Rungutan pelabur mengenai tahap kemudahan asas tidak memuaskan di Kelantan berpunca daripada sikap Kerajaan Pusat sendiri yang tidak memberikan layanan sama rata kepada Kelantan berbanding negeri lain.
Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, masalah air sebenarnya dari dulu lagi berpunca daripada Kerajaan Persekutuan kerana tidak melayan Kelantan dari segi bekalan air.
“Kelantan diberikan soft loan dan kenapa tidak berikan kita geran seperti di negeri lain.
Soft loan itu digunakan Kerajaan Negeri untuk membina loji-loji air yang ditentukan Kerajaan Pusat.
“Kementerian Kewangan yang menentukan pembinaan loji-loji itu. Contohnya loji di Kampung Putih tergendala disebabkan kontraktor yang memajukannya dipilih oleh Kerajaan Pusat,” katanya.
Beliau mengulas gesaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, supaya Kerajaan Negeri tingkatkan kemudahan asas termasuk masalah air, sampah dan elektrik seperti di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa.
Masalah kemudahan asas itu dibangkitkan pelabur luar kepada Mustapa dan jika Kelantan gagal menanganinya dikhuatiri pelabur akan lari dan ia merugikan negeri itu di masa akan datang.
Husam, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri itu berkata, masalah Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra juga mengalami nasib sama apabila landasannya gagal dipanjangkan.
Menurutnya, Kerajaan Pusat diminta segerakan peruntukan yang diminta untuk menaik tarafkan lapangan terbang berkenaan.
“Atau izinkan Kerajaan Kelantan untuk mencari pelabur sendiri memajukan landasan itu.
“Bagi saya kenyataan menteri berkenaan adalah cara berpolitik dan bukannya cara selesaikan masalah berkenaan,” katanya.
Husam menyifatkan Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen, Jumaat lalu, sebagai kekeringan idea.
No comments:
Post a Comment