Thursday, August 19, 2010

AWAS- KELANTAN NEGERI TERTINGGI KES DENGGI

Kes demam denggi di Kelantan amat membimbangkan apabila purata tujuh kes yang dilaporkan berlaku setiap hari sebelum ini, meningkat sekali ganda kepada 14 kes sehari.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias berkata peningkatan ketara itu menjadikan sebanyak 1,533 kes demam denggi dicatatkan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini berbanding 706 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

"Peningkatan sebanyak 88 peratus itu adalah tertinggi dan ketara berbanding negeri lain, sebelum ini sebanyak tujuh kes direkodkan sehari tetapi akhir-akhir ini ia meningkat kepada 14 kes sehari," katanya kepada mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bantuan dan Bencana di Kota Bharu, semalam.

Sambil menyuarakan kebimbangan terhadap senario itu, katanya beliau tidak menolak kemungkinan terdapat banyak lagi kes yang berlaku tetapi tidak dianalisis oleh hospital.

"Ini amat membimbangkan kerana jumlah tersebut tidak termasuk kes-kes yang enggan didiagnos oleh pihak hospital," katanya.

Mohd Aiseri berkata lebih membimbangkan apabila sebanyak enam kes kematian dicatatkan setakat tahun ini berbanding hanya satu kematian dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Mengikut rekod katanya, daerah Pasir Mas mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu empat kematian diikuti Kota Baharu, sebanyak dua kematian.

Beliau berkata penjagaan kebersihan kawasan persekitaran termasuk pejabat dan tempat tinggal sangat kurang diberi perhatian yang menjadikan ini punca nyamuk aedes membiak yang menyebabkan demam denggi.

No comments: