Wednesday, July 14, 2010

ANNUAR TANDING TIMBALAN PRESIDEN FAM?

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dijangka mencalonkan tiga pemimpinnya untuk merebut jawatan pada pemilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 31 Julai ini.


Mereka ialah Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, yang dijangka bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden; Naib Presiden Rosmadi Ismail sebagai Ahli Majlis FAM, manakala Datuk Affandi Hamzah yang juga Naib Presiden Kafa, mempertahankan jawatan sebagai Naib Presiden FAM.


Ketiga-tiga mereka dikatakan telah bersedia untuk bertanding jawatan tersebut, termasuk Affandi bagi mempertahankan jawatan yang disandangnya untuk penggal kedua.

Pencalonan itu dibuat atas keyakinan banyak pihak terhadap kredibiliti Annuar untuk membantu Sultan Ahmad Shah membawa bola sepak negara pada kedudukan yang lebih baik.

Menurut sumber dalaman Kafa, ketiga-tiga mereka mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang dalam membangunkan bola sepak di Kelantan, selepas sekian lama negeri itu terperosok dalam saingan liga bola sepak tempatan.

“Kami yakin terhadap kepimpinan Annuar dengan dibantu Rosmadi kerana mereka telah membuktikannya dengan membawa kejayaan demi kejayaan kepada pasukan Kelantan.

‘‘Malah, The Red Warriors (TRW) kini menjadi fenomena di Kelantan, rata-rata rakyat negeri ini bercakap tentang pasukan ini.

“Annuar berjaya memberi suntikan baru kepada bola sepak negeri ini dan menjadikan sukan ini sebagai satu industri yang kian berkembang dengan mewujudkan barangan cenderahati rasmi serta kafe atas jenama TRW,” kata sumber tersebut kepada Utusan Malaysia, semalam.


Kelantan menunjukkan prestasi yang amat mengagumkan pada saingan Liga Super dan Piala Malaysia, sejak dua musim lalu.

Pemilihan kepimpinan tertinggi FAM untuk penggal 2010/2014 menarik perhatian banyak pihak apabila Timbalan Presiden, Khairy Jamaluddin dilaporkan tidak akan mempertahankan jawatan tersebut.

Annuar sebelum ini dilaporkan berkata, beliau masih memikirkan sama ada untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden FAM.

Beliau juga tidak mahu membuat sebarang kenyataan awal berhubung pendiriannya, dikhuatiri boleh menimbulkan andaian atau kontroversi.

Selain beliau, lima nama lain disebut-sebut untuk mengisi jawatan itu termasuk seorang lagi penyandang jawatan Timbalan Presiden, Datuk Redzuan Tan Sri Sheikh Ahmad; bekas penyandang jawatan itu, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim; Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Mokhtar Ahmad.

Bagaimanapun, semalam Shahidan mengumumkan untuk menarik diri daripada bertanding manakala Tengku Abdullah menyatakan kesediaan untuk kembali ke dalam kepimpinan tertinggi bola sepak negara.
Bagi jawatan Naib Presiden pula, sebanyak 12 pencalonan diterima dan ini bakal menyaksikan perebutan paling sengit untuk jawatan tersebut.

Menurut sumber itu lagi, dalam tempoh tiga tahun, pasukan Kelantan di bawah pimpinan Annuar bersama barisan ahli majlis yang lain telah mencipta kejayaan memberangsangkan apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia dan Piala FA.

“Kesemua ini dilakukan dalam masa yang singkat tanpa bantuan kerajaan negeri dan kemudahan prasarana yang baik seperti negeri-negeri lain.

‘‘Malah, pengurusan Kafa berada dalam keadaan terbaik pada masa kini. Kini TRW berada pada kedudukan kedua Liga Super dan yakin mampu untuk mencabar kedudukan Selangor sebagai pendahulu,” katanya.

PERPADUAN PAS-UMNO II: ISLAM & ASOBIYAH?

Oleh Zaini Hassan (Utusan Malaysia)

SETELAH sekian lama gagasan perpaduan Pas-UMNO tersenyap, gara-gara kumpulan properpaduan dalam Pas dilanyak oleh kumpulan Mursyidul Am mereka, coretan Cuit minggu lalu, Demi ummah: Pas-UMNO perlu disatukan, membuka kembali perbahasan mengenainya.

Cuma kali ini, kita tidak mahu hanya melihat ia menjadi satu lagi perbahasan. Kita mahu melihat ia menjadi satu realiti. Orang Melayu perlu disatukan kembali. Dua pertubuhan terbesar Melayu yang terpisah sekian lama – melepasi 40 tahun lamanya perlu disatukan.

Ikut sejarah, Pas dan UMNO disatukan dalam penubuhan Barisan Nasional (BN) pada 1 Januari 1973 oleh Pesuruhjaya Pas ketika itu, Datuk Asri Muda dan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak.

Gagasan itu wujud kerana kedua-dua pemimpin itu bersifat a servant leadership yang bertunjangkan suara hati akar umbi, selain tokoh ideolog, pengamal ideologi dan dokma yang fleksibel, bertolak ansur, berfikiran secara jelas dan jauh sekali daripada bersifat jumud dan totok.

Bayangkan jika dalam tempoh pemisahan 40 tahun itu (1978-2010), kekuatan bangsa dapat disatukan, kita mungkin akan menjadi berlainan pada hari ini. Adakah apa yang saya bercakap mengenai soal ini sekarang bersifat assabiyah atau ke-bangsa-an? Ia amat dibenci oleh Nik Aziz yang menolak sama sekali assabiyah yang dikatakan bertentangan dengan Islam.
Kata Nik Aziz, Pas itu Islam dan UMNO itu assabiyah. Kedua-dua tidak boleh disatukan. Nik Aziz berkata, maka itu Pas sahajalah yang Islam.

Namun, hasil tulisan Cuit minggu lalu telah menyebabkan satu demi satu pihak muncul ke hadapan untuk berkongsi gagasan tersebut. Mereka menyifatkannya sebagai gagasan yang murni demi agama, bangsa dan negara.

Hanya orang yang jumud pemikirannya dan berkepentingan sahaja yang akan mengatakan tidak perlu gagasan itu diadakan. Namun, kajian politik menunjukkan perpaduan itu perlu diadakan.

Pada saat ini, sehingga ke PRU-13 ini, ia amat mustahak diwujudkan. Melihatkan kerakusan DAP dan PKR sekarang yang akan melakukan apa sahaja untuk berkuasa, dicampur dengan tangan-tangan halus dari unsur-unsur luaran - maka gagasan itu amat diperlukan sekali.

Saya menggunakan istilah ‘disatukan’ kerana istilah ‘bersatu’ tidak boleh digunakan. Ia telah dicuba dulu tapi gagal. Disatukan bermakna kita semua umat Melayu Islam harus memaksa para pemimpin kita untuk bersatu.

Semalam, saya menerima satu mesej dari sahabat karib berhubung satu tulisan daripada seorang cerdik pandai dalam Pas bernama Ustaz Zaidi Hassan. Tulisannya ialah mengenai Islam dan Perjuangan Melayu. Tulisan itu lebih bersikap assabiyah dan Islam. Zaidi ialah anak murid Tok Lebai Musa iaitu ayah kepada Husam Musa - orang kanan Nik Aziz dan penyokong setia Anwar Ibrahim dan bercita-cita menjadi Menteri Besar Kelantan.

Zaidi juga pernah mengaji dengan Tok Guru Haji Lah Lubuk Tapah, Pasir Mas. Zaidi juga menulis dalam blognya muqabalah2009.blogspot.com dengan entri terbarunya bertajuk Kenapa Sampai Ke Situ? apabila beliau mengulas sikap Nik Aziz yang dipetik sebagai berkata, beliau sanggup meninggalkan agama Islam jika pihak lain tidak faham mengenai dasar-dasar Islam yang dilaksanakannya.

Dalam karangannya itu (Islam dan Perjuangan Melayu), Zaidi memetik perkataan Imam as-Syahid Hassan al-Banna dalam risalah Qadiyytuna, iaitu risalah terakhir yang ditulis olehnya sebelum beliau dibunuh:

‘‘Oleh kerana ini (perkembangan yang berlaku ketika ini) adalah sebahagian daripada kewajiban (ke atas kami) bagi mempertengahkan penjelasan ini untuk persepsi umum rakyat Mesir, bangsa Arab, penganut Islam dan damir insani yang sejagat sehingga tidak berlaku kesalahan dan kezaliman dalam menentukan hukuman, serta tidak berhukum hanya dengan mendengar dari satu pihak.

“Telah dikatakan orang apabila engkau didatangi oleh seorang yang berkelahi dengan matanya yang tercungkil keluar, jangan engkau memutuskan hukuman sehingga engkau melihat lawannya, mungkin kedua-dua mata lawannya itu telah dicungkil keluar.”

Daripada petikan Hassan al-Banna itu, Zaidi menulis lagi: ‘‘Begitu jugalah perkembangan yang berlaku dalam masyarakat kita mutakhir ini. Pelbagai kenyataan dikeluarkan dan dibincangkan, terdapat beberapa tindakan yang telah diambil dan terdapat pula tindak-balasnya.

‘‘Oleh itu sudah sampai masanya kita membincangkan tajuk sepenting ini dengan niat mencari keredaan Allah, mencari kebenaran dan tidak mengambil sikap berkeras walaupun berdiri tanpa sokongan nas-nas dan kemunasabahan akal yang sempurna.

‘‘Semoga perbincangan ini disejahterakan Allah daripada sekadar dijadikan agenda untuk memenuhi tujuan yang telah ditentukan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan, atau dijadikan peluncur dan landasan bagi mengiyakan sesuatu yang tidak berumbi-tunjangkan Islam.”

Tambah Zaidi lagi: ‘‘Oleh itu marilah kita berbincang untuk menjelaskan persepsi sebagai rakyat Malaysia, bangsa Melayu, benar dalam fahaman dan pengucupan kita ini, kita bersyukur, Alhamdulillah.

“Dan sekiranya kita salah dan tergelincir, kita mohon diampunkan Allah serta dibetulkan kesalahan dan kegelinciran kita oleh mereka yang mempunyai mata-hati. Kepada Allah kita berserah.”

Zaidi turut menulis mengenai kecintaan kepada bangsa sendiri serta dasar kefahaman; amalan Islam tentang perbezaan bangsa dan agama; serta para rasul dan bangsa mereka yang mengulas dalam al-Quran terdapat lebih daripada 50 tempat, para rasul telah menyeru ‘wahai kaumku’.

Pendek kata, isu bangsa Melayu Islam ini akan terus dicari titik nokhtahnya. Dalam masa orang Melayu bercelaru, berpecah tujuh dan semakin hilang identiti dan kuasa - semua pihak termasuk Zaidi mahu mencari jawapannya.

Harapan umat Melayu Islam, para pemimpin kita akan mengambil semula semangat dan roh ideolog Asri-Razak untuk menemukan semula titik yang hilang itu. Insya-Allah.

KELANTAN BENARKAN PROJEK ECER DI GUA MUSANG

Kerajaan Kelantan memberi kebenaran kepada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk membangunkan tanah kerajaan di daerah Galas dan daerah Ciku di Gua Musang sebagai Projek Agropolitan Kelantan Selatan.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kelulusan yang diberi kepada ECERDC itu telah secara tidak langsung membatalkan permohonan daripada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) sebelum ini untuk memiliki tanah seluas 600 hektar di kawasan berkenaan.

"Sebelum ini Kesedar ada membuat permohonan untuk memiliki dan membangunkan tanah di kawasan berkenaan. Bagaimanapun mengambil kira beberapa faktor melalui hasil perbincangan, pihak kerajaan negeri telah memutuskan untuk membenarkan ECERDC membangunkan kawasan itu.

"Dengan keputusan itu, tanah-tanah berkenaan kekal sebagai tanah kerajaan negeri kerana ECERDC hanya bertanggungjawab membangunkan tanah berkenaan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz berkata keputusan membenarkan ECERDC membangunkan kawasan itu bermakna bahawa apabila projek berkenaan siap, sebarang keputusan seperti contoh memindah hak milik tanah kepada golongan miskin, dapat dilakukan secara terus oleh kerajaan negeri tanpa melalui banyak pihak.

"Apabila projek ini siap, sebarang keputusan yang akan dilakukan oleh kerajaan negeri lebih mudah, jika tanah berkenaan diberi kepada Kesedar dan Kesedar memberi kepada ECERDC untuk dibangunkan, ianya akan membebankan kerana melibatkan banyak pihak," katanya.

Nik Aziz berkata projek berkenaan yang merangkumi pembinaan pelbagai komponen antaranya kediaman, ruang perniagaan dan utiliti itu telah bermula pada Mei lalu dengan pembinaan 350 unit rumah.