Showing posts with label Nelayan. Show all posts
Showing posts with label Nelayan. Show all posts

Wednesday, March 12, 2014

Nelayan Laut Dalam Kelantan Diminta Terus Bantu Pencarian Pesawat MAS


PASIR PUTEH (12 Mac 2014) - Dua ratus nelayan laut dalam di Kelantan diminta terus membantu mencari pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang Sabtu lepas.

Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Datuk Muhamad Mat Saman berkata nelayan terbabit menangkap ikan di Laut China Selatan, kira-kira 100 batu nautika dari pantai negeri ini.

"Mereka (nelayan) telah diarah melaporkan segera jika menjumpai sebarang objek yang mencurigakan yang berkemungkinan ada kaitan dengan kehilangan pesawat tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penubuhan Pasukan Pemantau Perikanan di Kampung Tok Ajang di hari ini.

Penerbangan Kuala Lumpur-Beijing itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dilapor hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi.

Pesawat sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Sementara itu, Muhamad berkata setakat ini, Pasukan Pemantau Perikanan telah ditubuhkan di Dabong, Kuala Krai dan Pasir Puteh bagi membantu jabatan itu membanteras kegiatan menuba ikan di beberapa sungai di negeri ini.

Semalam, Polis Kelantan menerima empat laporan daripada orang awam berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata laporan tersebut dibuat dari 9 Mac hingga semalam yang mendakwa mereka ternampak sebuah pesawat melalui beberapa lokasi, disyaki pesawat berkenaan.

"Kita menyiasat kes ini mengikut Seksyen 112 Akta Keterangan 1950 dan memanggil mereka untuk menunjukkan lokasi, serta membuat beberapa ujian untuk mendapatkan fakta yang boleh menyokong laporan mereka," katanya.

Jalaluddin bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan kesemua laporan polis itu untuk siasatan lanjut kepada Pengurus Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Kelantan Saudi Yusof di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu.

Sementara itu, Ketua-Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Mohad Khazin Hamzah meminta nelayan yang melihat objek ganjil di kawasan perairan negara, supaya terus melaporkan kepada pihak berkuasa.

Sehingga kini terdapat sebanyak 1,788 bot nelayan kelas C dan C2 dari kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Perlis, Perak dan Pulau Pinang.
 

Di Kota Bhaeu, hari ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengajak rakyat terus berdoa agar pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang Sabtu lepas, segera ditemui.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama Anggota Perkhidmatan Awam Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim Ahmad berkata, pihaknya telah mengarahkan semua masjid dan surau di negeri ini mengadakan solat hajat.

"Dewan Ulama Pas Pusat juga telah memutuskan untuk mengadakan Solat Hajat Perdana di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA pada esok hari," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri.

Mengulas mengenai Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pangkalan Chepa di sini, Ahmad berkata, lapangan terbang itu perlu dinaik taraf kepada lapangan terbang antarabangsa, bagi memudahkan kegunaan terutama ketika berlaku kecemasan.

"Jika berlaku apa-apa kecemasan di lautan dalam laluan Kuala Lumpur-Bangkok, Kuala Lumpur-Beijing, dan Kuala Lumpur-Vietnam, lapangan terbang ini yang terdekat untuk (pesawat) membuat pendaratan cemas," katanya.

Tuesday, January 4, 2011

300 Nelayan Dipastikan Berupaya Peroleh RM1,000 Sebulan

Sejumlah 300 nelayan miskin tegar di Kelantan yang menyertai Projek Penempatan Semula Nelayan yang tersusun akan dipastikan berupaya memperoleh pendapatan lebih RM1,000 sebulan selepas menyertai projek itu pada Ogos depan di Tok Bali Pasir Puteh.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kelantan, Wan Adnan Wan Ibrahim berkata mereka dipilih daripada senarai pendaftaran e-Kasih, dengan syarat tidak mempunyai rumah dan tanah kediaman sendiri.

Nelayan-nelayan di Tumpat, Kota Baharu, Bachok dan Pasir Puteh yang masih tidak mendaftar dengan e-Kasih boleh membuat pendaftaran mulai sekarang," katanya semalam.

Katanya bagi mereka yang tidak mempunyai bot dan peralatan menangkap ikan akan dipertimbangkan untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan bagi membolehkan mereka hidup berdikari tanpa bergantung kepada pihak lain.

Wan Adnan berkata isteri para peserta akan diberi peluang bekerja dengan menceburkan diri dalam projek-projek industri kecil dan sederhana (IKS) seperti projek fertigasi tanaman lada bagi menambah pendapatan keluarga.

Wan Adnan berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi melaksanakan projek berkenaan yang bermula awal tahun lepas dan dijangka siap sebelum Ogos tahun ini.

Thursday, December 23, 2010

RM2 JUTA BANTU PERALATAN NELAYAN KELANTAN

Kerajaan pusat meluluskan peruntukan RM2 juta untuk menyediakan peralatan menangkap ikan secara percuma kepada 144 nelayan Kelantan supaya mereka keluar dari kategori kemiskinan tegar.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata RM1.6 juta sudah dibelanjakan untuk membantu mereka memiliki peralatan seperti enjin, bot dan pukat.

"Ini bermakna kemiskinan tegar di kalangan nelayan di Kelantan terutama di Tumpat, Kota Baharu, Bachok dan Pasir Puteh sudah dapat diatasi," katanya pada majlis penyampaian bantuan bot, enjin dan pukat kepada 35 nelayan Bachok di Pangkalan Petah di Bachok, kelmarin.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Wan Adnan Wan Ibrahim ketika berucap pada majlis yang sama, berkata pihaknya sedang memproses permohonan ramai lagi nelayan untuk mendapatkan bantuan itu.

Katanya baki peruntukan sebanyak RM400,000 akan digunakan bagi tujuan itu.

Wednesday, October 20, 2010

INSENTIF KERAJAAN UNTUK NELAYAN - NOOR ZAHIDI

Kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membuat pembayaran Elaun Sara Hidup Nelayan secara tunai berjumlah RM74,000 kepada 370 nelayan daerah Tumpat kelmarin.

Nelayan berkenaan yang bernaung di bawah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tumpat, menerimanya pada satu majlis di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat.

Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Tumpat, Datuk Noor Zahidi Omar berkata, pihak kerajaan juga melalui LKIM membantu kaum nelayan dengan membuat Bayaran Insentif Hasil Tangkapan Ikan sebanyak 10 sen bagi setiap kilogram ikan yang ditangkap.

“Kerajaan sejak dulu sentiasa memberi pelbagai jenis bantuan kepada nelayan supaya golongan ini tidak menghadapi masalah.

“Begitu juga dengan pemberian subsidi minyak diesel, sepatutnya nelayan bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana bantuan ini masih ada,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Secara Tunai di PNK Tumpat 3/2010 itu.

Hadir sama, Pengarah LKIM Negeri Kelantan, Wan Mohd Adnan Wan Ibrahim dan Pengetua MRSM Tumpat, Wan Abdul Ghani Wan Abdullah.

Seorang penerima, Razak Salleh, 65, berkata, elaun sara hidup yang diterima banyak membantu terutaman ketika musim tengkujuh atau kurang hasil tangkapan.

“Umpama kerja makan gaji, setiap bulan nelayan akan mendapat wang, dapat menanggung keluarga jika tidak dapat turun ke laut,” katanya yang menanggung sembilan anak.

Bagi Abdul Hamid Dollah, 54, elaun sebanyak RM200 sebulan ini banyak membantunya yang diserang angin ahmar.

“Sejak sakit, anak terpaksa ambil alih tugas saya turun ke laut, nasib baik elaun ini ada, sedikit sebanyak membantu menyara keluarga,” katanya.