Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, semalam menetapkan syarat tidak merokok sebagai kriteria calon PAS yang akan bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dalam Parlimen Gua Musang.
Mursyidul Am Pas itu berkata, beliau menolak calon itu jika individu itu adalah perokok. Individu itu juga, kata harus patuh ajaran agama termasuk tidak meninggalkan solat, sentiasa menjaga pertuturan dan dihormati masyarakat sebagai calon mewakili PAS.
"Kalau orang merokok memang saya tak terima menjadi calon sejak awal-awal lagi.
Calon juga seseorang yang dihormati masyarakat, tidak meninggalkan sembahyang, tidak merokok, menjaga tutur kata, tidak terbabit perkara mungkar dengan perempuan, tidak berjudi atau sebarang perkara tidak elok,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-XIII Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan di Kota Bharu, kelmarin.
Ditanya sama ada golongan ulama mungkin dipertimbangkan menjadi calon, Nik Aziz bagaimanapun enggan membuat spekulasi mengenainya.
Di MARANG, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata PAS Pusat akan bermesyuarat hari ini bagi merencanakan persiapan dan mengenal pasti calon yang akan bertanding berdasarkan kriteria yang ditetapkan.
“Agenda penting yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu ialah persiapan pilihan raya DUN Galas.
“Kita sudah senarai pendek beberapa tokoh di peringkat negeri Kelantan untuk diperhalusi di peringkat PAS Pusat sebelum dibawa pula untuk diputuskan dalam Majlis Syura,” katanya selepas perasmian Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Kebangsaan di Masjid Rusila
Tuan Ibrahim menegaskan PAS akan memilih calon kalangan anak tempatan yang disifatkan faktor penting dalam pilihan raya kecil itu.
“Dalam senarai yang ada beberapa nama (calon) itu, ada beberapa tenaga muda dan profesional tetapi keutamaan kita lihat faktor calon itu sendiri,” katanya.
No comments:
Post a Comment