Showing posts with label Tumpat. Show all posts
Showing posts with label Tumpat. Show all posts

Tuesday, January 4, 2011

Nor Zahidi Berusaha Bantu 2,000 Pesawah Di Tumpat Tak Dapat Tanam Padi

Noor Zahidi Omar (depan) bersama penduduk kampung meninjau kawasan sawah yang dimasuki air masin di Kampung Kubang Bemban, Tumpat, semalam.

Masalah dah berlaku lebih setahun lalu.

Mana Ahli Parlimen PAS Tumpat? Kenapa isu ini berlarutan tanpa adanya pembelaan.

Masalahnya, lebih 2,000 pesawah di beberapa perkampungan di Tumpat tidak dapat mengusahakan tanaman padi sejak setahun lalu dipercayai kerana air masin dari Sungai Golok mengalir masuk melalui satu tali air ke sawah mereka.

Antara kampung terlibat adalah Kampung Jambu, Kampung Teluk Jering, Kampung Naga Ibu, Kampung Bendang Pak Yong, Kampung Kacang Sebidang, Kampung Simpangan, Pulau Ular, Kampung Kubang Bemban dan Julok yang merupakan kawasan perkampungan utama masyarakat Siam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Pengkalan Kubor Datuk Noor Zahidi Omar, hari ini membuat tinjauan setelah menerima aduan penduduk.

Beliau berkata akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat majlis tindakan persekutuan untuk mencari jalan penyelesaian.

"Saya berharap kerajaan persekutuan dapat menyediakan peruntukan secukupnya untuk mengambil tindakan segera membantu pesawah itu," katanya.

"Ini merupakan masalah rakyat, kita tahu untuk menyelesaikan masalah ini memerlukan peruntukan yang besar dan saya akan cuba meminta pihak JPS menyelesaikannya secepat mungkin.

"Kebanyakan pesawah adalah golongan mudah miskin dan miskin, kalau ia tidak diselesaikan golongan mudah miskin akan menjadi miskin dan yang miskin pula akan menjadi miskin tegar," katanya.

Seorang pesawah, Ariffin Awang Chik, 50, berkata walaupun pembinaan tali air itu bertujuan membantu sistem pengairan di situ tetapi ia telah menyebabkan tanah di kawasan tanaman padi menjadi rendah sehingga memudahkan air masin dari Sungai Golok masuk dan merosakkan tanaman padi.

"Dah beberapa musim kami tak dapat tanam padi. Kami cuba untuk terus bercucuk tanam tetapi kami rugi," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Beliau berharap pihak JPS mengambil tindakan segera dengan membina lebih banyak pintu air bagi memastikan aliran keluar masuk dapat dikawal.

Dia yang mengusahakan tujuh hektar sawah berkata, sekiranya masalah itu tidak segera diselesaikan ia akan berulang lagi pada tahun hadapan dan menyebabkan kesemua pesawah mengalami kerugian.

"Saya lihat pintu air yang dibina terlalu kecil dan dibuat ala kadar, saya faham ini melibatkan peruntukan tetapi masalah yang dihadapi penduduk di sini perlu diambil kira kerana kebanyakan kami adalah golongan yang tidak berkemampuan.

"Kami juga mahu supaya Kerajaan PAS Kelantan melihat perkara ini, kami rakyat negeri ini juga dan jangan lepas tangan kepada agensi Persekutuan sahaja. Turun ke bawah dengar masalah yang dihadapi kami," katanya.

Seorang lagi pesawah, Elut a/k Ehock, 55, berkata bahawa sebelum ini petani di kawasan itu sering terdedah kepada kerosakan padi akibat banjir tetapi kerugian dapat diatasi kerana tanaman dapat dijalankan semula sebaik banjir surut.

"Kalau setakat air banjir tidak apa, tapi ini air masin, padi tak boleh kena air masin nanti rosak teruk.

"Bukan itu sahaja, air masin akan meresap masuk ke tanah menyebabkan padi tak mahu hidup walaupun ditanam semula," katanya.

Dia mengalami kerugian hampir RM10,000 apabila sawah padinya seluas empat hektar musnah digenangi air masin.

Katanya, jumlah kerugian itu terlalu besar kerana dia bergantung sepenuhnya kepada hasil tanaman padi untuk menyara keluarga dan adalah sukar untuknya mengumpul semula wang sebanyak itu.

"Saya mempunyai tanggungan yang ramai dan bergantung harap kepada hasil tanaman padi, sudah dua musim saya tidak mendapat hasil daripada tanaman padi. Semua ini berpunca daripada tali air yang baru dibina, tujuannya baik untuk memudahkan air keluar masuk tetapi sebaliknya yang berlaku air masin terperangkap dan tidak dapat keluar sepenuhnya," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Jejulok, Ghazali Isa berkata, air masin yang memasuki kawasan sawah pada setiap kali musim banjir sukar untuk keluar disebabkan laluan yang terlalu sempit dan memakan masa hampir dua minggu untuk kering sepenuhnya.

Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah membina beberapa buah pintu air tetapi ia terlalu kecil dan tidak mampu untuk mengeluarkan kesemua air masin yang melimpahi kawasan berkenaan.

"Setiap kali musim banjir perkara ini berlaku dan yang terbaru di kawasan sawah seluas 200 hektar di Kubang Bemban di mana taliair baru jalan yang memisahkan antara taliair dengan sungai terlalu rendah sehingga menyebabkan air masin dapat memasuki kawasan sawah.

"Air masin ini menyebabkan kerosakan tanah dan tanaman akan musnah, setiap kali musim banjir memang air akan melimpahi tetapi masalahnya, air ini tidak boleh keluar dengan cepat dan ia akan terus bertakung dalam sawah, ia mengambil masa satu hingga dua minggu untuk kering sepenuhnya," katanya ditemui pemberita di Kubang Bemban semalam.

Amat jelas, pembelaan tetap menjadi tanggungjawab BN walaupun ia bukan menjadi Kerajaan Negeri dan Tumpat dikuasai PAS, kecuali satu kerusi sahaja - Pengkalan Kubor.

Msyarakat Siam seharusnya berterima kasih kepada Nor Zahidi kerana bertindak cepat dan berusaha menyelesaikan masalah mereka.

Monday, January 3, 2011

Banjir Merebak ke Tumpat Akibat Limpahan Sungai Golok

Banjir di Sungai Golok, Kelantan kini melebihi paras bahaya dan tinjauan mendapati penduduk Kampung Kedai Lama yang berdekatan mula berpindah dari situ 2 Dis. 2011. - Utusan

Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan menjangkakan daerah Tumpat bakal dilanda banjir dalam tempoh terdekat berikutan paras air di hulu Sungai Golok yang semakin surut.

Setiausahanya, Roslee Mamat berkata, limpahan air di hulu sungai tersebut telah mula turun ke kawasan muara dan akan menyebabkan kawasan rendah di Tumpat dinaiki air.

Beliau berkata, pihaknya sedang bersiap sedia untuk menghadapi keadaan tersebut tetapi menjangkakan ia tidak serius kerana berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi, taburan hujan tidak terlalu tinggi di negeri ini.

"Lazimnya air di hulu akan mula turun ke kawasan hilir dan disebabkan itu kita mula bersiap sedia untuk menghadapi banjir di Tumpat.

"Biar pun keadaan cuaca yang semakin baik, kita masih tetap berjaga-jaga selagi musim tengkujuh belum berakhir Mac ini dan berdasarkan sejarah lalu, negeri ini pernah dilanda banjir pada Januari dan Februari, malah ada juga tahun yang langsung tidak dilanda banjir. Jadi ini bukan satu fenomena yang pelik," katanya ditemui di pusat pemindahan banjir Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad di Rantau Panjang, semalam.

Beliau menjangka bencana banjir di negeri itu tidak seteruk seperti tahun sebelumnya berikutan keadaan cuaca yang diramal terus baik.

Wednesday, October 20, 2010

INSENTIF KERAJAAN UNTUK NELAYAN - NOOR ZAHIDI

Kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membuat pembayaran Elaun Sara Hidup Nelayan secara tunai berjumlah RM74,000 kepada 370 nelayan daerah Tumpat kelmarin.

Nelayan berkenaan yang bernaung di bawah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tumpat, menerimanya pada satu majlis di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat.

Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Tumpat, Datuk Noor Zahidi Omar berkata, pihak kerajaan juga melalui LKIM membantu kaum nelayan dengan membuat Bayaran Insentif Hasil Tangkapan Ikan sebanyak 10 sen bagi setiap kilogram ikan yang ditangkap.

“Kerajaan sejak dulu sentiasa memberi pelbagai jenis bantuan kepada nelayan supaya golongan ini tidak menghadapi masalah.

“Begitu juga dengan pemberian subsidi minyak diesel, sepatutnya nelayan bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana bantuan ini masih ada,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Secara Tunai di PNK Tumpat 3/2010 itu.

Hadir sama, Pengarah LKIM Negeri Kelantan, Wan Mohd Adnan Wan Ibrahim dan Pengetua MRSM Tumpat, Wan Abdul Ghani Wan Abdullah.

Seorang penerima, Razak Salleh, 65, berkata, elaun sara hidup yang diterima banyak membantu terutaman ketika musim tengkujuh atau kurang hasil tangkapan.

“Umpama kerja makan gaji, setiap bulan nelayan akan mendapat wang, dapat menanggung keluarga jika tidak dapat turun ke laut,” katanya yang menanggung sembilan anak.

Bagi Abdul Hamid Dollah, 54, elaun sebanyak RM200 sebulan ini banyak membantunya yang diserang angin ahmar.

“Sejak sakit, anak terpaksa ambil alih tugas saya turun ke laut, nasib baik elaun ini ada, sedikit sebanyak membantu menyara keluarga,” katanya.

Tuesday, July 20, 2010

PENUNTUT UNIVERSITI DARI LIMA NEGARA SERTAI PROGRAM KEMASYARAKATAN DI TUMPAT

Seramai 15 penuntut universiti dari lima buah negara akan berkampung di daerah ini selama dua minggu dari Rabu ini untuk menjayakan program kemasyarakatan anjuran bersama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan University of St. Gallen, Switzerland.

Ketua Jawatankuasa Pelaksanaan Program Social Enterprise For Economic Development (SEED), Prof Dr Farok Zakaria berkata program kemasyarakatan itu diwujudkan khusus untuk disertai penuntut universiti ASEAN dalam usaha membangunkan perusahaan desa di sesebuah perkampungan.

Katanya penuntut antarabangsa dalam program itu adalah dari University Of St. Gallen dan ETH Zurich di Switzerland, Singapore Management University, Banking University of Ho Chi Minh City, Vietnam, Prince of Songkla University, Thailand dan Universiti Brunei Darussalam.

"Seramai 35 pelajar UMK akan turut serta dalam program itu yang akan bermula pada 21 Julai ini sehingga 3 Ogos depan dan mereka akan bekerjasama membentuk dan melaksanakan pelan perniagaan bersama peserta-peserta antarabangsa bagi membangunkan aktiviti perusahaan desa di tujuh buah perkampungan di daerah Tumpat," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Dr Farok yang juga Pengarah Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah UMK, berkata tujuh buah kampung yang terlibat ialah Kampung Tujuh Tengah, Kampung Sungai Tapang, Kampung Belukar Neting, Kampung Tujuh, Kampung Tujuh Masjid, Kampung Pak Kerau Hulu dan Kampung Pak Kerau Hilir.

"Antara projek pembangunan perusahaan desa yang akan dilaksanakan dalam program SEED ini ialah penternakan kambing, tanaman kulat, tanaman lada secara berkelompok, penternakan ikan sangkar dan ikan kering serta perusahaan keropok," katanya.

Beliau berkata kumpulan fokus untuk proram berkenaan ialah 200 penduduk kampung yang terdiri daripada kalangan miskin tegar, miskin dan mudah miskin.

"Antara objektif program ini adalah menggalakkan pembangunan ekonomi di sesebuah perkampungan, menggalakkan pembangunan dan pembelajaran merentasi budaya dalam konteks kehidupan sebenar masyarakat Asia dan kerjasama serta sumbangan berterusan kepada keusahawaanan sosial," katanya.

Katanya program itu pada kali ini turut mendapat kerjasama daripada Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia.

Menurutnya, program itu bukan sahaja dapat membantu meningkatkan kemahiran insaniah generasi muda malah mereka bersama penduduk kampung dapat mencari kaedah penyelesaian yang mapan demi pembangunan ekonomi dan perubahan sosial.

Katanya program itu yang dilaksanakan di Kampung Cisondari dan Bandung, Jawa Barat di Indonesia pada tahun lalu dijangka dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang merupakan Menteri Mentor UMK pada 1 Ogos di Kampus UMK, Taman Bendahara, Pengkalan Chepa.