Monday, January 3, 2011

Lapan Sekolah Tidak Dapat Memulakan Sesi Persekolahan Kerana Banjir

Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan mengumumkan lapan buah sekolah di seluruh negeri ini belum dapat memulakan sesi persekolahan hari ini (Isnin) disebabkan banjir.

Pengarah JPN Kelantan, Hussain Awang berkata lima sekolah terbabit adalah di daerah Rantau Panjang, dua di Tumpat dan sebuah di Gua Musang.

Sekolah-sekolah di Rantau Panjang melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang; Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang; SK Sri Rantau Panjang I; Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJKC) Kay Boon dan SK Lubok Setol.

Di Tumpat, sekolah terlibat adalah SK Bendang Pak Yong dan SK Simpangan. Sebuah sekolah di Gua Musang adalah SK Bihai iaitu sekolah bagi pelajar Orang Asli.

Hussain berkata keputusan menangguhkan sesi persekolahan itu dibuat kerana bangunan sekolah terbabit digenangi air atau jalan menuju ke sekolah di tenggelami air menyebabkan terputus hubungan.

"Ini adalah hasil lawatan saya semasa meninjau kawasan sekolah yang terlibat dengan bencana banjir petang tadi," katanya semalam.

Beliau berkata SK Bihai di Gua Musang terpaksa ditutup kerana tanah runtuh dan jambatan kayu di situ rosak, manakala SK Lubok Setol kerana jalan ke sekolah itu ditenggelami air menyebabkan hubungan terputus.

Katanya sekolah-sekolah terbabit akan dapat memulakan sesi persekolahan sebaik sahaja banjir pulih dan jalan-jalan di kawasan terbabit siap dibaiki.

Peruntukan RM144 Juta Kemudahan Infrastruktur Kepada Kelantan Tahun Ini

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan sebanyak RM144 juta kepada Kelantan tahun ini bagi menyediakan kemudahan infrastruktur negeri ini.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Hasan Malek berkata peruntukan itu bagi menyediakan bekalan air bersih sebanyak RM14 juta, dan yang lain meliputi bekalan elektrik, jalan dan pembinaan rumah kepada penduduk miskin.

"Kita jangka lebih banyak lagi infrastruktur akan dibina tahun ini dan peruntukan besar itu disalurkan bagi memastikan semua rakyat menerima faedah daripada kerajaan yang memerintah," katanya selepas majlis meraikan Hari Persekolahan Umno Kubang Kerian 2011 semalam.

Pada majlis itu, 70 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sekolah Rendah Kebangsaan dalam kawasan Parlimen Kubang Kerian yang terpilih menerima peralatan persekolahan termasuk baju, seluar dan beg sekolah.

Hasan berkata bagi 2010, sehingga November lepas sebanyak RM120 juta telah disalurkan oleh kementerian itu dengan sejumlah RM78 juta bagi menyediakan infrastruktur seperti jalan raya, elektrik, dan air.

Mengenai projek terbengkalai, Hassan berkata hanya 10 peratus projek yang dilaksanakan sepanjang 2010 tergendala dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa terdekat ini.

"Sebanyak 90 peratus yang diluluskan siap mengikut jadual, ada yang siap sebelum tempoh ditetapkan," katanya.

Mengenai peruntukan besar yang disalurkan kepada Kelantan, Hasan berkata kerajaan negeri perlu turut bertanggungjawab dengan melaksanakan projek rakyat bukannya mengharapkan Kerajaan Pusat semata-mata.

"Kerajaan negeri juga perlu bertanggungjawab dalam membina jalan di Kelantan, janganlah mengharapkan sepenuhnya kepada Kerajaan Pusat melaksanakan projek di negeri ini," katanya.

Kota Bharu, Rantau Panjang Keutamaan Pembinaan Tebatan Banjir

Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata keutamaan membina tebatan banjir di negeri itu akan diberi kepada Kota Baharu dan Rantau Panjang yang sering terjejas teruk akibat bencana tersebut.

Beliau berkata bagaimanapun pelaksanaan projek tersebut memerlukan perancangan rapi kerana kos membina tebatan di Sungai Kelantan dan Sungai Golok itu adalah sangat tinggi.

"Kosnya pada lima tahun lalu sekitar RM2 bilion dan jika kerajaan mahu membina tebatan itu ia mungkin tidak dilakukan secara sekali gus," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Rantau Panjang, semalam.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata perancangan membina tebatan tersebut dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 dengan kos yang lebih rendah.

Mengulas keadaan banjir kali ini, Mustapa berkata beliau berpuas hati dengan bantuan yang diberi oleh pihak terbabit.

Seramai 409 mangsa banjir telah ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara sejak pagi ini di jajahan ini, dengan sebahagian besarnya ditempatkan di stesen KTMB itu.