Showing posts with label haram. Show all posts
Showing posts with label haram. Show all posts

Tuesday, May 26, 2009

MOGOK LAPAR BERTENTANGAN DENGAN ISLAM

Sumber: Utusan Malaysia

Umat Islam dinasihatkan supaya menjauhi kempen mogok lapar kerana ia tidak wujud dalam Islam dan bertentangan dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, syariah dan akhlak Islamiah.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut berkata, mogok lapar bercanggah dengan al- Quran, sunnah, ijmak ulama, qias dan sumber perundangan Islam yang lain.
Jelasnya, sebarang perkara yang boleh membawa kemudaratan kepada nyawa, akal, minda, harta dan keluarga adalah haram di sisi Islam.

"Andai kata seseorang yang mogok lapar itu meninggal dunia, maka ia seolah-olah membunuh diri sendiri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rancangan pakatan pembangkang untuk mengadakan mogok lapar selama tiga hari bermula esok selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Noh Gadut yang juga bekas Mufti Johor berkata, mogok lapar ditunjangi oleh kehendak perasaan dan hawa nafsu serta sama sekali bertentangan dengan konsep kemanusiaan dalam Islam.

Tambahnya, orang yang mogok lapar sama seperti golongan yang berputus asa dalam perjuangannya sedangkan Islam melarang umatnya berbuat demikian.

"Mogok lapar berbeza dengan puasa. Dalam Islam, puasa bertujuan menahan diri hanya untuk mendekatkan diri kepada Allah dan ini termasuk puasa wajib, sunat dan nazar,'' katanya.
Beliau juga menasihatkan orang Islam di negara ini supaya bertenang dan percaya kepada qada dan qadar Allah kerana setiap perkara yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

"Percaya kepada qada dan qadar merupakan salah satu daripada Rukun Iman. Dalam Rukun Iman, sekiranya kita menolak salah satu daripadanya, maka terbatallah kesemuanya.

"Dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud janganlah kamu mencampakkan diri dalam kebinasaan. Maka sesungguhnya seseorang itu tidak boleh melakukan perkara tersebut kepada dirinya dan juga orang lain kerana ia boleh menjejaskan kesihatan,'' ujar beliau.

Sebelum ini Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria membidas rancangan pakatan pembangkang untuk mengadakan kempen mogok lapar selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Ketika ditanya hukum perbuatan mogok lapar dalam Islam, Harussani berkata: ''Dia punya pasal lah, tidak ada kena mengena dengan hukum Islam tetapi kalau keputusan mahkamah begitu, haramlah hukumnya,".

Zambry pula semasa diminta mengulas rancangan pembangkang itu berkata, biarlah rakyat menilai sendiri sikap mereka.

Kelamrin, dua mufti menyifatkan mogok lapar sebagai haram dan menyerupai amalan agama lain!

Mufti Perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya menegaskan, umat Islam diharamkan sama sekali melakukan mogok lapar kerana perbuatan itu menyerupai amalan dalam agama Buddha dan Hindu.

Kata beliau, jika seseorang penganut Islam itu meninggal dunia ketika sedang melakukan mogok lapar, dia dikhuatiri mati dalam keadaan tidak beriman.

"Justeru saya ingatkan para penganut Islam, jangan membudayakan mogok lapar kerana ia jelas berbeza dengan amalan puasa yakni ibadat yang dituntut," tegasnya.

Kata Juanda, selain amalan mogok lapar beliau juga khuatir dengan aktiviti berhimpun sambil menyalakan dan mengarak lilin yang berleluasa di negara ini.

"Jika ia dilakukan oleh orang Kristian tidak mengapa kerana memang ada amalan sebegitu dalam agama mereka.

"Tetapi suka diingatkan, orang Islam dilarang meniru amalan agama lain yang memudaratkan diri, menimbulkan fitnah kepada pihak lain dan melanggar undang-undang.

Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsudin menegaskan, umat Islam diharamkan menyertai mogok lapar itu dan pihak berkuasa pula perlu menghalangnya daripada berlangsung kerana ia boleh menimbulkan fitnah besar kepada negara.

Katanya, jika sesuatu mogok lapar berjaya dilangsungkan, ia mungkin menjadi permulaan kepada fitnah-fitnah lain pada masa akan datang.

"Orang Islam sama sekali diharamkan terlibat dalam mogok ini walaupun bertujuan memberi sokongan. Ini kerana umat Islam wajib menjaga nyawa sendiri.

"Jika tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara, ia harus diselesaikan melalui rundingan atau perundangan," katanya.

Kita mahu dengar juga apa kata Dewan Ulama PAS mengenai perkara ini. Halal atau haram? Atau dibolehkan?

Monday, May 25, 2009

INILAH TIMBALAN MENTERI BOLEH!

Kijang pening dengan orang politik sekarang. Lebih-lebih lagi kalau dia orang kerjaan Barisan Nasional (BN). Semuanya BOLEH!

Mudahnya memberikan alasan.
Dah polis katakan jangan pergi, janganlah pergi. Lagipun perhimpunan itu tiada permit polis.
Bagaimana kita mahu rakyat hormati arahan atau nasihat polis kalau seseorang yang berjawatan Timbalan Menteri kerajaan mengabai atau tidak mengendahkannya?

Walau atas apa kapasiti sekali pun, patuhilah arahan polis, apa lagi kita seorang Timbalan Menteri.

Apa kata Datuk Seri Hishamuddin Hussein, sebagai Menteri Dalam Negeri mengenai perkara ini. Jangan double standard beb!
Semalam Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan mempertahankan tindakannya hadir pada perhimpunan di Kuil Sri Subramaniar, Gombak, dekat sini hari ini, adalah kerana dijemput oleh World Tamil Relief (WTR).

Jika Timbalan Menteri boleh menghadiri perhimpunan tanpa permit polis, apa kita mahu katakana jika rakyat biasa turut melakukan perkara serupa pada perhimpunan lain yang hampir serupa?
Pada perhimpunan semalam, kira-kira 1,000 penyokong kumpulan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) berhimpun di kuil berkenaan.

Beliau memenuhi jemputan itu disebabkan rasa prihatin terhadap nasib masyarakat berketurunan Tamil di Sri Lanka.

Saravanan berkata, pada perhimpunan tersebut, beliau yang turut menyampaikan ceramah telah menyeru masyarakat di dunia supaya mendesak kerajaan Sri Lanka agar menghentikan kekejaman terhadap masyarakat berketurunan Tamil.

Perhimpunan itu sekali gus melanggar amaran polis yang dikeluarkan semalam supaya semua pihak tidak menyertai perhimpunan berkenaan kerana tidak mendapat permit.

Selain M. Saravanan, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam dan Ahli Parlimen Teluk Intan, M. Manogaran turut hadir.

Ahli Parlimen pun boleh langgar arahan polis? Tidak hairanlah kalau sebelum ini ramai pemimpin pembangkang melanggar arahan polis kerana mereka boleh melakukan apa sahaja.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berikutan kedegilan pihak penganjur meneruskan perhimpunan tersebut, pihaknya telah membuat laporan polis terhadap WTR mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967.

"Jika didapati bersalah, penganjur boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 141 kerana mengadakan perhimpunan haram dan 143 Kanun Keseksaan sebagai ahli perhimpunan haram.
"Pihak polis akan meneliti rakaman video yang diambil sepanjang ceramah diadakan itu dan akan melihat perkara itu dari sudut perundangan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kelmarin, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan haram bagi menyokong kumpulan pemberontak LTTE itu.

Ini kerana perhimpunan itu tidak mendapat permit polis dan mana-mana individu yang menyertainya dianggap peserta perhimpunan haram dan boleh dikenakan tindakan.

Abdul Rahim memberitahu, antara isi kandungan ceramah yang disampaikan pemimpin terbabit ialah mengutuk dasar kerajaan Sri Lanka berhubung pembunuhan beramai-ramai ke atas orang awam dan penyokong LTTE.

Beliau berkata, mengikut peruntukan Seksyen 27 Akta Polis 1967, sebarang perhimpunan yang diadakan tanpa permit polis adalah menyalahi undang-undang.

Oleh itu katanya, tindakan akan diambil mengikut Seksyen 141 kerana mengadakan perhimpunan haram dan 143 Kanun Keseksaan sebagai ahli perhimpunan haram.

Pada 20 Mei lalu, kira-kira 100 penyokong LTTE berhimpun di hadapan bangunan OSK Investment di Kuala Lumpur, bagi membantah tindakan kerajaan China yang didakwa membantu Sri Lanka dalam serangan ke atas kumpulan itu.