Showing posts with label fatwa. Show all posts
Showing posts with label fatwa. Show all posts

Monday, September 12, 2011

Fatwa Nik Aziz Semakin Jelak & Mengelirukan...

"Kita berjuang untuk agama bangsa dan negara. Jangan jadi angkuh kerana ingat kita seorang saja yang berjuang untuk Islam. Kita kena terima hakikat bahawa setiap orang menyumbang kepada Islam dan negara melalui cara masing-masing. Cuma, tidak semua perjuangan itu ada sama kaedahnya..." - Mustapa Mohamed

Kalau ia pun ‘berfatwa ala PAS’, biarlah berpada-pada.

Nanti bukan orang Islam yang rasa pelik dan jelak tetapi orang bukan Islam turut tergelak.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Jumaat lalu menyifatkan usaha UMNO Kelantan untuk menawan negeri ini daripada PAS tidak akan mendapat balasan yang baik di akhirat.

Sebabnya? Kata Nik Aziz, ini kerana ia tidak selari dengan kehendak Islam.

Nik Aziz yang nampak bimbang dengan perkembangan UMNO di Kelantan berkata UMNO boleh meletakkan apa sahaja sasaran kerusi untuk dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tetapi usaha mereka itu tidak berfaedah di mata agama.

Malah beliau yang juga Mursyidul Am PAS secara sinis berkata, jika UMNO yakin boleh menang 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mendapat kerusi majoriti di Kelantan, maka PAS pula akan menang 60 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan bersama pakatan pembangkang di peringkat pusat.

“Kita hendak menang Parlimen 60 kerusi, (segala usaha) langsung tidak ada faedah untuk akhirat melainkan dengan Islam, UMNO kena faham duduk atas dunia ini bukan manusia buat, tapi Allah Taala buat.

“Allah Taala menetapkan bahawa hujung dunia ini ada pembalasan di akhirat, syurga dan neraka, yang kena dengan kehendak al-Quran dapat syurga, yang tidak kena neraka, orang Arab pun kalau tidak kena dengan al-Quran akan masuk neraka, inikan pula orang Melayu,” kata Nik Aziz.

Berikutan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam mengingatkan PAS jangan mudah memperkecilkan sumbangan UMNO terhadap agama, bangsa dan negara sejak 54 tahun negara merdeka.

Beliau berkata, banyak perubahan sudah dialami negara hasil sumbangan UMNO bersama Barisan Nasional (BN) dalam memartabatkan Islam serta rakyatnya di mata dunia.

UMNO ingin memenangi Kelantan demi menguruskan negeri itu ke arah yang lebih baik dan menyerahkan kepada rakyat Kelantan yang menilai prestasi UMNO dan menentukannya dalam pilihan raya umum nanti.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menasihati Nik Aziz agar tidak mudah menjadi angkuh dengan memperlekehkan sumbangan dan perjuangan UMNO terhadap Islam.

"Kita berjuang untuk agama bangsa dan negara. Jangan jadi angkuh kerana ingat kita seorang saja yang berjuang untuk Islam. Kita kena terima hakikat bahawa setiap orang menyumbang kepada Islam dan negara melalui cara masing-masing. Cuma, tidak semua perjuangan itu ada sama kaedahnya," katanya di Kota Bharu, semalam.

Adalah lebih wajar PAS melihat sumbangan UMNO daripada aspek memartabatkan Islam melalui pembangunan dan kemajuan pengetahuan rakyat di negara ini.

"Kalau dulu sebelum merdeka orang Melayu terkenal dengan sifat malunya. Tetapi setelah 54 tahun merdeka, Melayu sudah berubah dengan membawa pelbagai perubahan dan kemajuan. Semua ini terima kasih atas sumbangan pemimpin Umno terdahulu dalam menubuhkan pelbagai dasar seperti Dasar Ekonomi Baru, Majlis Amanah Rakyat serta universiti untuk kemajuan rakyat khususnya umat Islam," katanya.

Kelmarin, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa secara sinis mempersoal sejak bila Nik Aziz 'menerima wahyu' sehingga Mursyidul Am PAS itu boleh mengeluarkan 'fatwa' bahawa usaha UMNO untuk menawan Kelantan tidak akan mendapat balasan baik di akhirat kelak.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, jika benar Nik Aziz dimuliakan sehingga melayakkan beliau menjadi orang Melayu pertama 'menerima wahyu' daripada Allah, Mursyidul Am PAS itu perlu menjelaskan kepada seluruh rakyat negara ini nama malaikat yang ditugas untuk menjalankan amanah tersebut.

“Pada Nik Abdul Aziz, semua yang berkait dengan UMNO berdosa. Apa yang tidak berdosa pada pemikiran beliau hanya bersubahat dengan DAP walaupun akhirnya yang menjadi mangsa adalah orang Melayu beragama Islam," katanya.

Ibrahim tidak sedikit pun setuju dan percaya dengan 'fatwa' karut Mursyidul Am PAS itu kerana yakin jika UMNO berjaya menawan kembali Kelantan yang sudah diperintah selama 21 tahun oleh PAS, rakyat negeri itu akan menikmati kehidupan lebih senang.

JIka Barisan Nasional menang, rakyat Kelantan tidak lagi akan dibelenggu dengan masalah air iaitu salah satu keperluan asas yang tidak mampu disediakan oleh Kerajaan PAS Kelantan walaupun sudah lebih dua dekad memerintah kerana pemimpinnya lebih sibuk berceramah berbanding memikirkan cara menyelesaikan masalah rakyat.

Bagi Ibrahim, pemimpin PAS Kelantan yang diketuai Nik Abdul Aziz langsung tiada inovasi dalam pentadbiran meskipun untuk menyelesai masalah yang paling asas.

Air bersih adalah keperluan asas, tapi apa yang PAS buat selePAS 21 tahun?

Mereka hanya pandai menuduh dan memburukkan orang lain dalam ceramah sahaja!

Tuesday, May 26, 2009

MOGOK LAPAR BERTENTANGAN DENGAN ISLAM

Sumber: Utusan Malaysia

Umat Islam dinasihatkan supaya menjauhi kempen mogok lapar kerana ia tidak wujud dalam Islam dan bertentangan dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, syariah dan akhlak Islamiah.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut berkata, mogok lapar bercanggah dengan al- Quran, sunnah, ijmak ulama, qias dan sumber perundangan Islam yang lain.
Jelasnya, sebarang perkara yang boleh membawa kemudaratan kepada nyawa, akal, minda, harta dan keluarga adalah haram di sisi Islam.

"Andai kata seseorang yang mogok lapar itu meninggal dunia, maka ia seolah-olah membunuh diri sendiri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rancangan pakatan pembangkang untuk mengadakan mogok lapar selama tiga hari bermula esok selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Noh Gadut yang juga bekas Mufti Johor berkata, mogok lapar ditunjangi oleh kehendak perasaan dan hawa nafsu serta sama sekali bertentangan dengan konsep kemanusiaan dalam Islam.

Tambahnya, orang yang mogok lapar sama seperti golongan yang berputus asa dalam perjuangannya sedangkan Islam melarang umatnya berbuat demikian.

"Mogok lapar berbeza dengan puasa. Dalam Islam, puasa bertujuan menahan diri hanya untuk mendekatkan diri kepada Allah dan ini termasuk puasa wajib, sunat dan nazar,'' katanya.
Beliau juga menasihatkan orang Islam di negara ini supaya bertenang dan percaya kepada qada dan qadar Allah kerana setiap perkara yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

"Percaya kepada qada dan qadar merupakan salah satu daripada Rukun Iman. Dalam Rukun Iman, sekiranya kita menolak salah satu daripadanya, maka terbatallah kesemuanya.

"Dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud janganlah kamu mencampakkan diri dalam kebinasaan. Maka sesungguhnya seseorang itu tidak boleh melakukan perkara tersebut kepada dirinya dan juga orang lain kerana ia boleh menjejaskan kesihatan,'' ujar beliau.

Sebelum ini Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria membidas rancangan pakatan pembangkang untuk mengadakan kempen mogok lapar selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Ketika ditanya hukum perbuatan mogok lapar dalam Islam, Harussani berkata: ''Dia punya pasal lah, tidak ada kena mengena dengan hukum Islam tetapi kalau keputusan mahkamah begitu, haramlah hukumnya,".

Zambry pula semasa diminta mengulas rancangan pembangkang itu berkata, biarlah rakyat menilai sendiri sikap mereka.

Kelamrin, dua mufti menyifatkan mogok lapar sebagai haram dan menyerupai amalan agama lain!

Mufti Perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya menegaskan, umat Islam diharamkan sama sekali melakukan mogok lapar kerana perbuatan itu menyerupai amalan dalam agama Buddha dan Hindu.

Kata beliau, jika seseorang penganut Islam itu meninggal dunia ketika sedang melakukan mogok lapar, dia dikhuatiri mati dalam keadaan tidak beriman.

"Justeru saya ingatkan para penganut Islam, jangan membudayakan mogok lapar kerana ia jelas berbeza dengan amalan puasa yakni ibadat yang dituntut," tegasnya.

Kata Juanda, selain amalan mogok lapar beliau juga khuatir dengan aktiviti berhimpun sambil menyalakan dan mengarak lilin yang berleluasa di negara ini.

"Jika ia dilakukan oleh orang Kristian tidak mengapa kerana memang ada amalan sebegitu dalam agama mereka.

"Tetapi suka diingatkan, orang Islam dilarang meniru amalan agama lain yang memudaratkan diri, menimbulkan fitnah kepada pihak lain dan melanggar undang-undang.

Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsudin menegaskan, umat Islam diharamkan menyertai mogok lapar itu dan pihak berkuasa pula perlu menghalangnya daripada berlangsung kerana ia boleh menimbulkan fitnah besar kepada negara.

Katanya, jika sesuatu mogok lapar berjaya dilangsungkan, ia mungkin menjadi permulaan kepada fitnah-fitnah lain pada masa akan datang.

"Orang Islam sama sekali diharamkan terlibat dalam mogok ini walaupun bertujuan memberi sokongan. Ini kerana umat Islam wajib menjaga nyawa sendiri.

"Jika tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara, ia harus diselesaikan melalui rundingan atau perundangan," katanya.

Kita mahu dengar juga apa kata Dewan Ulama PAS mengenai perkara ini. Halal atau haram? Atau dibolehkan?