Ulang tahun kemerdekaan negara tahun ini yang disambut pada bulan Ramadan akan diserikan dengan majlis khatam al-Quran melibatkan penyertaan seramai 3,000 umat Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, majlis khatam al-Quran akan diadakan di dataran Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu bagi menggantikan upacara perbarisan yang kebiasaannya diadakan pada pagi 31 Ogos.
Katanya, majlis tersebut merupakan kesinambungan sambutan Ambang Merdeka pada malam 31 Ogos yang akan diisi dengan solat Maghrib, Isyak dan terawih berjemaah di dalam stadium.
"Pada 31 Ogos itu, oleh kerana tidak ada perarakan, jadi pada tarikh itu bermula selepas solat Asar, seramai 3,000 orang akan bergilir-gilir membaca al-Quran di khemah terawih.
"Mereka akan membaca al-Quran secara beramai-ramai dengan sasaran khatam kesemua 30 juzuk sebanyak 30 kali.
"Kalau tidak ada halangan, majlis khatam itu juga akan dihadiri oleh Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Tabung Ihya' Ramadan di Kota Bharu, semalam.
Pelancaran tabung dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Islam dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mewakili Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Datuk Ahmad Mahmood dan dua imam terawih jemputan dari Mesir iaitu Syeikh Ahmad Rejab Al-Fayumi dan Syeikh Ahmad Ramadhan Al-Fayumi.
Pada majlis itu, sebanyak RM200,000 sumbangan awal daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan orang ramai berjaya dikutip.
Takiyuddin berkata, kerajaan negeri akan memulakan acara Ambang Merdeka di stadium dengan majlis berbuka berpuasa serta solat jemaah, diikuti forum kemerdekaan sementara menanti detik 12 tengah malam.
"Anggota keselamatan seperti polis dan tentera diharap dapat solat berjemaah bersama-sama dan menunaikan solat terus dalam pakaian uniform mereka," katanya.
Sementara itu, jelasnya, program Ihya' Ramadan yang masuk tahun ke-17, akan dicatatkan dalam Malaysia Book of Records apabila seorang bekas pensyarah universiti tempatan dipanggil menghasilkan kerja tangan 'menulis' surah Yasin di atas papan sepanjang 500 kaki (kira-kira 152 meter).
"Beliau yang merupakan seorang orang kurang upaya (OKU) akan menggunakan rotan yang dipaku atas papan untuk menulis surah Yasin itu.
"Di samping itu, kita akan mengadakan majlis 1,000 orang membaca surah Yasin yang diketahui mempunyai banyak kelebihan," katanya.
Dalam masa sama, Takiyuddin berkata, pihaknya akan menggiatkan promosi program Qaryah Ramadan yang berpusat di dataran Stadium Sultan Muhammad ke-IV sebagai pakej pelancongan agama bagi menarik penduduk luar Kelantan menyambut puasa di negeri ini.
No comments:
Post a Comment