Showing posts with label Sekolah. Show all posts
Showing posts with label Sekolah. Show all posts

Friday, March 30, 2012

AIR OH AIR - Gangguan & Sekolah Tiada Berterusan di Kelantan

Apalah malang menimpa orang ramai dan pelajar sekolah!

Kenyataan bahawa 77 sekolah di Kelantan tidak mendapat bekalan air yang diuruskan oleh Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan soal keperluan asas, kata setiausaha politik kepada perdana menteri Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.

Beliau berkata keadaan itu merupakan antara contoh mengenai tahap kemampuan PAS mentadbir negeri Kelantan.

"Ini gagal namanya, jika sudah membabitkan pelajar sekolah yang terpaksa menerima beban," katanya kepada pemberita pada majlis Konvokesyen Politeknik Kota Baharu di Kota Bharu kelmarin (Rabu 28 Mac 2012).

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi, yang membuat kenyataan mengenai ketiadaan bekalan air ke sekolah-sekolah itu di Dewan Rakyat pada Isnin lepas, berkata daripada bilangan itu, 39 sekolah berada dalam kedudukan yang amat kritikal dan memerlukan tindakan sewajarnya.

Dan semalam, Air Kelantan Berhad (AKSB) menyebtu bahawa Jajahan Machang, Pasir Puteh dan beberapa kawasan di ibu negeri ini akan mengalami gangguan bekalan air berikutan kerja penyelenggaraan dan pemasangan pam di muka sauk di Loji Rawatan Air Merbau Chondong dalam tempoh tiga hari mulai Sabtu ini.

Eksekutif Hal Ehwal Pelanggan AKSB, Hazwan Hassan, berkata antara kawasan terlibat di jajahan Machang ialah Bandar Machang; Pulai Chondong; Labok; Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang; Padang Selising; Bukit Tiu; Banggol Petai; Kweng Hitam; Pangkal Meleret; Wakaf Bata; Paloh Rawa dan Kemuning.

Bagi jajahan Pasir Puteh kawasan terlibat ialah Bukit Bidang; Taman Sentosa; Alor Hijau; Selising Jeram; Dalam Rhu; Semerak; Tok Bali; Tualang Tinggi; Tasik Pauh; Kedai Menanti; Bukit Jawa; Bukit Tanah; Kampung Jerus; Bukit Abal; Sri Aman; Taman Kobena; Kampung Lepah; Kampung Berangan; Banggol; Telipot; Tualang Tinggi; Tasik Pauh; Kedai Menanti; Bukit Jawa; Bukit Tanah dan Kampung Jerus.

Kawasan terlibat di jajahan Kota Baharu pula ialah Kok Lanas dan kampung-kampung sekitarnya.

"AKSB akan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan pemasangan pam di muka sauk di Loji Rawatan Air Merbau Chondong untuk penambahbaikan perkhidmatan bekalan air kepada pengguna," katanya dalam kenyataan di Kota Bharu semalam.

Tuesday, January 4, 2011

Lima Daripada Sembilan Sekolah Yang Ditutup Akibat Banjir Dibuka Esok

Dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 1, Nor Ain Razi, 11, (kanan) dan Nur Shahira Yusof, 11, membaca notis dikeluarkan pihak sekolah yang memberitahu sesi persekolahan hanya akan bermula esok untuk memudahkan kerja mencuci bilik darjah yang ditenggelami air akibat banjir di Pekan Rantau Panjang, semalam.
Lima daripada sembilan sekolah yang ditutup akibat banjir sejak Ahad lalu akan dibuka semula mulai esok (Rabu), kata Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Hussain Awang.

Katanya, ini berikutan keadaan banjir keseluruhan di negeri ini pulih dan paras air di Sungai Kelantan dan Sungai Golok semakin surut.

"Lima buah sekolah itu semuanya terletak di Rantau Panjang iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Rantau Panjang 1, SK Rantau Panjang, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Khay Boon, dan SK Lubok Setol.

"Sekolah Kebangsaan Bihai di Gua Musang terpaksa mengambil masa untuk dibuka berikutan jalan menunju ke sekolah itu tidak boleh dilalui kerana tanah runtuh dan jambatan di situ turut rosak...manakala tiga buah sekolah di Tumpat masih digenangi air," katanya di Kota B haru, hari ini.

Beliau berkata ketika ini kerja-kerja membersihkan bangunan sekolah di Rantau Panjang itu sedang giat dijalankan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), dan pihak persatuan ibu bapa dan guru.

Beliau berkata, SK Bendang Pak Yong, SK Simpangan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Nurul Huda masih ditutup kerana air yang melimpahi tebing sungai di kawasan sekolah berkenaan masih belum surut sepenuhnya.

Mengenai kedudukan sekolah di kawasan perkampungan Orang Asli SK Bihai, Gua Musang itu, Hussain berkata kerja-kerja membaiki kerosakan jalan yang menghubungkan ke sekolah itu sedang dijalankan.

"Jika kerja-kerja pembaikian itu berjalan lancar adalah dijangkakan sekolah berkenaan akan dapat dibuka minggu depan," katanya.

Monday, January 3, 2011

Lapan Sekolah Tidak Dapat Memulakan Sesi Persekolahan Kerana Banjir

Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan mengumumkan lapan buah sekolah di seluruh negeri ini belum dapat memulakan sesi persekolahan hari ini (Isnin) disebabkan banjir.

Pengarah JPN Kelantan, Hussain Awang berkata lima sekolah terbabit adalah di daerah Rantau Panjang, dua di Tumpat dan sebuah di Gua Musang.

Sekolah-sekolah di Rantau Panjang melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang; Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang; SK Sri Rantau Panjang I; Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJKC) Kay Boon dan SK Lubok Setol.

Di Tumpat, sekolah terlibat adalah SK Bendang Pak Yong dan SK Simpangan. Sebuah sekolah di Gua Musang adalah SK Bihai iaitu sekolah bagi pelajar Orang Asli.

Hussain berkata keputusan menangguhkan sesi persekolahan itu dibuat kerana bangunan sekolah terbabit digenangi air atau jalan menuju ke sekolah di tenggelami air menyebabkan terputus hubungan.

"Ini adalah hasil lawatan saya semasa meninjau kawasan sekolah yang terlibat dengan bencana banjir petang tadi," katanya semalam.

Beliau berkata SK Bihai di Gua Musang terpaksa ditutup kerana tanah runtuh dan jambatan kayu di situ rosak, manakala SK Lubok Setol kerana jalan ke sekolah itu ditenggelami air menyebabkan hubungan terputus.

Katanya sekolah-sekolah terbabit akan dapat memulakan sesi persekolahan sebaik sahaja banjir pulih dan jalan-jalan di kawasan terbabit siap dibaiki.