Saturday, November 13, 2010

TIADA SOGOKAN DARIPADA BN SEPANJANG KEMPEN DUN GALAS


Tiada sebarang bentuk ugutan, sogokan dan tekanan terhadap pengundi sepanjang kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dipraktikkan oleh jentera Barisan Nasional (BN) sebagaimana yang didakwa Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata kempen yang dijalankan lebih bersifat sederhana dan berhemah ke akar umbi berbanding parti lawan yang mengambil pendekatan yang lebih agresif. "Sudah menjadi kelaziman bagi kepimpinan PAS dengan modal 'lapuk' tiada demokrasi dan keadilan sekiranya mereka tewas dalam pilihanraya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen gotong-royong basmi nyamuk aedes di Bachok, semalam.

Lebih 500 peserta terdiri daripada penduduk setempat, kakitangan Pejabat
Pelajaran Daerah Bachok, Pejabat Kesihatan, Pasukan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) dan Pejabat Bomba dan Penyelamat Bachok, mengambil bahagian dalam gerak kerja
itu.

Awang Adek mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz semalam antara lain didakwa berkata, BN akan menanggung dosa jika rakyat memilih parti itu kerana tekanan dan bukan membuat pilihan secara bebas.

Nik Aziz mendakwa BN tidak memberi peluang kepada rakyat memilih wakil rakyat secara demokrasi.

Pada pilihan raya Khamis lalu calon BN Abdul Aziz Yusof menang dengan majoriti 1,190 apabila memperolehi 5,324 undi berbanding calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad, yang memperolehi 4,134 undi.

Awang Adek berkata, sepanjang kempen berkenaan BN tidak membuat janji tertentu tetapi yakin mampu melaksanakan yang terbaik bagi memenuhi keperluan dan permintaan
rakyat selepas mandat kemenangan diberikan.

No comments: