Showing posts with label PRU13. Show all posts
Showing posts with label PRU13. Show all posts

Monday, May 9, 2011

AWAS PAS..Kamu Akan Tercicir Kelantan Dalam PRU 13

Kickdefella (7 Mei 2011)

Muktamar PAS pertengahan tahun ini akan menyaksikan ke arah manakah para perwakilan PAS ingin membawa komitmen Parti Islam Se Malaysia bagi berhadapan dengan Pilihanraya Umum Ke 13 akan datang.

Tiga keputusan yang bakal menyusur. Pertama, mengekalkan tekad PAS memperjuangkan Islam sepenuhnya dan mempertahankan kedudukannya di kubu-kubu tradisinya di Negeri-Negeri Melayu. Kedua, melebarkan arus tsunami 2008 dengan meneruskan usaha meraih sokongan pemilih-pemilih bukan Melayu dan bertapak di kerusi-kerusi campuran di bandar. Atau ketiga, mengekalkan momentum 2008 disamping mempertahankan kedudukannya di kubu-kubu tradisinya di Negeri-Negeri Melayu.

Pilihan yang pertama dan ke tiga boleh mencalari komitmennya terhadap Pakatan Rakyat. Pilihan yang kedua pula boleh mengakibatkan keciciran sokongan terhadap PAS di kubu-kubu tradisinya di Negeri-Negeri Melayu.

Perwakilan PAS harus sedar, walaupun hari ini mereka menikmati jentera Pakatan Rakyat tetapi di dalam berhadapan dengan PRU13 kelak, mereka tidak lagi menikmati kekuatan maya seperti PRU12.

Hari ini kekuatan media dan media maya PAS kembali kendur seperti asalnya sewaktu PRU1999 dan PRU2004. Kekuatan media dan media maya PAS hanya tertumpu kepada pejuang-pejuang dan aktivis-aktivis parti yang dalam kata ringkas hanya mampu berhujah dengan cara totok, penuh kekerasan dan caci-maki menjurus kepada meraih sokongan dari pembaca yang sudah menyokong mereka.

Di Kelantan arus perubahan sudah mula menjadi gelombang. Penduduk di kawasan bandar dan pesisir bandar sudah mula jemu dengan kemelut yang mereka hadapi akibat kegagalan Kerajaan Negeri Pimpinan PAS menyelesaikan isu-isu asas seperti kemudahan air bersih dan sistem saliran yang baik dan kebersihan persekitaran. UMNO pula kembali menikmati sokongan yang meningkat di kerusi-kerusi tradisi mereka termasuk di kawasan-kawasan tanah rancangan yang terlepas dalam 2008.

Keputusan kajian peti-peti undi oleh PAS Kelantan sendiri menyaksikan satu pattern yang membimbangkan. PAS Kelantan sedar mereka berhadapan dengan kekalahan di Kelantan.

Nik Aziz yang putih bersih sudah tercemar dan menjadi orang biasa. Pengganti pilihan Nik Aziz, YB. Dato’ Husam Musa pula tidak mungkin dapat diletakkan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri kerana tidak digemari oleh pihak Istana Kelantan yang baru.

Calon popular untuk mengganti MB Kelantan itu pula, seperti YB. Dato’ Ahmad Yacob dan YB. Dato’ Mohammad Amar dirasai oleh Nik Aziz sebagai tidak memiliki kemampuan yang sewajarnya. Maka, di dalam keadaan begini, Nik Aziz tiada pilihan tetapi memilih untuk terus kekal sebagai tunggak PAS di Kelantan.

UMNO Kelantan mahu dua dari tiga pilihan yang ada pada PAS iaitu, sama ada Nik Aziz kekal sebagai tunggak PAS di Kelantan atau, sama ada Ahmad Yakob atau Nik Amar dipilih sebagai penyambung tradisi kepimpinan ulama’ di Kelantan. Salah satu daripada 2 pilihan ini, UMNO akan senyum lega.

Tetapi, jika Husam Musa yang dipilih sebagai pengganti Nik Aziz, UMNO akan merasa kelatnya. Apa tidaknya, kebanyakan pimpinan UMNO Kelantan sendiri mengakui kelebihan Husam. Penyokong-penyokong UMNO sendiri akan menyokong Husam.

Husam sendiri berusaha keras untuk memperbaiki hubungannya dengan Istana Kelantan bagaimanapun, pihaknya mendakwa penasihat kepada Al-Sultan Kelantan sebagai penghalangnya.

Kedudukan semasa di Kelantan menyaksikan UMNO berada di dalam kedudukan selesa untuk memenangi 16 buah kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan. Ia di tambah dengan 5 kerusi yang dimenanginya pada 2004 tetapi tewas pada 2008 serta 3 kerusi yang mereka tewas kurang daripada 5% undi dalam tsunami 2008. Keseluruhannya, UMNO dilihat berpotensi memenangi minimum 24 daripada 45 kerusi DUN Kelantan. Kerusi-kerusi tersebut adalah seperti berikut:

A) Kumpulan pertama
1. N01 Pengkalan Kubor
2. N04 Wakaf Bharu
3. N15 Gual Periok
4. N16 Bukit Tuku
5. N22 Jelawat
6. N25 Kok Lanas
7. N29 Selising
8. N31 Semerak
9. N36 Bukit Bunga
10. N37 Air Lanas
11. N38 Kuala Balah
12. N40 Guchil
13. N42 Dabong
14. N43 Nenggiri
15. N44 Paloh
16. N 45 Galas

B) Kumpunan kedua
1. N11 Tendong
2. N23 Melor
3. N27 Gual Ipoh
4. N39 Mengkebang
5. N41 Manek Urai

C) Kumpulan ketiga
1. N21 Perupok
2. N34 Temangan
3. N35 Kemuning

Sementara itu, jika arus pemilih Melayu yang dilihat mula kembali kepada UMNO di dalam beberapa siri pilihanraya kecil semenjak YAB Dato’ Seri Najib Razak menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia, PAS turut berkemungkinan besar akan tercicir kerusi-kerusi berikut.

D) Kumpulan keempat
1. N11 Chetok
2. N12 Pengkalan Pasir
3. N20 Tawang
4. N24 Kadok
5. N30 Limbongan
6. N32 Gaal
7. N33 Pulai Chondong

Kewibaan UMNO Kelantan di bawah pimpinan Dato’ Sri Mustapa Mohamed juga dapat diukur dengan kemampuan ia mengembeling jenteranya menyakinkan pemilih bahawa Kelantan dibawahnya akan mampu memperbaiki kualiti hidup masyarakat. Jika pemilih yakin dengannya, kerusi-kerusi berikut juga boleh terus tercicir dari genggaman rapi PAS di Kelantan.

E) Kumpulan kelima
1. N02 Kelaboran
2. N05 Kijang
3. N08 Tanjong Mas
4. N09 Kota Lama
5. N10 Bunut Payong
6. N17 Salor
7. N19 Demit

Ada eloknya, perwakilan ke Muktamar PAS sempat bertenang seketika dan menghayati kedudukan semasa dari perspektif yang lebih terbuka sebelum mereka membuang undi untuk menentukan arah tuju parti. Namun begitu, saya suka memetik kata-kata seorang sahabat baik dan bekas ADUN PAS Kelantan, kepada saya di dalam pertemuan baru-baru ini.

“Alo Pok Sheih, tak dok nak rusingnya kalau PAS kalah di Kelantan. Bukan kita tak biasa kalah. Bahkan ana masih yakin, PAS dan pimpinan kita lebih kuat dan lebih banyak benda yang kita buat semasa zaman kita kalah banding dengan zaman kita ada kuasa. PAS ni parti Islam, matlamat kita untuk perjuangkan Islam. Biar kalah asal kita jangan ubah matlamat kita….”

Saya hanya mampu tersenyum kagum dengan semangat tersebut.

Tuesday, August 3, 2010

PRU 13 AMAT GETIR BAGI BN

Ini amaran Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin secara menyeluruh.

Rasanya kelantan lebih perit lagi.

Timbalan Perdana Menteri berkata situasi hari ini adalah berbeza dari segi mengurus parti dan kerajaan kerana rakyat kini banyak membuat penilaian serta pertanyaan terhadap dasar-dasar dan tindakan yang dibuat kerajaan.

Menurutnya, jika transformasi besar yang diharapkan rakyat mampu dilaksanakan dengan jayanya, maka BN dapat mempertahankan sokongan rakyat di masa akan datang.

Muhyiddin berkata senario politik masa kini serta perubahan dalam lanskap politik negara sejak pilihan raya umum Mac 2008 menuntut kepimpinan Barisan Nasional (BN) daripada semua peringkat untuk melakukan suatu perubahan yang ketara serta proses transformasi yang boleh diterima rakyat.

Jika ini gagal dilakukan oleh kepimpinan BN, maka parti itu akan menghadapi masalah menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Kalau itu tidak kita lakukan dalam tempoh yang agak segera...maka pasti bila menjelang pilihan raya akan datang kita akan menghadapi masalah agak besar (yang boleh) mencabar keutuhan kuasa politik," katanya pada majlis makan malam anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Kebangsaan (Mubarak) Malaysia malam Sabtu lalu.

Majlis makan malam ini yang turut dihadiri oleh isteri Muhyiddin, Puan Sri Norainee Abdul Rahman diadakan sempena Perhimpunan Agung Mubarak ke-7.

Muhyiddin berkata cabaran politik hari ini yang merupakan rentetan daripada tsunami politik yang melanda pilihan raya umum lepas adalah amat besar, lebih-lebih lagi dengan pendedahan terhadap maklumat-maklmat terkini di dalam mahupun di luar negara, terutamanya di kalangan anak-anak muda.

Katanya, dengan mindset baru di kalangan anak-anak muda ini, maka wujud tuntutan yang memerlukan urusan dan pentadbiran kerajaan serta hal ehwal parti dilakukan dengan lebih efektif dan telus.

Lantaran itu, Mubarak sebagai badan bukan kerajaan (NGO) boleh memainkan peranan dalam membantu BN menghadapi cabaran masa kini, katanya.

Beliau mengajak kepimpinan Mubarak dari semua peringkat berganding bahu dengan kerajaan dalam membantu menjelaskan pelbagai gagasan, dasar serta pendekatan yang sedang dilakukan kerajaan untuk disampaikan kepada masyarakat umum.

Muhyiddin berkata walaupun anggota-anggota Mubarak tidak memegang jawatan pada masa ini, tetapi pengalaman mereka sebagai bekas wakil rakyat amat berguna dalam usaha memajukan negara.

"Pengalaman lama mereka masih boleh dimanfaatkan dalam situasi hari ini yang amat mencabar," kata beliau.

Thursday, October 29, 2009

MOOD MENJELANG PRU13 BERPIHAK KEPADA BN?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

AIDILFITRI yang disambut selama sebulan di Malaysia sudahpun berlalu. Diharap ikatan silaturrahim sesama kita semakin tulus dan permohonan maaf yang mudah terucap dari bibir ke bibir menjernihkan lagi perhubungan.

Semoga cabaran kehidupan mampu ditempuh sebaiknya, berbekalkan latihan intensif di bulan Ramadan yang masih terasa syahdunya itu, insya-Allah.

Pengajaran pilihan raya kecil Bagan Pinang dan iktibar 'kekalahan besar' masih diperkatakan. Begitu juga dengan impak perhimpunan UMNO dan pergolakan politik semasa, termasuk kemungkinan sidang Dun Perak dibubarkan.

Bedah-siasat kegagalan di Bagan Pinang secara terperinci pastinya berjalan lancar, asalkan tiada tuding-menuding dan niat mahu meletakkan kesalahan ke bahu pihak lain. Sikap berlapang dada menerima kritikan, teguran hatta kecaman di waktu kalah memang tidak mudah, namun ia amat dituntut.

Bersedia bermuhasabah dan mengkoreksi diri harus disusuli keberanian melakukan perubahan. Bukan pula bermakna Bagan Pinang bakal merombak segalanya, tetapi sementara masih ada peluang dan ruang, di kala pilihan raya umum agak jauh tempohnya lagi, renungilah kelemahan dan kealpaan, seterusnya bingkas mencari formula penyelesaian yang disepakati bersama.

Ketika Abdullah Ahmad Badawi menggantikan Dr Mahathir Mohamad, ramai yang meremehkannya. Abdullah dilihat tidak mempunyai personaliti sekuat Mahathir, mudah dipengaruhi, tidak tegas membuat keputusan, sukar melakukan perubahan, daya tumpuan dan imiginasinya terbatas, dan panjang lagi senarai kelemahannya. Pelbagai slogan yang diciptanya gagal untuk dimaknakan.

Perangi rasuah

Beberapa tindakan awalnya, seperti usaha memerangi rasuah, dengan menyeret tokoh-tokoh ternama, termasuk menteri dan ahli korporat terkemuka ke mahkamah, juga diperkecilkan.

Gerakan pembangkang ketika itu masih tidak berubah temponya bila berdepan Abdullah, berbanding era Mahathir dulu, gaya serangan hampir sama. Tiba pilihan raya 2004, BN mencatat kemenangan paling bersejarah. Kelantan yang dilihat kebal hampir tumbang.

Terengganu, yang baru sepenggal dikuasai PAS, luruh mudah.

Memang regim Abdullah hanya bermain retorik, intinya tetap sama, membusuk dan menanah denganrasuah, egois, rakus, pilih kasih dan lupa diri. Namun, masyarakat amat dahagakan pembaharuandan perubahan imej dari 'zaman gelap' Mahathir. Dengan penuh bergaya, Abdullah mengisi kekosongan itu, sedangkan prestasi kerja beliau dalam kabinet Mahathir tidaklah sehebat mana.

Apakah pandangan rakyat Malaysia begitu mudah dikelirukan atau Abdullah terlalu cekap mengatur langkah - dengan bantuan tukang-tukang spinnya - menambat hati rakyat?

Bibit-bibit reformasi 1999 bagaikan dicantas. UMNO-BN sendirimungkin terkejut, bagaimana dalam masa singkat, pengundi kembali semula kepadanya, sedangkan perubahan hanya kosmetik tipis. Tapi, bukankah politik itu dikuasai persepsi?

Sering saya ulangi, tsunami Mac 2008 cukup mengejutkan semua pihak, hampir tiada siapa menjangkakan hal itu. Pemimpin komponen BN di Semenanjung, terutama MIC, MCA dan Gerakan yang menimpa bencana, kehilangan punca.

Saya masih ingat keluhan seorang Adun UMNO Selangor, yang cukup rapat dengan Dr Mohd Khir Toyo: "Lutfi, kau buatlah kajian mengapa pengundi India dan Cina tidak lagi sokong BN.

Rasanya,macam di kawasan aku, masyarakat Cina langsung tidak menunjukkan protes, bila aku jamu makan semasa kempen, semua berduyun-duyun datang. Tapi bila tong undi dibuka, hampir lapan darisepuluh pengundi tidak memangkah BN sedangkan calon PAS tidak datang pun berkempen. Ajaib ni!"
Bimbang dengan rentak sokongan

Kini, apabila saya bimbang dengan rentak sokongan pengundi bukan Melayu - yang mungkin terikat dengan teori pendulum - bukanlah bermakna saya menjadikan kes Bagan Pinang sebagai satu-satunya rujukan. Bagan Pinang boleh saja dikatakan kes terasing, tapi saya lebih sukakita menggali iktibar untuk merencanakan gerak kerja lebih tersusun.

Kebimbangan saya lebih mendalam apabila ada pihak mendakwa kehadiran masyarakat bukan Melayu pada majlis rumah terbuka agak merosot berbanding tahun-tahun lalu, termasuk tahun sebelum pilihan raya umum 2008. Mungkin ia juga kes terasing, tetapi rasanya tidak salah untuk kita turut risau dan cuba menjejaki masalah sebenar, 'kan? (Saya tidak mahu kita mengambil mudah dengan petanda kecil di hadapan kita).

Apabila Najib Razak menjanjikan perubahan dalam UMNO, saya lebih suka untuk tidak memandang enteng. Ya, Najib juga seperti Abdullah, segalanya untuk menarik sokongan dan gimik, tetapi bukankah itu satu permainan politik yang lazim?

Majoriti rakyat mungkin melihatnya dari kacamata berbeza, dan mereka dengan mudah dapat dipengaruhi dengan imej-imej palsu itu. Jika faktor populariti Isa Samad berjaya di Bagan Pinang, tidak mustahil sosok Najib mampu meleraikan sokongan buat Pakatan.

Apatah lagi dalam pilihan raya umum ke-13 nanti, rakyat akan menghakimi dari dekat prestasi Pakatan, cerewet tentang calon-calon yang ditampilkannya, mengungkit janji manfesto yang mungkin belum dapat dilunasi, dan tidak puas hati dengan persefahaman sesama parti.

Saya pernah ditegur kerana membayangkan keputusan muram buat pembangkang pada 2004, lalu saya bersedia untuk dimarahi jika terpaksa menzahirkan rasa bimbang bahawa pusingan berikutnya (PRU13) mungkin memihak BN pula.

Cuma kerisauan ini dicetuskan lebih awal agar persiapan dapat dilipatgandakan. Tanggungjawab besar dipikul oleh kerajaan-kerajaan negeri Pakatan dan pemimpin utama pusat yang menjadi simbol dan lambang keupayaan kita untuk menerajui kerajaan persekutuan, bagi memungkinkan terlaksananya satu perubahan mendasar yang diimpikan semua.

Tanpa mengambil alih kerajaan pusat, sekatan dan halangan terhadap kerajaan negeri Pakatan akan terus bertindan-tindih.