Barisan Nasional (BN) Kelantan akan mula menggerakkan jentera pilihan rayanya lusa (Selasa)bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed akan menemui jawatankuasa UMNO Bahagian Gua Musang termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri serta pemimpin cawangan DUN berkenaan pada hari itu.
Mustapa yang juga Timbalan Pengarah Jentera pilihan raya DUN berkenaan akan menyelaraskan pembahagian kerja antara UMNO negeri, bahagian, cawangan dan bantuan UMNO dari setiap negeri, katanya kepada pemberita pada Majlis Program Sepakat Bestari Bachok di Pantai Irama di Bachok, kelmarin.
Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya,Chek Hashim Sulaima, 46, dari parti Pas, di Hospital Al-Islam, Kuala Lumpur Isnin lepas akibat barah usus.
Turut difahamkan, Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) akan bermesyuarat Rabu ini untuk menetapkan hari penamaan calon dan pengundian untuk pilihan raya kecil itu. - Bernama
No comments:
Post a Comment