Showing posts with label Fatah. Show all posts
Showing posts with label Fatah. Show all posts

Saturday, October 9, 2010

PAS RAMAL 48 PERATUS PELUANG DI GALAS

Pas meramalkan 48 peratus peluang baginya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Galas di Gua Musang berbanding 52 peratus bagi Barisan Nasional pada pilihan raya kecil yang ditetapkan pada 4 Nov depan.

Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali berkata Pas tidak memandang ringan pertandingan bagi pilihan raya kecil itu kerana menganggap kawasan itu sebagai kubu kuat Umno.

"Kita tidak melihat mudah (pilihan raya ini) kerana kita penyandang. Sebab itu kalau kita kalah tentulah ada sikit terjejas walaupun dia tidak mengubah kerajaan," katanya pada sidang akhbar di pejabat PAS Pusat di sini.

Mengenai Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon BN untuk pilihan raya kecil itu, beliau percaya pemimpin itu tidak akan menerima tawaran berkenaan.

"Saya tak fikir dia akan terima jadi calon sebab dia Anggota Parlimen. Buat apa nak jadi calon ADUN. Kalau menang jadi ADUN biasa. Saya rasa dia ada pertimbangan sendiri," katanya.

Mengenai calon PAS pula, beliau berkata parti itu dijangka bermesyuarat minggu depan untuk membincangkan perkara itu selepas menerima senarai calon daripada PAS Kelantan.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun berkata solat istikharah mungkin menjadi pemutus dalam menentukan calon PAS pada pilihan raya kecil DUN itu.

Katanya, ini kerana terlalu ramai calon yang berkelayakan dan seimbang yang dicadangkan PAS di peringkat akar umbi sebelum diperhalusi oleh pimpinan tertinggi parti itu.

"Kita percaya solat istikharah yang akan dibuat oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, akan menjadi kata pemutus untuk menentukan calon PAS pada pilihan raya kecil itu," katanya ketika melawat kawasan pilihan raya itu semalam.

Abdul Fatah yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri berkata, mengikut amalan biasa yang dinyatakan oleh bekas Ketua Dewan Ulama PAS Negeri, Yahya Othman, parti itu menerima calon yang mempunyai kriteria tidak pernah melakukan dosa besar, seperti zina dan membunuh serta sanggup meninggalkan dosa-dosa kecil, termasuk merokok.

Beliau juga menyokong kenyataan anggota Exco Kerajaan Negeri, bahawa PAS sedia menimbangkan untuk meletakkan Orang Asli sebagai calon pada pilihan raya akan datang termasuk pada pilihan raya kecil Galas.

"Ini semua tidak mustahil boleh terjadi, kerana masyarakat Orang Asli sekarang berbeza dengan sebelum ini kerana mereka kini berpelajaran tinggi dan tidak mudah menerima pandangan orang lain kerana boleh berfikir sendiri," katanaya.

Beliau yang juga anggota DUN Bukit Tuku berkata, pemilihan calon sebenarnya bukan menjadi agenda penting PAS, tetapi lebih besar dari itu untuk menegakkan perjuangan berasaskan prinsip Islam.

"Justeri itu PAS tidak merasakan sesuatu yang sukar dan "pelik" dalam menentukan calon pada semua pilihan raya, termasuk pilihan raya kecil DUN Galas ini," katanya sambil menyatakan keyakinan Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak akan menerima jika beliau dipilih sebagai calon BN pada pilihan raya itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ialah pada 26 Okt ini dan jika ada pertandingan pengundian akan diadakan pada 4 Nov.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kekosongan DUN itu berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46 akibat barah usus pada 27 Sept lepas.

Monday, August 16, 2010

PENGHULU GAGAL BERPERANAN SEBAGAI IMAM?

Kerajaan Kelantan kecewa kerana kebanyakan penghulu yang dilantik gagal memainkan peranan sebagai imam dalam menjalankan tugas dan mewujudkan konsep perkhidmatan "dua dalam satu".

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Penghulu Kelantan Abdul Fatah Harun berkata ini bertentangan dengan matlamat Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu penghulu turut berfungsi sebagai imam apabila keadaan memerlukan.

"Kita dapati setakat ini tidak sampai 50 peratus daripada lebih 700 penghulu yang mampu mencapai status yang disifatkan sebagai 'dua dalam satu' itu," katanya selepas menyampaikan sumbangan imbuhan kepada 58 penghulu di Kota Bharu, semalam.

Beliau berkata tugas penghulu yang turut berfungsi sebagai imam itu telah diterap oleh Menteri Besar ketika mula mengambil alih pentadbiran negeri ini pada 1990 lagi.

"Tetapi hasrat pimpinan kerajaan negeri itu belum dapat dicapai sepenuhnya, walaupun ada perubahan yang agak membanggakan," katanya.

Abdul Fatah yang juga timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan, Kebajikan negeri berkata pada masa depan kerajaan akan mengutamakan pengambilan dan penyambungan kontrak jawatan penghulu bagi mereka yang mempunyai ciri-ciri apa yang disifatkan 'dua dalam satu' itu.

Saturday, August 7, 2010

KARNIVAL KEUSAHAWANAN CHENG HO OKTIBER DEPAN

Kerajaan Kelantan akan menganjurkan satu karnival keusahawanan secara besar-besaran pada 1 Oktober ini sempena sambutan ulang tahun ke-20 pentadbiran PAS di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri Abdul Fatah Mahmood berkata karnival yang dinamakan 'Karnival Cheng Ho' itu dijangka disertai beberapa negara Asia termasuk China dan akan menyediakan kira-kira 250 gerai.

"Karnival usahawan Cheng Ho akan menjadi kayu pengukur kepada belia menunjukkan kebolehan usahawan tempatan, khasnya dalam menyaingi usahawan luar negara," katanya kepada pemberita selepas penutupan Konvensyen Belia Kelantan 2010, di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata karnival tiga hari itu dijangka dirasmikan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Terdahulu semasa berucap, Abdul Fatah berkata kerajaan Kelantan berhasrat melahirkan 4,500 belia usahawan dalam pelbagai bidang termasuk MLM (Multi-Level Marketing) di seluruh negeri dalam tempoh terdekat.

Langkah itu bertujuan menjadikan golongan belia sebagai pemacu dan penyumbang kepada ekonomi bumiputera khususnya di Kelantan, katanya.