Thursday, August 19, 2010

PIALA MALAYSIA - KELANTAN SANDAR HARAPAN KEPADA PEMAINSEDIA ADA

Tiada ‘pemain import’! Demikian kata Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan sebagai mengulas persediaan pasukan Kelantan bagi menghadapi kempen Piala Malaysia pada musim ini.

Pada ketika pasukan lain giat memancing pemain dari negeri atau kelab yang tidak beraksi dalam kempen Piala Malaysia, Kelantan memilih pendekatan yang berbeza menghadapi kejohanan paling berprestij di negara ini.

Sebaliknya, beliau akan bersandarkan kepada barisan pemain sedia ada bagi membawa cabaran Kelantan, selaku naib juara Piala Malaysia musim lalu pada pertandingan musim ini.

“Saya mempunyai 28 pemain yang didaftarkan pada musim ini. Saya akan menggunakan kesemua pemain yang ada kerana saya sememangnya berpuas hati dengan prestasi mereka sepanjang musim ini.

“Saingan dalam kumpulan A Piala Malaysia saya lihat begitu sengit. Kita tidak boleh kata kita mempunyai laluan yang mudah untuk ke suku akhir.

“Juara musim lalu, Negeri Sembilan dan KL Plus FC juga tetap memasang impian yang sama. Negeri Sembilan misalnya, sudah pasti mereka memberi tumpuan penuh dalam pertandingan kalah mati seperti Piala Malaysia, dan ini dibuktikan apabila mereka melakukannya dalam kejohanan Piala FA musim ini,” katanya.

Sathia berkata, saingan daripada pasukan berstatus kelab iaitu PKNS FC juga tidak boleh dipandang rendah, bukan sahaja oleh Kelantan malahan dua pasukan lain.

“Pada awal musim, kita pernah mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab itu. Kita diberi tentang sengit dan dipaksa seri 1-1 dalam perlawanan itu.

“Sebab itu saya katakan kelab mampu memberi tentangan yang hebat kepada pasukan lain.

“Sudah pasti mereka mempunyai semangat yang luar biasa apabila terpaksa berhadapan dengan tiga pasukan daripada Liga Super, dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia ini,” katanya.

Sathia berkata, mereka harus berada di tahap yang terbaik menghadapi situasi ini sekiranya ingin melangkah lebih jauh.

Katanya, mereka perlu ketepikan keputusan lalu, sebagai naib juara liga musim ini kerana ianya sudah menjadi sejarah.

Sathia yang baru kembali daripada bercuti sambil melakukan tinjauan suasana bola sepak di Australia berkata, saingan pertandingan Piala Malaysia sentiasa menjanjikan pertembungan yang sengit dan ianya berbeza dengan kejohanan bola sepak yang lain.

Sathia berkata, Piala Malaysia merupakan satu pertandingan yang mencetuskan kelainan, dari segi sambutan peminat bola sepak tempatan dan ianya penuh dengan kejutan.

Skuad bola sepak Kelantan akan memulakan latihan harian pada bulan puasa ini, bermula 20 Ogos pada jam 11 malam setiap hari di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Sinar Harian

No comments: