.
Seorang penerima, Razak Salleh, 65, berkata, elaun sara hidup yang diterima banyak membantu terutaman ketika musim tengkujuh atau kurang hasil tangkapan.
“Umpama kerja makan gaji, setiap bulan nelayan akan mendapat wang, dapat menanggung keluarga jika tidak dapat turun ke laut,” katanya yang menanggung sembilan anak.
Bagi Abdul Hamid Dollah, 54, elaun sebanyak RM200 sebulan ini banyak membantunya yang diserang angin ahmar.
“Sejak sakit, anak terpaksa ambil alih tugas saya turun ke laut, nasib baik elaun ini ada, sedikit sebanyak membantu menyara keluarga,” katanya.
No comments:
Post a Comment