Thursday, August 19, 2010

HUSAM LEBIH BIJAK DARIPADA KEMENTERIAN KEWANGAN?

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, beliau sedia mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan bagi menerangkan perkara-perkara yang menjadi kekeliruan pihak terbabit dalam perkara membabitkan dinar emas dan dirham perak Kelantan.

“Kementerian Kewangan boleh menjemput saya untuk memberikan penerangan berkenaan dinar dan dirham sekiranya ia belum difahami,” katanya.

Husam yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat menegaskan: "Ingin saya terangkan dinar dan dirham hanya dipanggil dalam istilah Islam, dalam kegunaan universal lebih dikenali gold coin (syiling emas) dan silver coin (syiling gangsa) yang diterima pakai seluruh dunia,” katanya.

Kenyataan Husam ini membayangkan bahawa seminggu selepas pelancaran penggunaan mata wang syariah oleh Kerajaan Negeri Kelantan, isu berkenaan terus berpanjangan apabila pimpinan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri saling membuat tuduhan antara satu dengan lain.

Sinar Harian Online semalam melaporkan Husam mendakwa Menteri Kewangan II, Datuk Dr Awang Adek Hussin membuat kenyataan fitnah apabila menyatakan penggunaan dinar dan dirham berdepan dengan masalah seperti mana yang disiarkan sebuah akhbar semalam.

Husam berkata, kenyataan Awang Adek itu tidak profesional kerana takutkan penerimaan rakyat dan berfikiran ‘reaksiner’ seperti akan dipinggirkan melalui perkembangan semasa.

“Rakyat Kelantan amat bertuah kerana memilih tok guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) sebagai menteri besar dalam pilihan raya lepas dan tidak Awang Adek kerana beliau seperti yang disebut sebelum ini termasuk golongan ganjil kerana tidak nampak kestabilan emas dan perak,” katanya semalam.

Semalam, Awang Adek dilaporkan berkata, lebih 1,000 penguasa kedai dan restoran di negeri ini berdepan risiko tinggi termasuk ditipu sekiranya mata wang dinar emas dan dirham perak digunakan sebagai transaksi perniagaan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri turut mempersoalkan bagaimana pekedai di negeri ini boleh menguruskan perniagaan jual beli selain kesukaran pengguna dan pembeli untuk menukar mata wang tersebut kerana tidak diterima oleh bank konvensional tempatan.

Isu dinar dan dirham menjadi bahan perang mulut antara pimpinan PAS dan Barisan Nasional (BN) Negeri apabila Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhasrat melihat penggunaan mata wang tersebut akan menjadi alternatif kepada mata wang ringgit.

Susulan itu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan kenyataan bahawa hanya mata wang ringgit sah diperakukan bagi pembayaran barangan dan perkhidmatan di negara ini dalam menolak pengguna dinar.

No comments: