Saturday, August 7, 2010

PROMOSI PELANCONGAN IBADAH SEMPENA RAMADAN

Kerajaan negeri Kelantan akan memperhebatkan promosi pelancongan ibadah sempena bulan Ramadan ini bagi menggalakkan pelancong domestik mengikuti program Ihyat Ramadan bersama penduduk tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan negeri Datuk Takiyuddin Hassan berkata program Ihyat Ramadan di perkhemahan Ramadan itu akan diadakan di perkarangan Stadium Sultan Mohamad Ke-IV sepanjang bulan puasa ini.

"Kerajaan negeri telah meminta pengusaha hotel dan resort supaya mengenakan caj istimewa kepada pelanggan beragama Islam sepanjang bulan itu," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Tabung Ihyat Ramadan peringkat negeri di Medan Ilmu, di Kota Bharu, semalam.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Agama, Pendidikan dan Dakwah negeri Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mewakili Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Takiyuddin berkata kerajaan negeri akan membawa dua qari tahfiz al-Quran dari Mesir iaitu Sheikh Ahmad Ramadhan Ayub Musa dan Sheikh Ahmad Rejab Yasin Al-Fayuni untuk mengimankan solat Tarawih sepanjang bulan puasa ini di perkhemahan Ramadan itu.

Beliau berkata sempena bulan puasa, sambutan ambang kemerdekaan di Kelantan tahun ini juga akan disesuaikan dengan program Ihyat Ramadan termasuk berbuka puasa dan solat Tarawih beramai-ramai di padang stadium itu.

No comments: