Pertemuan separuh akhir pertama TM Piala Malaysia, Kedah menentang Kelantan di Stadium Darul Aman, Alor Setar, seolah-olah ulangan pertemuan separuh akhir Piala Malaysia 17 tahun lalu, ketika Kedah menafikan kemaraan Kelantan dengan kemenangan tipis 3-2.
Dua gol skuad Kelantan dijaringkan Hashim Mustapha (gambar kiri) dan Tuan Kamree Tuan Yahya.
Sementara dalam aksi timbal balik di Kota Bharu, Kelantan kecundang 0-1, dan menyaksikan pengadil perlawanan ketika itu, Mohd Jamil Zakaria dari Perak, diserang seorang penyokong Kelantan gara-gara tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.
Ketika itu skuad Kelantan di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman, M Karathu menyenaraikan Wan Kamaruzaman Mohamad, Zahasmi Ismail, Aziz Mustapha, S Silvarajoo, Zami Mohd Nor, Mohd Zaidi Napiah, Tuan Kamree Tuan Yahya dan Hashim Mustapha dibantu pemain import Dimitri Kalkalnov, Micheal Anthony Roki dan perancang tengah Marco Kraljevic sebagai kesebelasan utamanya.
Sementara skuad Kedah bimbingan Robert Rene Alberts membariskan kapten Mohd Radhi Mat Din, Ahmad Sobri Ismail, Lee Kin Hong, Mohd Feriza Ismail, Mohd Farouk Ismail, Lee Thean Ewe, Farizuan Che Hamid, S Thanasegar, Mohd Nidzam Adzha Yusuff disamping tenaga import Tibor Szaban, Olubunmi Adigun dan Peter Nieketien dari Nigeria.
Namun, itu kisah lama. Malam esok, barisan pemain Kelantan di bawah kendalian B Sathianathan sekali lagi akan mengharungi puluhan ribu penyokong setia Hijau Kuning di Alor Setar.
Bersandarkan keyakinan tinggi, skuad yang membariskan pemain berpengalaman seperti Indra Putra Mahayuddin, Muhd Badhri Radzi, dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli pasti mempunyai misi tertunda yang harus selesaikan di Alor Setar.
Ada dendam yang tersimpan setelah Kedah berjaya menyingkirkan Kelantan dipusingan kedua kempen Piala FA musim ini angkara peraturan gol di tempat lawan.
Sudah pasti situasi sama tidak mahu berulang lagi setelah hasrat mendakap piala tersebut dinafikan Sang Kenari.
Berbekalkan semangat 1993, sudah pasti anak buah B Sathianathan tidak mahu berputih mata untuk memburu kejuaraan piala paling berprestij di negara ini. Hanya selangkah lagi untuk melangkah ke pentas akhir dengan syarat Kedah harus disingkirkan dalam perlawanan separuh akhir pertama malam esok.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment