Monday, January 3, 2011

Banjir Merebak ke Tumpat Akibat Limpahan Sungai Golok

Banjir di Sungai Golok, Kelantan kini melebihi paras bahaya dan tinjauan mendapati penduduk Kampung Kedai Lama yang berdekatan mula berpindah dari situ 2 Dis. 2011. - Utusan

Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan menjangkakan daerah Tumpat bakal dilanda banjir dalam tempoh terdekat berikutan paras air di hulu Sungai Golok yang semakin surut.

Setiausahanya, Roslee Mamat berkata, limpahan air di hulu sungai tersebut telah mula turun ke kawasan muara dan akan menyebabkan kawasan rendah di Tumpat dinaiki air.

Beliau berkata, pihaknya sedang bersiap sedia untuk menghadapi keadaan tersebut tetapi menjangkakan ia tidak serius kerana berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi, taburan hujan tidak terlalu tinggi di negeri ini.

"Lazimnya air di hulu akan mula turun ke kawasan hilir dan disebabkan itu kita mula bersiap sedia untuk menghadapi banjir di Tumpat.

"Biar pun keadaan cuaca yang semakin baik, kita masih tetap berjaga-jaga selagi musim tengkujuh belum berakhir Mac ini dan berdasarkan sejarah lalu, negeri ini pernah dilanda banjir pada Januari dan Februari, malah ada juga tahun yang langsung tidak dilanda banjir. Jadi ini bukan satu fenomena yang pelik," katanya ditemui di pusat pemindahan banjir Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad di Rantau Panjang, semalam.

Beliau menjangka bencana banjir di negeri itu tidak seteruk seperti tahun sebelumnya berikutan keadaan cuaca yang diramal terus baik.

No comments: